SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Anwar: RM15.5b diperoleh semula bantu ringan beban subsidi

Anwar: RM15.5b diperoleh semula bantu ringan beban subsidi

Apr 6, 2026 | 2:06 PM

Anwar: RM15.5b diperoleh semula bantu ringan beban subsidi

anwar ibrahim
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KOTA TINGGI: Kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan semula kira-kira RM15.5 bilion ($4.9 bilion) daripada ketirisan dalam tempoh dua tahun lalu.

Ia sekali gus membantu mengurangkan tekanan subsidi ketika krisis tenaga sejagat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dana tersebut memberi kelegaan kepada kerajaan yang kini menanggung subsidi mencecah RM6 bilion sebulan.

“Ada yang bertanya bagaimana kita mampu bertahan. Sekarang kita perlu membayar subsidi RM6 bilion setiap bulan.

“Alhamdulillah, beberapa tahun lalu, hasil usaha keras membanteras ketirisan, kita berjaya menjimatkan RM15.5 bilion wang negara yang hilang.

“Kita mesti tahu bagaimana wang itu boleh diselamatkan dan di mana ketirisan berlaku. Perkara ini perlu dihentikan,” katanya dalam ucapan selepas bertemu peneroka Felda di Felda Semenchu pada 5 April.

Datuk Anwar menegaskan keperluan iltizam politik, sokongan masyarakat serta tenaga kerja yang cekap bagi memastikan pengurusan kewangan negara dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia sedang giat mencari penyelesaian terhadap cabaran sejagat semasa, lapor The Star.

“Walaupun kos meningkat, kita terus mengekalkan subsidi supaya rakyat tidak terbeban seperti di negara lain yang berdepan harga bahan api jauh lebih tinggi.

“Ini merupakan krisis ekonomi besar. Jika keadaan tidak bertambah baik dalam tempoh satu atau dua bulan, kesannya akan dirasai hingga ke setiap kampung di negeri kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Anwar memberi jaminan agenda pembangunan Felda akan terus diperkukuh.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di Felda Semenchu.

“Walaupun tiada permohonan khusus dikemukakan, saya melihat keperluan di kawasan ini dan kerajaan akan memastikan bantuan disalurkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau menggesa rakyat supaya kekal bersatu dan bersabar dalam menghadapi cabaran semasa serta mengamalkan sikap berjimat dalam mengurus perbelanjaan harian.

Dalam acara berasingan di Pengerang, Datuk Anwar mengumumkan pelaburan RM100 juta bagi menubuhkan sebuah kolej vokasional yang bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir untuk menyokong salah satu hab minyak dan gas utama negara.

Beliau berkata hab minyak utama negara terletak di Johor, Sarawak dan Sabah.

“Kolej vokasional ini merupakan projek strategik dan kita berharap ia dapat disiapkan menjelang 2030,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih yang akan digunakan sebagai lokasi sementara pada peringkat awal.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg