Topic followed successfully
Go to BHkuEmpangan, tadahan air M’sia merosot kerana cuaca panas ekstrem
Empangan, tadahan air M’sia merosot kerana cuaca panas ekstrem
Penduduk Perlis digesa tidak bazir air; pembenihan awan diharap dilaksana segera di Kedah
Empangan, tadahan air M’sia merosot kerana cuaca panas ekstrem
KUALA LUMPUR: Beberapa empangan dan kawasan tadahan air, terutama di beberapa negeri di bahagian utara Semenanjung Malaysia, sedang mengalami penurunan paras air akibat cuaca panas ekstrem dan kering yang sedang melanda negara itu.
Di Kedah, paras air di tiga empangan berada pada tahap membimbangkan, sekali gus mendorong Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menggesa pelaksanaan operasi pembenihan awan (OPA) segera.
Pengerusi Mada, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata cuaca panas berterusan menyebabkan paras air di Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning, kini berada pada tahap membimbangkan.
“Ketika ini paras keseluruhan tiga empangan utama hanya sekitar 38 peratus dan ini memberi tekanan besar kepada usaha pengairan sawah di bawah seliaan Mada.
“Permohonan SPA itu dibuat selepas usaha sebelum ini termasuk OPA pada Februari lalu, belum memberikan hasil memberangsangkan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, Datuk Dr Ismail, berkata bekalan air mentah ke 13 Loji Rawatan Air (LRA) dari tiga empangan di Kedah itu masih bertahan ketika cuaca panas ini.
Beliau berkata pada masa ini, pelepasan air empangan kira-kira 1,000 kaki padu sesaat masih diteruskan bagi memastikan keperluan air bersih kepada rakyat tidak terjejas.
“Terdapat 13 LRA di Kedah dan kita dimaklumkan semuanya tidak terganggu kerana pelepasan air untuk kegunaan domestik dan industri dikekalkan.
“Ini keutamaan kita ketika keadaan empangan utama berada pada tahap kritikal, yang penting bekalan air untuk rakyat masih ada,” katanya ketika ditemui BHM selepas program solat sunat Istisqa’ di Dataran Mong Gajah, Empangan Pedu, pada 26 Mac.
Di Perlis, simpanan air Empangan Timah Tasoh, Beseri, di Padang Besar, dijangka hanya mampu bertahan selama 81 hari lagi sekiranya tiada hujan dan cuaca panas berterusan di Perlis.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Encik Amir Budiman Abdullah, berkata bacaan paras air empangan itu pada 26 Mac merekodkan 26.72 meter yang dikategorikan sebagai belum kritikal pada masa ini.
“Nasihat kepada pengguna air ketika ini adalah supaya semua orang di Perlis tidak kira sektor mana sekali pun hendaklah berjimat cermat menggunakan air dan tidak membazir, hanya guna pada perkara yang sangat perlu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, hadir menyertai hampir 1,000 anggota jemaah menunaikan solat sunat Al-Istisqa’ bagi memohon hujan di Dataran Istiadat, Istana Arau, di Perlis.
Di Kelantan, cuaca panas berpanjangan menyebabkan paras air empangan Bukit Kwong di Rantau Panjang berada di bawah paras normal.
BHM melaporkan bacaan bagi empangan berkenaan adalah 15.47 meter berbanding paras normal 16.76 meter.
Di Pahang, paras Sungai Tembeling susut ketara sehingga membentuk dataran pasir di beberapa lokasi berikutan fenomena cuaca panas melampau.
Keadaan itu menjadikan sungai semakin cetek dan menyukarkan pergerakan bot, khususnya bagi penduduk yang bergantung kepada laluan air.
Penduduk, Encik Jafrun Ali, 66 tahun, berkata paras air sungai surut menyebabkan ada bahagian sungai yang boleh dilalui berjalan kaki saja untuk ke kawasan pasir yang timbul.

