SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

BN Johor perkukuh gerak kerja, bagi lahir pemimpin muda

BN Johor perkukuh gerak kerja, bagi lahir pemimpin muda

Bengkel MCA Johor jadi wadah selaras strategi dan kesiapsiagaan parti
Apr 15, 2026 | 6:00 PM

BN Johor perkukuh gerak kerja, bagi lahir pemimpin muda

Pilihan Raya MCA Negeri Johor, Barisan Nasional Johor
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri), bersama Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, ketika menghadiri Kem Persediaan Pilihan Raya MCA Negeri Johor. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Usaha memperkukuh gerak kerja Barisan Nasional (BN) Johor perlu diteruskan menerusi kerjasama erat semua parti komponen termasuk dalam melahirkan generasi pemimpin muda yang lebih berwibawa, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, berkata bengkel kepimpinan anjuran Persatuan Cina Malaysia (MCA) Johor, menjadi wadah penting menyelaras strategi dan memperkemas kesiapsiagaan pertubuhan parti.

“BN Johor akan terus memperkukuh kerjasama serta memastikan setiap gerak kerja benar-benar memberi manfaat yang dirasai oleh rakyat.

“Dalam masa yang sama, ruang melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa perlu terus diperluas.

“Mereka bukan sahaja perlu diberi peluang, bahkan juga dilatih dan dibimbing dari sekarang,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 April.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel kepimpinan MCA Johor yang menghimpunkan pemimpin akar umbi dan wakil tempatan parti itu di Johor Bahru.

Datuk Onn Hafiz berkata beliau percaya semangat kesepakatan dan kerjasama kukuh antara semua pihak akan memastikan BN Johor terus kekal kuat, stabil dan diyakini rakyat.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata beliau merakamkan penghargaan kepada Datuk Onn Hafiz, atas kesudian menghadiri Kem Persediaan Pilihan Raya MCA Negeri Johor.

Menurutnya, kehadiran Datuk Onn Hafiz sebagai Pengerusi BN Johor amat bermakna kepada 127 ahli majlis tempatan dan 123 ketua kampung MCA di seluruh negeri.

“Kami berharap para peserta akan terus berkhidmat dengan semangat Team Johor seperti yang beliau tekankan,” katanya.

Dalam kem itu, peserta turut bertafakur sebagai penghormatan kepada mendiang Tun Dr Ling Liong Sik, yang meninggal dunia pada 4 April.

Menurut Datuk Wee, Datuk Onn Hafiz turut menegaskan Johor tidak lagi wajar dijadikan medan eksperimen politik kerana kos yang ditanggung terlalu besar.

Projek seperti Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) menjadi contoh bagaimana ketidaktentuan boleh menyebabkan kelewatan pembangunan.

“Sekiranya tidak wujud ketidakpastian sebelum ini, kemungkinan besar RTS sudah boleh beroperasi dua tahun lebih awal,” kata Dr Wee.

Datuk Wee berkata di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz, kerajaan negeri bergerak pantas menerusi pendekatan yang dikenali sebagai ‘Johor Speed’.

Hasilnya, Johor berjaya mencatat pelaburan berjumlah RM110 bilion ($35 billion) bagi 2025, sekali gus menjadi rekod tertinggi pernah dicapai negeri itu.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memastikan manfaat ekonomi dapat dikongsi bersama rakyat menerusi pelbagai inisiatif Bantuan Kasih Johor berjumlah RM170 juta.

ia memberi manfaat kepada lebih 330,000 rakyat termasuk mahasiswa universiti, pesakit dan pemandu e-hailing (e-panggilan dengan menempah kenderaan secara dalam talian).

Dalam program yang sama, mantan Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek, turut menyampaikan ceramah khas dan mengadakan sesi dialog bersama wakil setempat berhubung pengalaman beliau sebagai mantan Exco Johor.

Datuk Wee berkata MCA Johor akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg