Topic followed successfully
Go to BHkuPeguam nafi keluarga Daim terbabit dalam usaha sabotaj kerajaan
Peguam nafi keluarga Daim terbabit dalam usaha sabotaj kerajaan
Anwar dakwa keluarga Daim guna pelan perhubungan awam libat ‘pegawai bank’ dan ‘Zionis’ untuk sabotaj negara
Peguam nafi keluarga Daim terbabit dalam usaha sabotaj kerajaan
Peguam yang mewakili Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin, menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa keluarga mereka menggunakan pelan perhubungan awam melibatkan ‘pegawai bank’ dan ‘Zionis’ untuk mensabotaj negara.
Sebaliknya, Encik Rajesh Nagarajan dan Encik Sachpreetraj Singh, menyifatkan kenyataan Datuk Anwar di Parlimen itu sebagai ‘tidak benar, tidak masuk akal dan keterlaluan’.
Mereka turut menuduh Perdana Menteri sengaja mengelirukan Dewan Rakyat dan orang ramai.
Menerusi kenyataan, peguam menjelaskan pelan komunikasi yang dibuat pada Ogos 2025 hanyalah strategi pengurusan krisis biasa, susulan siasatan berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keluarga Allaharham Tun Daim.
Menurut laporan Malaysiakini, mereka berkata pelan itu hanya menyebut pegawai bank sebanyak dua kali, iaitu dalam konteks memberi jaminan siasatan SPRM tidak menjejas kelayakan kredit Toh Puan Na’imah.
“Dakwaan Datuk Anwar bahawa Zionis terlibat adalah lebih tidak masuk akal. Tidak ada satu perkataan pun mengenai Zionisme atau Israel atau apa-apa yang berkaitan dengannya dalam keseluruhan pelan komunikasi itu,” kata mereka dalam kenyataan pada 3 Mac.
Terdahulu, di Parlimen, Datuk Anwar mendedahkan individu yang didakwa cuba mensabotaj kerajaan mempunyai kaitan dengan kumpulan Zionis terkemuka.
Beliau mendakwa usaha itu bukan sahaja melibatkan media antarabangsa, malah pegawai bank, dalam cubaan menjejas kestabilan ekonomi negara.
Pendedahan Datuk Anwar itu merujuk kepada kebocoran dokumen ‘pelan komunikasi’ setebal 13 halaman.
Dokumen itu dipercayai sebahagian daripada strategi keluarga Allahyarham Tun Daim untuk membela reputasi mereka susulan tindakan undang-undang oleh SPRM.
Pelan dua tahun, yang dijangka berlanjutan sehingga pilihan raya umum ke-16 pada 2027, menggariskan strategi yang dilihat bertujuan mencabar naratif kerajaan.
Ia membingkaikan prosiding undang-undang terhadap Tun Daim dan keluarganya sebagai serangan bermotif politik, berbanding usaha sah membanteras rasuah.
Dalam bahagian mengenai “taklimat latar belakang dengan media antarabangsa utama”, dokumen tersebut menyatakan langkah itu dirancang untuk “membantu membentuk perspektif mereka mengenai Malaysia dan mempengaruhi laporan mereka”.
Antara agensi media yang disenaraikan sebagai ‘sasaran’ dalam pelan itu termasuk BBC, Financial Times, The Economist, The Times dan The New York Times.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan PDRM telah memulakan siasatan terhadap dakwaan komplot untuk menjatuhkan kerajaan dan sabotaj kestabilan negara.
Menurutnya, siasatan itu menumpukan kepada dakwaan penglibatan seorang tokoh berpengaruh negara yang didakwa bersekongkol dengan sebuah agensi media antarabangsa bagi melaksanakan rancangan tersebut.
Toh Puan Na’imah kemudian mengesahkan satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
Namun, beliau menafikan laporan itu yang dianggap bertujuan mengalih perhatian daripada kes pegangan saham melibatkan Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki.

