Topik diikuti
Pergi ke BHkuBarah kekal punca kematian ketiga tertinggi di M’sia, 40,000 kes baru setiap tahun
Barah kekal punca kematian ketiga tertinggi di M’sia, 40,000 kes baru setiap tahun
Barah kekal punca kematian ketiga tertinggi di M’sia, 40,000 kes baru setiap tahun
KUALA LUMPUR: Barah kekal sebagai punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia, dengan kira-kira 40,000 kes baharu dicatatkan setiap tahun.
Ia sekali gus menunjukkan bebanan yang kian meningkat terhadap sistem penjagaan kesihatan dan keupayaan tenaga kerja sektor kesihatan dan perubatan di Malaysia untuk menampungnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata negara perlu menghadapi realiti beban barah yang semakin kompleks, sambil menekankan betapa karyawan penjagaan kesihatan, terutama pakar onkologi, penting dalam mengekalkan tindak balas nasional yang berkesan.
“Kita perlu berterus terang tentang landskap yang kita hadapi. Barah kekal sebagai penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia, dengan kira-kira 40,000 kes baharu dilaporkan setiap tahun.
“Bagi menghadapi cabaran ini, tenaga kerja kita adalah aset terbesar kita,” katanya ketika merasmikan Forum Pakar Onkologi Wanita: Giving Value, Gaining Impact (Menyumbang Khidmat, Menjana Impak), di Kuala Lumpur, pada 27 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Forum anjuran Roche Malaysia, yang julung-julung kali diadakan itu menghimpunkan pakar onkologi wanita di seluruh Malaysia untuk saling bertukar pandangan tentang bimbingan, kepimpinan dan pembangunan profesional dalam penjagaan penyakit barah.
Dr Dzulkefly berkata Malaysia kini mempunyai 84 pakar onkologi di seluruh negara, peningkatan 60 peratus sejak 2019, namun, jumlah itu masih tidak mencukupi dalam memenuhi permintaan penjagaan barah yang kian meningkat dan kompleks.
Kementerian Kesihatan tambah beliau, terus komited terhadap pendekatan melibatkan seluruh masyarakat, tetapi menegaskan bahawa usaha kerajaan sahaja tidak mencukupi dalam menangani pelbagai cabaran dalam penjagaan kesihatan.
menurutnya, daya usaha, Cancer Care Closer to Community (Penjagaan Barah Lebih Dekat dengan Masyarakat), yang dijalankan dengan Roche Malaysia, merupakan contoh utama usaha menambah baik akses kepada rawatan barah, terutama di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Selain cabaran kapasiti, Dr Dzulkefly menekankan aspek penjagaan barah yang menumpukan rawatan pesakit, menyifatkannya sebagai bidang mencabar yang memerlukan daya tahan, penyelarasan dan pembelajaran berterusan.
Beliau turut mengetengahkan tekanan tambahan yang dihadapi pakar onkologi wanita, yang terpaksa mengimbangi tanggungjawab profesional dengan komitmen peribadi sambil terus memberikan penjagaan bermutu tinggi.
“Bagi wanita yang bertugas dalam bidang ini, tuntutan profesional ini sering disulitkan lagi oleh tanggungjawab di luar tempat kerja.
“Namun begitu, anda terus menunjukkan kecekalan, belas kasihan dan komitmen tinggi terhadap pesakit anda,” katanya.
