Topic followed successfully
Go to BHkuGaduh di Southkey, JB: 2 warga S’pura didakwa
Gaduh di Southkey, JB: 2 warga S’pura didakwa
Seorang berdepan hukuman mati, seorang lagi didenda selepas kejadian awal pagi 14 Mac
Gaduh di Southkey, JB: 2 warga S’pura didakwa
JOHOR BAHRU: Sekumpulan enam warga Singapura diberkas selepas pergaduhan pada subuh 14 Mac di kawasan hiburan Persiaran Southkey 1, yang berakhir dengan tragedi – satu kes bunuh dan satu kecederaan.
Kira-kira 4.30 pagi, Mohamad Adam Haikal Zakaria, 26 tahun, cedera di mata kanan akibat ditumbuk oleh seorang suspek.
Kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham di tandas sebuah kelab.
Hanya sejam kemudian, sekitar 5.30 pagi, tidak jauh dari situ, Chia Hon Chung, 32 tahun, warga Singapura, maut dipercayai akibat tikaman di leher.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), mencetuskan siasatan polis bagi kes bunuh.
Polis memulakan operasi dan menahan suspek pertama pada 18 Mac, 12.15 tengah malam, ketika cuba merentas pemeriksaan imigresen untuk pulang ke Singapura.
Penangkapan itu membawa kepada penahanan empat lagi suspek pada 19 Mac, dengan bantuan pihak berkuasa Singapura, setelah mereka dikesan melarikan diri ke republik tersebut.
Seorang lagi suspek turut ditahan oleh polis Singapura pada 25 Mac bagi membantu siasatan lanjut.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata kesemua suspek diberkas dalam beberapa siri tangkapan antara 18 dengan 20 Mac sebelum kertas siasatan dilengkapkan.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 30 Mac sebelum dua daripada suspek didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Mac.
Menurut beliau, empat lagi suspek yang ditahan dijadikan saksi pendakwaan dan dikenakan bon jaminan bagi membantu prosiding mahkamah.
Dalam prosiding di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 31 Mac, seorang daripada tertuduh, Muhammad Arif Saiyadi, 25 tahun, didakwa membunuh Chia, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret 1, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa di Persiaran Southkey 1 sekitar 5.30 pagi pada 14 Mac.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif.
Majistret Nabilah Nizam menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan toksikologi, kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret 3, seorang lagi tertuduh, Shahid Nazareen Shah Phul Bahar Hussain, 33 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Adam Haikal Zakaria.
Fakta kes menunjukkan tertuduh menumbuk mata kanan mangsa dalam kejadian pada 4.30 pagi di lokasi sama, selepas berlaku pertengkaran.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,700 ($542), atau hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon denda dikurangkan sebelum hukuman dijatuhkan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.
Kes itu dikendalikan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

