Topik diikuti
Pergi ke BHkuPDRM akan jumpa mantan Ketua SPRM berhubung dakwaan ugut ahli perniagaan
PDRM akan jumpa mantan Ketua SPRM berhubung dakwaan ugut ahli perniagaan
PDRM akan jumpa mantan Ketua SPRM berhubung dakwaan ugut ahli perniagaan
KUALA LUMPUR: Polis akan bertemu dengan mantan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dalam masa terdekat, berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan Encik Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar, berkata pihaknya sudah dihubungi oleh individu terbabit dan akan mendapatkan keterangan lanjut dalam masa terdekat.
“Setakat ini, kami sudah berhubung dan pertemuan akan diatur dalam minggu hadapan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Kumar dilaporkan berkata pihaknya merakam percakapan dua saksi iaitu Encik Tei dan seorang peguam yang dikatakan menyampaikan maklumat berhubung dakwaan ugutan itu, setakat ini.
Beliau berkata Encik Tei, melalui sidang media selepas membuat laporan polis pada 13 Mei lalu, telah memaklumkan ugutan terhadapnya diterima melalui seorang peguam.
Sebelum ini, beliau dilaporkan menuduh Tan Sri Azam mengugut, menghalang dan menganiayanya ketika beliau cuba mendedahkan skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah pada 2025.
Pada 2025, Encik Tei pernah didakwa di mahkamah bersama bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berhubung kes rasuah.
Menegaskan lanjut dakwaan itu kemudian, Tan Sri Azam menyifatkan tuduhan Encik Tei itu sebagai tidak berasas, selain mendakwa laporan polis dibuat oleh ahli perniagaan berkenaan terhadapnya juga adalah palsu.
Beliau mendakwa ia kerana dirinya tidak pernah mempunyai sebarang urusan secara langsung dengan Encik Tei.
Bahkan, Tan Sri Azam mendakwa beliau juga tidak pernah berhubung atau mengarahkan mana-mana peguam yang mewakili dirinya untuk berurusan dengan ahli perniagaan itu.
“Saya tidak tahu apa yang lelaki ini (Tei) dakwa. Saya tidak pernah bercakap dengannya secara langsung. Malah, saya juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam yang mewakili saya untuk berurusan dengannya secara terus,” dakwa beliau.
Tan Sri Azam sekali gus mempersoalkan motif di sebalik semua tuduhan berkenaan.
Namun, katanya, beliau mengalu-alukan siasatan berhubung perkara itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis.
Pada masa sama, Tan Sri Azam menggesa supaya polis turut menyiasat Encik Tei berhubung kenyataan serta tuduhan didakwa sebagai palsu itu yang dibuat secara terbuka terhadapnya.
