Topik diikuti
Pergi ke BHkuFestival ‘Rain Rave’ dihujani kontroversi
Festival ‘Rain Rave’ dihujani kontroversi
Cermin cabaran identiti pelancongan M’sia; pakar saran M’sia beri tumpuan pelancongan halal, warisan dan budaya
Festival ‘Rain Rave’ dihujani kontroversi
Ketika Malaysia mempromosikan acara hiburan, Festival Rain Rave Water Music, yang julung-julung kalinya diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini, sebagai satu tarikan pelancongan, ia mencetus perdebatan terbuka mengenai batas hiburan, sensitiviti agama dan hala tuju imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Rain Rave merujuk kepada acara muzik tarian elektronik yang dikendalikan deejay, dengan hadirin menari bebas seperti suasana kelab malam, dan disertakan dengan kesan khas pancuran air atau ‘hujan’ buatan.
Biasanya, ia diadakan secara tertutup, namun, kelainan yang diketengahkan Tourism Malaysia yang menjadikannya satu pesta terbuka dan bebas, ternyata menjentik sensitiviti serta keprihatinan banyak pihak, terutama umat Islam.
Festival itu dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan agensi jenama swasta, The Fame, sebagai sebahagian kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Walaupun temasya kontroversi itu yang bermula pada 30 April hingga 2 Mei di tengah-tengah pusat tumpuan pelancong itu sudah berakhir, perdebatan mengenainya masih rancak diperkatakan terutama di media sosial.
Antara bantahan terawal datang daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), yang melihat festival berkenaan berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.
Pengarahnya, Encik Hanifuddin Roslan, dalam kenyataan pada 30 April, melahirkan kekesalan jabatan itu terhadap perancangan acara hiburan berkenaan dan mendesak penganjur supaya mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.
Bantahan itu turut disokong oleh pendirian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang jelas menyatakan Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun, ia tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh syarak.
Penolakan itu kemudian disambut Umno – parti politik Melayu/Islam terbesar di Malaysia.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam kenyataan di Facebook menegaskan setiap penganjuran program perlu berteraskan prinsip jelas dan tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.
Namun, desakan demi desakan untuk festival itu dibatalkan dijawab oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang kerap dipalit kontroversi isu sensitif, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau menegaskan festival itu tidak wajar dijadikan bahan politik, malah mendakwa ia penting untuk merangsang ekonomi negara.
Dalam memahami sensitiviti masyarakat Malaysia dalam penganjuran festival seperti itu, apa yang lebih menarik adalah maklum balas pelancong, terutama masyarakat bukan Islam terhadap Malaysia.
Seorang pelancong asing yang menetap di Malaysia sejak sembilan bulan lalu, Encik Roman Zakirov, berkata Rain Rave bukan satu acara yang ingin dialami pengunjung luar sepertinya, sebaliknya pengalaman tentang budaya dan keunikan masyarakat berbilang bangsa dan agama yang lebih menarik untuk dihayati.
“Saya telah menghadiri sambutan hari kemerdekaan, Festival Keretapi Sarong (acara mengenakan kain sarung dan menaiki tren); sambutan perayaan Deepavali, Tahun Baru Cina, Ramadan dan Hari Raya, dan semua itu adalah pengalaman yang benar-benar saya nantikan untuk dihayati lagi.
“Semua budaya dan tenaga ini adalah perkara yang menjadikan Malaysia begitu istimewa bagi saya.
“Tetapi untuk menghadiri Rain Rave, ia bukan sesuatu yang saya ingin alami lagi,” katanya dalam video di TikTok dengan nama pengguna Roman Travels.
Namun begitu, beliau berpandangan ruang hiburan seperti itu masih boleh dijadikan wadah bagi menyatukan penduduk tempatan dan pelancong sekiranya ia disesuaikan dengan identiti serta nilai masyarakat Malaysia.
Mengulas pandangan lelaki warga Australia itu, Timbalan Rektor (Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Mohd Hafiz Hanafiah, berkata ia perlu dilihat sebagai mesej penting kepada industri pelancongan Malaysia.
Profesor Mohd Hafiz yakin kebanyakan pelancong asing datang ke Malaysia untuk mencari pengalaman yang unik dan autentik, sesuatu yang tidak boleh diperoleh di bandar lain di dunia.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai aset pelancongan yang unik dan sukar ditandingi negara lain termasuk kepelbagaian budaya, warisan agama, pelbagai budaya, biodiversiti tropika serta status sebagai hab ekonomi halal dunia.
