KUALA LUMPUR: Permohonan cuti sakit dalam kalangan penjawat awam Selangor telah menurun sebanyak 30 peratus, sejak kerajaan negeri melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pengaturan BDR tersebut yang kini melibatkan 390 kakitangan atau 50 peratus daripada tenaga kerja akan dikaji secara berkala bagi memastikan ia tidak menjejas produktiviti.

Beliau berkata daripada baki kakitangan, 284 orang (36 peratus) didapati tidak layak untuk BDR kerana tinggal dalam lingkungan lapan kilometer dari tempat kerja mereka, manakala 109 orang (14 peratus) perlu hadir secara fizikal disebabkan tuntutan dan keperluan tugas mereka.

“Sebelum pelaksanaan, terdapat laporan mengenai pekerja menggunakan ‘alasan kreatif’ untuk mengambil cuti sakit.

“Sejak pengaturan BDR bermula, kita melihat pengurangan kos yang ditanggung atas sebab perubatan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, Selangor, pada 29 April, lapor The Star.

Datuk Amirudin menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cik Mariam Abdul Rashid (Pakatan Harapan-Meru) mengenai perkembangan BDR di Selangor, dan potensi insentif untuk sektor swasta mengikutinya.

Datuk Amirudin berkata syarikat swasta digalakkan mempertimbangkan model hibrid yang disesuaikan dengan keperluan industri masing-masing.

Beliau menyatakan bahawa cabang pelaburan negeri, Menteri Besar Incorporated, telah mengamalkan penggiliran BDR sejak 2019.

“Di bawah pengaturan ini, pekerja tidak terikat kepada jadual tetap 9 pagi hingga 5 petang, tetapi dikehendaki melengkapkan sembilan jam sehari,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Cik Mariam sama ada arahan itu terpakai kepada Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan (DUN), Datuk Amirudin berkata keputusan tersebut diserahkan kepada pentadbiran DUN masing-masing.

Beliau menambah bahawa premis tersebut mesti kekal boleh diakses secara fizikal untuk mengendalikan aduan masyarakat.

Mengenai pertanyaan daripada Adun Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin (Perikatan Nasional-Sungai Burong) berhubung kebimbangan kos BDR mungkin dipindahkan kepada pengguna, Datuk Amirudin berkata kos tersebut secara umumnya diimbangi oleh pengurangan perbelanjaan pengangkutan bagi kakitangan.

Sidang DUN Selangor kemudian ditangguhkan tanpa tarikh baru ditetapkan.

Sebelum ini Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan bersetuju melaksanakan BDR untuk penjawat awam, sebagai langkah penjimatan bekalan dan kos bahan api, ketika konflik Timur Tengah semakin berlarutan.

Dasar BDR itu ditetapkan bermula 15 April lalu selama tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Rabu dan Khamis, dengan hanya penjawat awam yang tinggal di kawasan lebih lapan kilometer layak BDR.