SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Cara pilih pakaian sesuai ikut bentuk badan

Cara pilih pakaian sesuai ikut bentuk badan

Mar 30, 2026 | 11:37 AM

Cara pilih pakaian sesuai ikut bentuk badan

fesyen, bentuk badan, inspo gaya
Pakaian yang dipilih sesuai ikut bentuk badan boleh menyerlahkan penampilan di samping memberikan keselesaan. - Foto MIS CLAIRE

Setiap individu mempunyai bentuk badan yang berbeza dan unik antara satu sama lain.

Antaranya adalah bentuk badan seperti pear, epal, jam pasir dan segi empat.

Perbezaan bentuk badan biasanya dipengaruhi oleh baka, pemakanan, gaya hidup serta tahap kegiatan fizikal seseorang.

Justeru, pemilihan pakaian yang sesuai dengan bentuk badan amat penting supaya seseorang kelihatan lebih kemas, yakin dan selesa ketika memakainya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pakaian yang dipilih dengan betul bukan sahaja dapat meningkatkan penampilan, malah menyembunyikan ‘kekurangan’ tertentu.

Pertama sekali, seseorang perlu mengenal pasti bentuk badan sendiri sebelum memilih pakaian.

Pemilihan pakaian bukan sekadar tentang gaya, tetapi agar kemas mengikut bentuk badan.
Pemilihan pakaian bukan sekadar tentang gaya, tetapi agar kemas mengikut bentuk badan. - Foto MS READ

Bagi individu yang mempunyai bentuk badan pear, bahagian pinggul biasanya lebih lebar berbanding bahagian bahu.

Mereka digalak memakai pakaian yang dapat menonjolkan bahagian atas badan seperti baju dengan corak menarik, bahu berlapik, atau lengan yang sedikit kembang.

Selain itu, pemilihan seluar atau skirt berwarna gelap juga dapat membantu mengurangkan penampilan pinggul yang besar.

Bagi individu yang mempunyai bentuk badan epal, biasanya bahagian perut lebih menonjol manakala kaki dan tangan lebih kecil.

Mereka disaran memilih pakaian yang longgar di bahagian perut tetapi masih kemas pada bahagian lain.

Contohnya, baju bentuk A (‘A-line’) atau blaus yang sedikit labuh dapat membantu menyamarkan bahagian perut.

Selain itu, pakaian yang mempunyai garisan menegak juga boleh memberikan ilusi badan yang lebih tinggi dan langsing.

Pakaian yang sesuai mengikut bentuk badan berupaya meningkatkan keyakinan diri.
Pakaian yang sesuai mengikut bentuk badan berupaya meningkatkan keyakinan diri. - Foto MIS CLAIRE

Individu yang mempunyai bentuk badan jam pasir pula dianggap memiliki potongan badan yang seimbang kerana bahagian bahu dan pinggul hampir sama lebar, manakala pinggang pula lebih ramping. 

Mereka boleh memilih pakaian yang menampakkan bentuk pinggang seperti gaun yang berpotongan pinggang atau pakaian dengan tali pinggang.

Bagi mereka yang mempunyai bentuk badan segi empat pula, bahu, pinggang dan pinggul biasanya hampir sama lebar.

Individu dengan bentuk badan tersebut boleh memilih pakaian yang memberikan ilusi lekuk pada badan.

Contohnya, pakaian yang mempunyai lipatan atau potongan berlapis boleh menambah dimensi pada bentuk badan.

Penggunaan tali pinggang juga dapat membantu menonjolkan bahagian pinggang agar badan kelihatan lebih berlekuk.

Bagi mencari pakaian yang bersesuaian dengan bentuk badan, pemilihan warna, corak dan fabrik memainkan peranan penting dalam menentukan kesesuaian pakaian.

Warna gelap biasanya memberi kesan badan kelihatan lebih langsing manakala corak besar boleh membuatkan tubuh kelihatan lebih besar.

Fabrik yang terlalu tebal atau terlalu nipis juga perlu dipilih dengan berhati-hati agar pakaian kelihatan kemas dan selesa dipakai.

Kesimpulannya, memilih pakaian yang sesuai mengikut bentuk badan adalah penting untuk meningkatkan keyakinan diri serta memberikan keselesaan kepada seseorang dari segi penampilan.

Dengan mengenal pasti bentuk badan serta memilih potongan, warna dan fabrik yang tepat, seseorang dapat menonjolkan kelebihan diri dan tampil lebih bergaya dalam pelbagai keadaan.

Justeru, setiap individu wajar mengambil kira bentuk badan mereka sebelum membuat pilihan pakaian agar sentiasa kelihatan kemas dan bergaya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg