SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Zara Zya tekun dalam niaga dan lakon, walau hidap barah

Zara Zya tekun dalam niaga dan lakon, walau hidap barah

Dulu niaga kambing perap bakar di bazar Ramadan, kini pelakon drama, ‘Mencari Isteri Sempurna’, jual koleksi baju kurung
Mar 13, 2026 | 5:30 AM

Zara Zya tekun dalam niaga dan lakon, walau hidap barah

zara zya, zarazyacooks
Pelakon Zara Zya, memperkenalkan koleksi baju kurung terkini semasa acara dagangan ‘Celebfest Ramadan 2026’ di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, pada 28 Februari, di samping menjual barang makanan seperti kuih gunting dan sambal hijau ikan bilis, hasil air tangan sendiri. - Foto BH oleh AININ ALFIYANI JAILANI

Walaupun berdepan cabaran kesihatan, pelakon wanita dari seberang, Zara Zya, tetap kekal aktif dalam dunia lakonan dan perniagaan.

Pada 2025, Zara, atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40 tahun, berkongsi bahawa beliau disahkan menghidap renal cell carcinoma, atau sel barah buah pinggang tahap satu.

Disebabkan itu, beliau yang telah menjalani pembedahan, kini lebih berhati-hati, menjaga pemakanan dan gaya hidup, serta kekal positif supaya tidak membebankan fikiran.

“Buat masa sekarang, saya kekal positif dan cuba membahagiakan diri.

“Alhamdulillah, saya agak sibuk pada bulan puasa ini dengan kegiatan lakonan, selain menjalankan perniagaan.

“Pada masa sama, drama saya, Mencari Isteri Sempurna, juga sedang ditayangkan kini di Astro Prima.

“Walaupun ia sudah ditayangkan, namun penggambaran bagi drama itu masih lagi berlangsung.

“Jadi, jadual saya memang sangat padat.

“Sambil itu, Zara juga meluangkan masa di Singapura, untuk berniaga.

“Sebaik pulang dari Singapura nanti, saya akan terus ke set penggambaran.

“Saya rasa tidak ada masa langsung untuk memikirkan tentang masalah. Saya fikir kerja sahaja.

“Tak ada pun nak fikir negatif tentang kehidupan saya ini,” kata Zara, yang ditemui Berita Harian (BH) pada acara dagangan, Celebfest Ramadan 2026, di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, pada 28 Februari.

Ketika ditemui, beliau sedang meniaga barang makanan seperti kuih gunting, sambal hijau ikan bilis serta busana Aidilfitri bagi Muslimah.

Bagaimanapun, dalam usaha menjaga kesihatannya, Zara mengakui rehat yang cukup kini sukar diperoleh kerana kesibukannya dalam dunia lakonan.

“Dari segi tenaga, memang saya sedar betapa penting untuk menjaga perkara asas seperti makan, tidur dan rehat yang mencukupi.

“Namun, dengan komitmen kerja yang padat, kadangkala sukar memenuhi kesemuanya.

“Ada masa apabila pulang ke rumah pun, belum tentu dapat berehat secukupnya.

“Tapi alhamdulillah, saya tetap teruskan kerana orang sekeliling sangat memahami dan tidak pernah memandang saya seperti orang yang sakit.

“Sokongan itu membuatkan Zara tidak terlalu memikirkan perkara (barah) tersebut,” ujarnya.

Selain aktif dalam bidang lakonan, anak kelahiran Perak, Malaysia itu, turut ‘tidak menang tangan’ dalam dunia niaga.

Buat julung-julung kalinya, Zara yang gemar berniaga, tampil dengan koleksi baju kurung moden jenama sendiri, sempena Aidilfitri ini.

Bagi dirinya yang biasa berniaga makanan, beliau akur tidak melakukannya demi keuntungan, sebaliknya demi memuaskan hati dan menyantuni keinginan peminat.

“Sejak dulu lagi, saya memang suka berniaga. Masak juga adalah hobi saya.

“Saya rasa peminat saya lebih suka kalau saya jual makanan, dan mereka pun tahu saya suka memasak sejak dulu lagi.

“Ini membuatkan mereka ingin rasa air tangan saya.

“Jadi, saya perlu teruskan meniaga barang makanan. Walaupun produk makanan yang saya jual tidak banyak (kuih gunting dan sambal hijau ikan bilis), sememangnya saya mahu peminat gembira.

“Saya tidaklah mahu keuntungan yang terlalu beria-ia. Tetapi Aidilfitri kali ini, saya membuat kelainan dengan membawa beberapa rekaan baju kurung.

