Topic followed successfully
Go to BHkuAnak Daim mengaku tidak salah atas tuduhan gagal isytihar aset
Anak Daim mengaku tidak salah atas tuduhan gagal isytihar aset
Anak Daim mengaku tidak salah atas tuduhan gagal isytihar aset
KUALA LUMPUR: Anak perempuan mantan Menteri Kewangan Malaysia, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Cik Asnida Daim, mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Cik Asnida didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 April, di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM kerana gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset daripada agensi antirasuah itu.
Beliau didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan sahamnya dalam lima syarikat, iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 13 Disember 2023 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, lapor portal berita Free Malaysia Today.
Jika disabit kesalahan, Cik Asnida boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak melebihi RM100,000 ($31,874).
Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan Cik Asnida diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mei.
Terdahulu pada 6 April, Cik Asnida hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan agensi tersebut terhadap keluarganya.
Cik Asnida merupakan seorang daripada empat anak Allahyarham Tun Daim yang dipanggil SPRM, untuk memberi keterangan berhubung kes pengisytiharan harta.
Namun, tiga lagi anak Allahyarham iaitu Encik Md Wira Dani Daim, Encik Muhammed Amir Zainuddin Daim, dan Encik Muhammed Amin Zainuddin Daim, dilaporkan tidak hadir pada tarikh ditetapkan iaitu 6 April.
Susulan itu, SPRM dalam satu kenyataan pada 6 April, berkata pihaknya akan memohon notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap dua anak lelaki Allahyarham, selepas mereka gagal tampil di ibu pejabat suruhanjaya itu untuk memberi keterangan.
SPRM berkata pihaknya memandang serius ketidakhadiran Encik Muhammed Amir dan Encik Muhammed Amin, khususnya selepas peguam mereka terlebih dahulu telah menyatakan komitmen dan persetujuan bahawa anak guam mereka akan hadir.
“Namun demikian, mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah,” kata SPRM.
SPRM memaklumkan bekas peguam, Cik Josephine Premla Sivaretnam, yang didakwa sebagai sekutu Allahyarham Tun Daim, juga gagal hadir ke ibu pejabat SPRM pada 6 April, walaupun telah diarahkan berbuat demikian.
Agensi itu berkata beliau gagal memberikan alasan yang memuaskan berhubung ketidakhadirannya.
Menurut SPRM, ketiga-tiga mereka akan berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48 (c) Akta SPRM 2009, yang menjadikannya satu kesalahan jika gagal mematuhi arahan pegawai SPRM untuk hadir memberi keterangan.
“SPRM menegaskan sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi ini tidak akan dilayan dengan toleransi dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa pengecualian,” katanya.
Selain notis merah Interpol, SPRM berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menyekat dan memantau pergerakan ketiga-tiga individu tersebut.
Pada 28 Februari lalu, SPRM telah mengeluarkan notis mengesan empat anak Allahyarham Tun Daim.
Tindakan itu diambil selepas mereka gagal memberi maklum balas dan tidak mematuhi dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.

