Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram Mendaki pacu wanita kembali bekerja, penyertaan naik tiga kali ganda
Program Mendaki pacu wanita kembali bekerja, penyertaan naik tiga kali ganda
Pesakit barah raih kemahiran, semangat baru dengan program ‘Women At Work’
Program Mendaki pacu wanita kembali bekerja, penyertaan naik tiga kali ganda
Setelah hampir dua tahun terputus hubungan dengan dunia pekerjaan dan bergantung penuh kepada bantuan kewangan pemerintah, Cik Hartini Karyana, 43 tahun, bangkit dengan tekad membina diri untuk merebut kembali kebebasan ekonomi demi masa depan dirinya dan anak kecilnya.
Semangat itulah yang menjentik hatinya untuk menyertai program Women At Work (W@W) anjuran Mendaki pada Februari 2026, sebagai langkah pertama membina semula keyakinan diri dan melangkah semula ke alam pekerjaan.
Program W@W menjadi titik perubahan buat ibu tunggal beranak satu itu, yang pernah melalui kemelut hidup.
Beliau bergelut dengan barah buah dada berulang (relapsed), mengharungi perceraian, sambil memikul tanggungjawab menjaga anak kecil dan ibunya yang turut menderita penyakit yang sama.
“Apabila sudah lama tidak bekerja, saya memang rasa rendah diri.
“Saya tertanya-tanya sama ada saya masih mampu menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan sekarang, terutama apabila banyak perkara sudah berubah.
“Saya takut majikan melihat saya sebagai seseorang yang mempunyai ‘career gap’ dan tiada pengalaman dalam industri ini. Kebanyakan organisasi pula mencari calon yang sudah berpengalaman,” ujarnya.
Pada 2025, program Women@Work (W@W) menarik penyertaan lebih 250 wanita, dengan kira-kira 100 daripadanya berjaya mendapatkan pekerjaan.
Menurut Mendaki, jumlah peserta program itu telah meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata sejak 2021, usaha mendekati golongan wanita dipergiat melalui kerjasama masyarakat, sesi penerangan, jerayawara, serta pendekatan digital yang diperkukuh dengan perkongsian pengalaman peserta terdahulu.
“Menerusi usaha ini, kami mendampingi wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun.
“Ramai daripada mereka merupakan ibu yang ingin kembali bekerja selepas berehat panjang daripada kerjaya, selain penjaga ibu bapa lanjut usia dan individu pertengahan kerjaya yang mencari kestabilan kewangan atau perubahan kerjaya,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata kebanyakan peserta pada awalnya berkongsi kebimbangan mengenai kewangan keluarga, peningkatan kos sara hidup serta keyakinan diri selepas lama meninggalkan pekerjaan.
“Apabila peserta mula menyertai program Women@Work, mereka sering meluahkan kebimbangan mengenai kedudukan kewangan keluarga, peningkatan kos sara hidup serta usaha memulihkan keyakinan diri selepas meninggalkan alam pekerjaan buat tempoh yang panjang.
“Menjelang akhir program, kami dapat menyaksikan perubahan yang ketara apabila peserta menjadi lebih yakin, mempunyai hala tuju yang jelas serta lebih bersemangat hasil sokongan pegawai program, jurulatih dan semangat kebersamaan yang kukuh dalam setiap kohort.
“Dengan sokongan pembiayaan berterusan daripada Cabaran Presiden, Mendaki akan terus memperluas usaha mendekati masyarakat, memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta mempertingkat penawaran program bagi membantu wanita kembali menyertai tenaga kerja dan membina daya tahan kerjaya bagi jangka panjang,” ujar beliau.
Program W@W memperkasakan Cik Hartini, memantapkan kemahiran mencari kerja termasuk penyediaan resume, persediaan temu duga, hingga menelusuri landskap pekerjaan yang didorong kecerdasan buatan (AI).
Ia turut membuka pemahaman beliau terhadap dinamika budaya kerja masa kini, memudahkannya berinteraksi dengan rakan sekerja generasi muda dan mengintegrasikan teknologi AI di tempat kerja.
“Apabila saya mula bekerja semula, memang saya nampak banyak perubahan. Ramai rakan sekerja terdiri daripada generasi muda dan sistem kerja sekarang banyak menggunakan AI.
“Ini antara perkara yang turut diketengahkan semasa program W@W, termasuk bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja baharu dan memahami perubahan dalam landskap pekerjaan hari ini,” katanya.
“Mereka bukan sekadar mengajar cara mencari kerja, tetapi turut membantu kami memahami realiti alam pekerjaan sekarang dan bagaimana untuk membina semula keyakinan diri,” tambahnya.
Menerusi lembaran baharu itu, beliau kini berkhidmat sebagai pegawai bersekutu kerja sosial di Kelab Rainbow Singapura.
Pengalaman peribadinya menghadapi penyakit kronik membantu beliau menyelami dan memahami cabaran emosi serta fizikal yang dilalui keluarga lain dengan lebih mendalam.
Lebih daripada sekadar kerjaya, Cik Hartini kini melangkah penuh harapan menantikan peluang membina kehidupan yang lebih stabil dan terjamin buat diri dan anak tunggalnya.
Pekerjaan ini bukan sahaja mengembalikan semula rasa berdikari dalam dirinya, tetapi turut menyuntik keyakinan untuk merancang masa depan dengan lebih teratur, termasuk cita-cita memiliki kediaman sendiri.
“Sekarang bila dah bekerja, alhamdulillah saya rasa lebih bersedia sebab saya boleh mula berdikari semula dan menyara anak saya sendiri,” katanya.