“Ini merupakan projek terbaharu saya, yang diusahakan bersama pasukan saya sendiri.

“Kalau barang makanan, memang daripada saya sendiri,” ujar pelakon drama, Risik Pada Hati itu, yang sebelum ini pernah mempunyai restoran, Zara Zya Cooks, di Shah Alam, Selangor.

Pada 2025, Zara sempat berniaga kambing perap bakar di Bazar Ramadan Jalan Kebun, Shah Alam.

Namun begitu, beliau akur usaha itu dilakukan untuk mengisi masa lapang memandangkan ketika itu, Zara tidak terlibat dengan sebarang penggambaran drama.

“Masa itu, semuanya berlaku secara kebetulan. Saya cuma ingin memperkenalkan juadah kambing perap yang saya jual.

“Tahun lepas (2025), saya tidak terlibat dalam mana-mana penggambaran. Ketika itu juga saya baru keluar hospital dan masih dalam fasa pemulihan.

“Saya fikir, ‘Apalah kegiatan menarik yang boleh dilakukan sepanjang Ramadan?’ Daripada saya terperuk di rumah, lebih baik saya cuba berniaga di bazar.

“Tak sangka pula perkara itu menjadi ‘hype’ (digembar-gembur) dan tular di media sosial, sampai tahun ini (2026) pun ada orang datang ke bazar itu untuk mencari saya.

“Malah, yang tidak sempat datang tahun lepas (2025) pun turut mencari saya. Cuma tahun ini, saya agak sibuk dengan penggambaran drama Mencari Isteri Sempurna.

“Kalau nak berniaga di bazar lagi, rasanya memang tak larat. Mungkin pengalaman itu hanya untuk tahun tersebut sahaja... sekadar mencuba.

“Sekarang, produk kambing perap itu pun boleh dibeli secara dalam talian,” kongsinya.

Sejak mencipta populariti menerusi drama. Love You Mr Arrogant, pada 2013, perjalanan untuk terus kekal relevan dalam industri hiburan bukanlah sesuatu yang mudah.

Menurut Zara, memiliki sikap yang baik adalah kunci untuk terus bertahan dalam dunia lakonan.

“Bagi saya, saya tidak rasa terlalu di atas atau di bawah. Nama Zara Zya itu, saya percaya masih lagi relevan.

“Alhamdulillah, masih ada orang yang menantikan lakonan saya.

“Saya mungkin tidak layak memberi nasihat lebih-lebih, tetapi saya rasa penting untuk menjaga sikap dan pergaulan ketika menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.

“Apabila bekerja dengan orang lain, kita kena saling menghormati.

“Sejauh ini, saya juga bersyukur kerana tiada sebarang masalah berkaitan bayaran,” ujar Zara.

Walaupun dahulu pernah mengalami detik kurang menyenangkan dengan seorang pelakon berpengalaman, Zara mengakui beliau tidak mudah terasa hati, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai pembakar semangat.

“Semasa awal pembabitan saya dalam dunia seni, saya pernah diperlekehkan seorang pelakon ‘senior’.

“Saya tidak trauma selepas kejadian itu, cuma terasa sedih. Perasaan itu... kita bawa sampai bila-bila.

“Sesiapa pun kita, jangan sesekali memandang rendah pada orang lain, kerana kita tidak tahu bila orang itu akan menjadi lebih baik daripada kita.

“Daripada pengalaman itu, saya menjadikannya sebagai dorongan untuk membuktikan kemampuan saya.

“Kini, saya pun tidak lagi mengejar lebih. Apa yang saya impikan seperti meraih anugerah dan berlakon dalam drama yang diingati orang sampai hari ini, sudah tercapai,” kata Zara penuh syukur.

Drama, Mencari Isteri Sempurna, yang turut dijayakan Redza Rosli, Cahaya Nilam dan Sherry Ibrahim, boleh ditonton di Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 6 petang.

Ia mengisahkan tentang Ustaz Reza (lakonan Redza), lelaki elit yang menuntut kesempurnaan dan berdepan dilema memilih calon isteri, antara ibu tunggal, Syifa (Sherry); wanita cerdik berlidah tajam, Zara (Zara Zya); dengan gadis pemberontak, Ayu (Cahaya Nilam).

Sibukkan Diri

Saya rasa tidak ada masa langsung untuk memikirkan tentang masalah. Saya fikir kerja sahaja. Tak ada pun nak fikir negatif tentang kehidupan saya ini.
Zara Zya.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg