Topik diikuti
Pergi ke BHkuTampil anggun dengan set pakaian sepadan yang ringkas
Tampil anggun dengan set pakaian sepadan yang ringkas
Tampil anggun dengan set pakaian sepadan yang ringkas
Berpakaian secara sepadan dapat memancarkan sejenis keyakinan diri yang tenang.
Pakaian co-ord (set koordinasi), atau pakaian berasingan yang direka untuk dipakai bersama, menawarkan keseimbangan antara kemudahan dengan niat untuk bergaya.
Sama ada blazer berpotongan tajam dipasangkan dengan seluar kemas; kemeja sutera berbunga dipadankan dengan seluar palazzo (jenis seluar longgar) yang sedondon; atau set pakaian dikait (knitwear); pakaian co-ord menghapuskan tekaan dan persoalan tentang gaya.
Pelakon Thailand, Faye Peraya, baru-baru ini dilihat mengenakan koleksi penuh Ferragamo dengan gaya ‘denim-on-denim’ atau kededua baju dan seluar denim.
Ia dipadankan dengan beg tangan yang diberi nama, The Hug Bag, oleh Ferragamo yang dihasilkan dengan corak seperti kulit buaya.
Koleksi denim yang sepadan itu, kemeja lengan panjang dan seluar jean kasual, adalah cara mudah namun, tetap bergaya untuk diperagakan ke sebarang majlis.
Walaupun denim berwarna biru paling popular dan mudah didapati, denim putih seperti koleksi, Ralph Lauren, membuktikan pakaian asas juga boleh tampil mewah dan elegan.
Seluar jean dengan potongan lebar dan berpinggang tinggi boleh dipadankan dengan jaket pendek putih yang merupakan campuran fabrik kapas dan denim.
Ia dapat mencipta siluet yang cantik dan kemas bagi si pemakai.
Satu lagi gaya yang boleh dicuba adalah kulit atas kulit, seperti yang digayakan peragawati asal Italy, Vittoria Ceretti, bagi kempen musim bunga dan panas 2026 jenama COS.
Blazer kulit yang dipotong pendek diperbuat daripada kulit kambing yang lembut dan dihias dengan motif buaya, mencipta rona warna sepadan dengan skirt yang digayakan.
Untuk gaya denim ‘stone-washed’ yang berkarakter, lihat kempen terbaru bintang pop Korea (K-pop) dan anggota kumpulan Blackpink, Rose bersama Levi’s.
Memadankan jaket denim dengan kemaja-T putih dan seluar jean potongan longgar, beliau memancarkan keyakinan dan pesona pada masa yang sama.
Untuk mencipta siluet yang memberi kesan, tiada apa yang lebih baik daripada koleksi merah-atas-merah.
Blaus, Draped Detail Cowl Neck, oleh jenama asal Britain, Marks & Spencer, dalam warna Paprika boleh digayakan dengan seluar berpotongan kemas atau skirt kembang yang dapat memberi keselesaan kepada si pemakai.
Bagi mereka yang suka corak berbunga, kemeja Dolce & Gabbana Flower Bouquet-print Twill Vanity, direka untuk keanggunan dan keselesaan.
Diperbuat daripada fabrik sutera bermutu tinggi, ia boleh dipadankan dengan seluar Flower Bouquet-print Twill. – Agensi berita.
