Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita bersenjata pisau ditahan di pesta kontroversi KL
Wanita bersenjata pisau ditahan di pesta kontroversi KL
Jawi kesal dengan acara hiburan berkenaan, desak penganjur supaya ambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di M’sia
Wanita bersenjata pisau ditahan di pesta kontroversi KL
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang bersenjatakan pisau telah ditahan polis selepas dia ditumpaskan oleh orang ramai di pesta kontroversi, Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada malam 2 Mei.
Dalam video yang tular, seorang lelaki dilihat cuba melucutkan senjata dipegang wanita itu yang bertindak kasar.
Beberapa individu lain dalam kalangan orang ramai, bersama petugas keselamatan, turut membantu menahannya sehingga pihak polis tiba.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata hanya satu tangkapan melibatkan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun dilakukan selepas dia didapati memiliki senjata berbahaya, iaitu pisau.
“Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kita akan mendapatkan perintah reman terhadapnya.
“Tujuan dia membawa senjata berkenaan masih dalam siasatan,” katanya di Kuala Lumpur, pada malam 3 Mei, lapor Kosmo!.
Datuk Fadil Marsus berkata proses reman terhadap wanita warga tempatan itu dilakukan pada pagi 4 Mei, bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
Beliau, bagaimanapun, berkata keadaan baik dan terkawal sepanjang festival berkenaan yang diadakan sebagai sebahagian promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, berlangsung.
“Keseluruhan penganjuran pesta sejak 30 April lalu berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Sebelum ini festival berkenaan mencetus rasa kurang senang masyarakat yang mempertikaikan penganjuran acara yang dilihat bertentangan dengan norma dan budaya masyarakat Malaysia.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 itu kerana ia dilihat berpotensi membawa kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.
Pengarah Jawi, Encik Hanifuddin Roslan, menyatakan kekesalan jabatan itu terhadap perancangan acara hiburan berkenaan dan mendesak penganjur supaya mengambil kira kepekaan masyarakat majmuk di Malaysia.
Jawi turut menganjurkan bacaan Yasin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 30 April 2026 selepas solat Maghrib, bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, dibidas banyak pihak termasuk orang ramai terutama masyarakat Islam.
Beliau dikecam selepas mengeluarkan kenyataan membidas pihak yang membantah penganjuran festival itu dengan mengeluarkan kenyataan ‘orang ramai tidak perlu hadir ke festival berkenaan kalau tidak suka’.
Datuk Tiong menggesa agar semua pihak tidak mempolitikkan penganjuran festival itu, yang katanya, dibuat dengan tujuan membangunkan ekonomi dan mempromosi pelancongan Malaysia.
