KUALA LUMPUR: Seramai 12 anggota polis pelbagai pangkat diberkas selepas disyaki memeras ugut seorang lelaki China sebanyak RM2 juta ($630,000).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mengesahkan penahanan itu, sambil menyatakan, tangkapan itu turut merangkumi pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan Asisten Superintenden (ASP), lapor Harian Metro.

Punca warga China itu ditahan polis berkenaan masih tidak jelas.

Difahamkan, kumpulan anggota polis terbabit dipercayai memeras ugut mangsa warga China itu dengan menuntut RM2 juta.

Namun, sumber berkata mangsa dilapor dibebaskan selepas membayar AS$140,000, atau kira-kira RM560,000.

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Menyusuli hal itu, difahamkan seramai 12 pegawai dan anggota polis telah ditahan, yang mana ada antaranya berpangkat DSP, ASP dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, polis berjaya merampas semula sebahagian wang tunai yang dibayar kepada anggota polis berkenaan, menyusuli penahanan mereka.

Sementara itu dalam satu kes berasingan, enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, pada 27 Julai, atas pertuduhan menculik seorang lelaki dan meminta RM8 juta sebagai tebusan pada 16 Julai lalu.

Semua tertuduh yang berusia antara 33 dengan 45 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Berdasarkan pertuduhan, kesemuanya didakwa secara bersama-sama tujuh individu lain yang masih bebas, telah menculik Encik Chui Kok Mun, 44 tahun, dengan niat meminta tebusan RM8 juta di sebuah restoran nasi kandar di Dataran Sunway, Petaling Jaya, kira-kira 5.15 petang, 16 Julai lalu.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang menjadi mangsa culik berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 24 jam selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan sebanyak RM8 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, dilaporkan berkata mangsa diselamatkan menerusi operasi khas di sebuah unit kediaman di kawasan Shah Alam, Selangor, pada 1 pagi 17 Julai. – Agensi berita.