Kerajaan Johor sedang menilai keberkesanan pelaksanaan laluan kontra di Jalan Persekutuan FT005 dari Skudai ke Johor Bahru sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, khususnya bagi pengguna yang menuju ke pusat bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata laluan kontra itu mula diperkenalkan pada 13 Julai selepas didapati jumlah kenderaan yang memasuki Johor Bahru pada waktu pagi jauh lebih tinggi berbanding aliran trafik ke arah bertentangan.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan ruang jalan sedia ada supaya kapasiti laluan dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan.

“Pada waktu puncak pagi, jumlah kenderaan yang menghala ke pusat bandar jauh lebih tinggi berbanding arah bertentangan.

“Justeru, laluan kontra diperkenalkan bagi mengoptimumkan penggunaan ruang jalan sedia ada supaya kapasiti laluan dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan aliran trafik menjadi lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Julai.

Laluan kontra Skudai-Johor Bahru diperkenalkan bagi mengoptimumkan penggunaan ruang jalan sedia ada supaya kapasiti laluan dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan aliran trafik menjadi lebih lancar
Laluan kontra Skudai-Johor Bahru diperkenalkan bagi mengoptimumkan penggunaan ruang jalan sedia ada supaya kapasiti laluan dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan dan aliran trafik menjadi lebih lancar - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Menurut beliau, pelaksanaan itu melibatkan jajaran dari Pintu Gerbang Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hingga Bandar Baru UDA dan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari 5.30 pagi hingga 9 pagi, khusus untuk kenderaan ringan.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan secara percubaan selama dua hingga tiga minggu sebelum penilaian dibuat terhadap beberapa petunjuk utama, termasuk perubahan tempoh perjalanan, kelancaran aliran trafik, aspek keselamatan serta maklum balas pengguna jalan raya.

“Sekiranya hasil penilaian menunjukkan impak yang positif, pendekatan ini boleh dipertimbangkan sebagai antara penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan di koridor Skudai-Johor Bahru,” katanya.

Encik Mohamad Fazli turut merakamkan penghargaan kepada pengguna jalan raya yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh percubaan itu dan berharap maklum balas orang ramai dapat membantu kerajaan negeri menambah baik pelaksanaannya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata pelbagai usaha turut dilaksanakan bagi meningkatkan kelancaran pergerakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Menurutnya, laluan motosikal kini dilengkapi 36 kaunter Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe), lapan kaunter MyBorderPass serta enam kaunter hibrid.

Beliau berkata penggunaan MyNIISe mampu memendekkan tempoh pelepasan setiap pengguna daripada sekitar tujuh hingga 10 saat di kaunter manual kepada hanya tiga hingga empat saat, sekali gus meningkatkan kapasiti pelepasan di pintu sempadan.

Bagi pengguna bas pula, katanya, sebanyak 24 platform masuk dan 24 platform keluar Malaysia disediakan, manakala kaunter tiket bas baharu sedang diwujudkan menerusi kerjasama kerajaan negeri dengan syarikat Handal Indah bagi memudahkan pembelian tiket serta mempercepatkan proses menaiki bas.

“Sudah tentu masih ada ruang untuk ditambah baik. Namun, perubahan sedang berlaku dan usaha itu diteruskan dari semasa ke semasa.

“Jika anda masih belum memasang MyNIISe, inilah masanya. Semakin ramai yang menggunakannya, semakin lancar proses pelepasan untuk semua,” katanya.

Beliau berharap orang ramai terus menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan supaya setiap penambahbaikan yang dilakukan dapat memberikan manfaat kepada pengguna serta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan dan pergerakan rentas sempadan di Johor.