Menurutnya, tumpuan pelancongan negara seharusnya diberikan kepada tiga teras utama iaitu pelancongan mesra Muslim, ekopelancongan termasuk pelancongan pulau, serta pelancongan warisan budaya.
“Ketiga-tiga ini bukan sahaja selari dengan nilai majoriti penduduk, malah mampu menarik segmen pelancong bernilai tinggi yang cenderung berbelanja lebih dan tinggal lebih lama,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Mengulas lanjut, Profesor Mohd Hafiz berkata dari sudut ekonomi pelancongan, sesuatu tarikan perlu memenuhi dua kriteria asas iaitu mempunyai nilai unik dan autentik kepada destinasi berkenaan, selain diterima oleh masyarakat tempatan.
Menurut beliau, festival Rain Rave di Bukit Bintang, yang didakwa berjaya menjana pulangan RM200 juta ($64.58 juta) dilihat gagal memenuhi kedua-dua ukuran tersebut.
“Festival air berkonsepkan muzik tarian elektronik (EDM) bukan sesuatu yang unik kepada Malaysia kerana ia boleh ditemui di Thailand, Bali, Indonesia, malah di negara Eropah.
“Ia juga tidak mencerminkan identiti budaya atau warisan sebenar Malaysia,” katanya.
Beliau turut berpandangan penolakan meluas daripada masyarakat tempatan menunjukkan acara itu tidak memperoleh legitimasi sosial, sedangkan penerimaan masyarakat merupakan ciri penting dalam pembangunan pelancongan mampan.
“Tanpa penerimaan masyarakat, dasar pelancongan negara akan menjadi tempang,” katanya.
Profesor Mohd Hafiz berkata Malaysia berada dalam kedudukan yang sangat strategik dalam industri pelancongan sejagat, khususnya sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
Malaysia telah berulang kali diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka dunia menerusi penilaian Mastercard-CrescentRating GMTI, ujar beliau.
Menurutnya, pencapaian itu bukan sesuatu yang kecil memandangkan pasaran pelancong Muslim dunia dijangka mencecah lebih AS$200 bilion menjelang 2026, dan Malaysia sudah mempunyai asas prasarana yang kukuh untuk merebut peluang tersebut.
Beliau menjelaskan Malaysia mempunyai sistem pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, kemudahan ibadah yang meluas serta produk pelancongan yang selari dengan keperluan pelancong Muslim.
Bagaimanapun, beliau berkata potensi pelancongan mesra Muslim (MFT Malaysia) masih belum dimanfaatkan sepenuhnya kerana negara masih terlalu bergantung kepada pelancongan konvensional.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah penyepaduan yang lebih sistematik dengan menggabungkan pelancongan halal, ekopelancongan dan pelancongan warisan sebagai satu pakej yang sepadu, bukan produk yang berasingan,” katanya.
Mengikut rekod, Malaysia mencatat kemasukan sekitar lima juta pelancong Muslim pada 2024, yang menjana pendapatan melebihi RM15 bilion.
Beberapa pandangan umum pula melihat Rain Rave telah meletakkan kerajaan dalam kedudukan yang sukar untuk menyeimbangkan ciri hiburan dengan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di Malaysia.
Namun, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Dr Mohd Khalid Harun, melihat penganjuran festival sedemikian tidak menjadi kesalahan, selagi ia mendapat kelulusan pihak berkuasa dan dalam masa sama menguatkuasakan peraturan yang melindungi sensitiviti masyarakat.
“Festival ini tidak mempunyai kaitan dengan amalan ritual pemujaan keagamaan seperti didakwa sesetengah pihak.
“Selain menjadi medium penjanaan ekonomi negara khususnya dalam sektor pelancongan, ia mampu memberi limpahan rezeki secara langsung dan tidak langsung kepada pemilik premis dan perniagaan sekitarnya.
“Apa yang penting penganjuran festival seperti ini mendapat kelulusan dan permit sah daripada pihak berkuasa, di samping prosedur operasi standard yang ketat dan menjamin keselamatan serta keharmonian sepanjang acara berlangsung,” katanya kepada BH.
“
“Festival air berkonsepkan muzik tarian elektronik (EDM) bukan sesuatu yang unik kepada Malaysia kerana ia boleh ditemui di Thailand, Bali, Indonesia, malah di negara Eropah. Ia juga tidak mencerminkan identiti budaya atau warisan sebenar Malaysia... Tanpa penerimaan masyarakat, dasar pelancongan negara akan menjadi tempang.”