JOHOR BAHRU: Usaha Kerajaan Johor menangani kesesakan trafik dan logistik di kawasan sempadan serta bandar raya menunjukkan perkembangan positif menerusi pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan di lapangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata antara langkah segera yang diambil ialah penyusunan semula laluan lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk utama itu.

Menurut beliau, sebanyak 450 unit pengadang konkrit digunakan untuk mengoptimumkan ruang di kawasan menunggu sedia ada, sekali gus membantu melancarkan pergerakan lori sebelum memasuki kaunter pemeriksaan.

Antara pengadang konkrit yang dipasang bagi melancarkan perjalanan kenderaan berat seperti lori.
Antara pengadang konkrit yang dipasang bagi melancarkan perjalanan kenderaan berat seperti lori. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

“Langkah ini amat penting memandangkan kesesakan sebelum ini berpunca daripada peningkatan ketara jumlah lori terutama pada waktu sibuk.

“Dengan penyusunan yang lebih sistematik, aliran trafik menjadi lebih lancar dan masa menunggu dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 April.

Encik Mohamad Fazli berkata kerajaan Johor akan terus memantau keadaan berkenaan dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka pendek dan panjang dapat dilaksanakan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar di kawasan Greater Johor Bahru turut menunjukkan perubahan ketara dalam usaha melancarkan aliran trafik harian.

Menurutnya, sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu melibatkan 337 persimpangan dan 41 lintasan pejalan kaki, termasuk pelarasan masa lampu hijau yang lebih panjang di laluan utama seperti Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Tun Abdul Razak ketika waktu sibuk.

Pelaksanaan sistem itu meliputi kawasan di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai, sekali gus memberi manfaat kepada ratusan ribu pengguna setiap hari, jelasnya.

“Sistem ini mampu mengesan aliran trafik dan melaras isyarat secara masa nyata melalui pusat kawalan bersepadu.

“Ia bukan sahaja membantu melancarkan trafik, malah meningkatkan keselamatan termasuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang kerajaan negeri untuk mentransformasikan sistem pengurusan trafik ke arah lebih pintar, responsif dan cekap.

Menurutnya, kesesakan trafik bukan sahaja menjejas pergerakan, malah memberi kesan kepada produktiviti, emosi dan mutu kehidupan harian rakyat.

“Dengan pemantauan rapi dan pelaksanaan berperingkat, kita mahu rakyat rasai perubahan nyata.

“Kita bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi membentuk sistem yang benar-benar memahami keperluan pengguna jalan raya masa kini dan masa hadapan,” kata Encik Mohamad Fazli.