Topic followed successfully
Go to BHku22 individu disiasat, sebar berita palsu krisis tenaga di M’sia
22 individu disiasat, sebar berita palsu krisis tenaga di M’sia
22 individu disiasat, sebar berita palsu krisis tenaga di M’sia
Seramai 22 individu disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan 36 kertas siasatan dibuka berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial dan media digital, melibatkan krisis tenaga sejagat akibat konflik Timur Tengah ketika ini.
Laporan yang diterima SKMM mendorong 22 individu dari seluruh Malaysia dipanggil untuk memberi keterangan.
“Manakala enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” kata SKMM dalam kenyataan pada 8 April.
SKMM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM500,000 ($159,704) atau penjara sehingga dua tahun, atau kededuanya sekali jika disabit kesalahan.
Suruhanjaya itu menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan wadah media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang awam melalui penyebaran maklumat palsu.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada, tambah SKMM.
“Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial dan platform digital, serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” kata SKMM.
Terdahulu, Berita Harian pada 2 April lalu melaporkan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap pengkhianat yang menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan serta dasar kerajaan.
Beliau menyatakan kerajaan menghadapi cabaran luar biasa menguruskan negara, khususnya dengan kesan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.
Keadaan diburukkan lagi oleh berita palsu yang mengelirukan dan mencemaskan rakyat.
Menurut Datuk Anwar, SKMM telah mengesan 96 kandungan berita palsu mengenai kenaikan harga minyak dan elektrik di media sosial.
Penyebaran maklumat palsu itu, ujar beliau, bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menjejas keyakinan awam ketika negara sedang berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik sejagat.
Beliau menegaskan, tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan rakyat, terutama dalam keadaan kerajaan sedang berusaha menstabilkan ekonomi serta melindungi kebajikan masyarakat.
Sejak itu, SKMM memulakan siasatan dan memanggil individu terbabit untuk diambil keterangan, termasuk terhadap penyebaran berita palsu di saluran media perdana Malaysia, yang mendakwa kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel bersubsidi akan bermula pada 1 April.

