SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Hairi: Dakwaan 40,000 SME terjejas tidak berasas, Johor kekal stabil

Hairi: Dakwaan 40,000 SME terjejas tidak berasas, Johor kekal stabil

Apr 6, 2026 | 5:56 PM

Hairi: Dakwaan 40,000 SME terjejas tidak berasas, Johor kekal stabil

(dari kanan) Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah; Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Ismail Karim; dan Naib Presiden 2, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Abd Latif Bandi, ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Teraju 2026.
(dari kanan) Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah; Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Ismail Karim; dan Naib Presiden 2, Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor, Datuk Abd Latif Bandi, ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Teraju 2026. - Foto FACEBOOK ABD LATIF BANDI

JOHOR BAHRU: Dakwaan bahawa kira-kira 40,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Johor berisiko gulung tikar disifatkan tidak berasas, dengan kerajaan negeri menegaskan pendekatan pengurusan ekonomi dibuat berlandaskan data rasmi, bukan persepsi atau retorik politik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Encik Mohd Hairi Mad Shah, berkata kenyataan bersifat retorik politik berpotensi mengelirukan persepsi awam dan komuniti perniagaan, khususnya di Johor yang ekonominya dinamik kerana berjiran dengan Singapura.

Menurut beliau, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sentiasa peka terhadap cabaran ekonomi global termasuk turun naik harga tenaga dan gangguan rantaian bekalan.

“Cabaran ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut melanda negara lain di seluruh dunia, namun kerajaan negeri sentiasa mencari penyelesaian bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 April.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang mendakwa puluhan ribu SME di negeri itu berdepan risiko akibat ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Encik Mohd Hairi menjelaskan bahawa data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Johor terus berkembang.

“Jumlah SME di Johor meningkat daripada 124,837 pada 2023 kepada 131,214 pada 2024, dengan kadar pertumbuhan meningkat daripada 11.3 peratus kepada 12.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata angka tersebut membuktikan ekosistem keusahawanan di Johor kekal berkembang dan tidak menunjukkan penyusutan seperti yang didakwa.

Menurut beliau, majoriti SME di Johor terdiri daripada perusahaan mikro yang memerlukan pendekatan intervensi bersasar, bukan dasar menyeluruh tanpa pertimbangan khusus.

“Sebanyak 68.5 peratus adalah mikro, 29.9 peratus kecil dan hanya 1.6 peratus sederhana. Maka, dakwaan ‘40,000 SME terjejas’ tanpa pecahan sektor adalah tidak berasas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong usahawan.

“Sepanjang 2025, sebanyak RM371.5 juta ($118.3 juta) telah dibelanjakan melalui 42 agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor, melibatkan lebih 71,000 usahawan melalui 349 program.

“Bantuan kepada usahawan bukan bersifat bermusim, tetapi dilaksanakan secara konsisten setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Johor (Teraju Johor), Datuk Ismail Karim, menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian kerajaan negeri yang mengutamakan pendekatan berasaskan data.

“Kenyataan tersebut jelas mencerminkan pendirian yang tegas, berasaskan fakta serta data yang menyeluruh,” katanya.

Menurut beliau, sektor SME merupakan tunjang utama ekonomi negeri dan perlu dinilai secara objektif tanpa dipengaruhi naratif politik.

“Sebarang dakwaan tanpa metodologi jelas hanya akan menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat dan pelabur,” katanya.

Beliau turut menyokong langkah kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bersasar termasuk pemantauan kos, pembiayaan dan intervensi strategik.

“Pendekatan ini menunjukkan kebertanggungjawaban serta kematangan dalam pengurusan ekonomi negeri,” katanya.

Teraju Johor juga menolak cadangan populis seperti moratorium menyeluruh tanpa asas kukuh, yang disifatkan tidak mampan dalam konteks ekonomi semasa.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan bahawa dasar ekonomi tidak boleh dipandu oleh sentimen politik jangka pendek.

“Ia memerlukan disiplin, kebertanggungjawaban dan pertimbangan jangka panjang demi memastikan kestabilan ekonomi negeri,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg