Topic followed successfully
Go to BHkuIbu, dua anak maut dalam nahas pulang dari majlis kahwin di Terengganu
Ibu, dua anak maut dalam nahas pulang dari majlis kahwin di Terengganu
Ibu, dua anak maut dalam nahas pulang dari majlis kahwin di Terengganu
DUNGUN (Terengganu): Seorang wanita yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan adiknya maut bersama dua anak, selepas kenderaan dipandunya terbabas di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor dekat Felda Jerangau, Dungun, Terengganu, pada petang 23 Mac.
Dalam kemalangan kira-kira 6.10 petang itu, Cik Nurul Hafizah Shaary, 39 tahun, dan anaknya, Mohd Redzuan Arash Mohd Redzuan, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi anak Allahyarhamha, Nur Radya Athalia, empat tahun, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Jerangau, Dungun, akibat kecederaan parah di bahagian badan dan tangan kanan.
Tiga lagi anak Allahyarhamha Nurul Hafizah dilaporkan cedera parah dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, lapor Harian Metro.
Ketika kejadian, Allahyarhamha Nurul Hafizah bersama lima anaknya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ajil, Hulu Terengganu, selepas menghadiri majlis perkahwinan adiknya di Dungun.
Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Aruz yang dipandu Allahyarhamha Nurul Hafizah dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu merempuh paip air besar di tepi jalan sebelum terjatuh ke dalam cerun.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah, Encik Mohd Harith Che Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 6.19 petang, sebelum enam anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati empat mangsa tersepit di dalam kenderaan terbabit, manakala seorang kanak-kanak berusia tiga tahun berjaya dikeluarkan orang ramai dan dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran.
“Manakala pemandu dewasa dan seorang anaknya yang berusia 13 tahun ketika itu disahkan sudah meninggal,” katanya yang kemudian menambah, seorang lagi anak mangsa yang cedera parah turut meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
Encik Mohd Harith berkata anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Suami dan bapa kepada tiga mangsa, Encik Mohamad Redzuan Abdullah, 40 tahun, yang ditemui media Malaysia di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu, berada dalam keadaan sugul dan enggan ditemu bual.

