SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Seni, sejarah dan ‘seronok sakan’ di Sepanyol

Seni, sejarah dan ‘seronok sakan’ di Sepanyol

Kembara 11 Hari 11 Ahli Keluarga kecoh, tetapi sangat bermakna jika perancangan teliti dibuat sebelum berangkat.
Apr 5, 2026 | 5:30 AM

Seni, sejarah dan ‘seronok sakan’ di Sepanyol

Basílica de la Sagrada Família, gereja Catholic terbesar dan tertinggi masih dalam pembinaan, walaupun dimulakan oleh arkitek Francisco de Paula del Villa pada 1882 dan disambung Antoni Gaudi pada 1883.
Basílica de la Sagrada Família, gereja Catholic terbesar dan tertinggi masih dalam pembinaan, walaupun dimulakan oleh arkitek Francisco de Paula del Villa pada 1882 dan disambung Antoni Gaudi pada 1883. - Foto BM oleh RUBIAH MOHD

Sepanyol menjanjikan sejuta pesona. Sama ada anda peminat seni, pencinta sejarah, pengagum alam semula jadi, mahupun peminat tegar bola sepak, negara ini pasti akan menawan jiwa.

Melawat negara keempat terbesar di Eropah ini menuntut perancangan rapi agar setiap detik percutian dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Apatah lagi, perjalanan kami kali ini melibatkan 11 ahli keluarga dengan pelbagai minat dan keperluan – sebuah kembara yang meriah, namun sarat kemanisan.

Bagi saya, Sepanyol sudah lama menduduki takhta tertinggi dalam senarai destinasi impian. Segalanya bermula daripada lipatan sejarah Islam yang bertapak sejak tahun 711.

Selama lebih 700 tahun, Islam menguasai Semenanjung Iberia dan membina tamadun agung yang dikenali sebagai Al-Andalus. Kesan kegemilangan itu kekal utuh pada seni bina bangunan bersejarah yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, malah terus mempengaruhi tradisi, budaya, kulinari, hingga ke bahasa Sepanyol itu sendiri.

Barcelona: Kanvas Seni Bina Moden

Kumpulan kami tiba pada waktu yang berbeza-beza. Enam daripada kami memulakan kembara di Barcelona, menyelami keajaiban seni bina moden kota itu. Walaupun minda sudah disiapsiagakan untuk sejarah Al-Andalus, kejutan visual di Barcelona membuatkan saya terpana. Kota ini memukau dengan karakter uniknya; penuh warna-warni dan reka bentuk luar biasa.

Kami memilih untuk menginap di sebuah apartmen berdekatan Las Ramblas yang ditempah melalui Airbnb – pilihan strategik yang memudahkan kami melawati kebanyakan mercu tanda dengan hanya berjalan kaki.

Tarikan utama di sini semestinya sentuhan genius arkitek tersohor, Antoni Gaudi. Kami berpeluang melawat Basílica de la Sagrada Família, sebuah gereja Katolik terbesar dan tertinggi di dunia yang kekal unik kerana pembinaannya masih berjalan sejak tahun 1882. Meskipun gaya asalnya bercirikan Gothic, sentuhan Gaudi pada binaan lain seperti Park Güell, Casa Batlló, dan Casa Milà jelas membuktikan keberanian beliau mencabar norma seni bina tradisional.

Menjejak Al-Andalus: Segi Tiga Seville - Cordoba - Granada

Setelah puas menghirup suasana kota moden, perjalanan diteruskan ke Seville untuk bertemu ahli keluarga yang baru tiba dari Singapura. Dari sinilah bermulanya kembara ‘Segi Tiga Emas’ Al-Andalus. Dengan menyewa dua buah kereta, kami menyusun jadual padat untuk meneroka Seville.

Seville

Kami memulakan lawatan di Plaza de España yang ikonik, sebelum beralih ke Katedral Seville, La Giralda, dan Royal Alcázar. Katedral Seville ini pada asalnya merupakan Masjid Agung Seville. Menara La Giralda yang tersergam indah pula dahulunya berfungsi sebagai tempat azan berkumandang. Di samping itu, kami juga sempat menyaksikan tarian Flamenco – sebuah persembahan penuh emosi yang menggabungkan elemen budaya Moor, Yahudi, dan Andalusia.

Cordoba

Kota ini pernah menjadi pusat ilmu yang menandingi Constantinople dan Baghdad. Di sini, kami menziarahi Mosque-Cathedral of Córdoba. Berdiri di antara 1,250 tiang di ruang solatnya, saya dapat merasakan kehebatan seni geometri Dinasti Moor. Bangunan ini adalah saksi bisu peralihan zaman apabila masjid yang dibina pada tahun 785 ini bertukar menjadi katedral pada 1236.

Granada

Inilah kemuncak yang paling dinantikan. Alhambra atau Al-Hamra (Yang Berwarna Merah) ternyata jauh lebih memukau berbanding apa yang pernah tersaji di skrin televisyen. Kompleks istana yang tersergam indah di atas bukit Sabika ini merupakan satu-satunya istana dunia Islam zaman pertengahan yang kekal terpelihara dengan baik. Kami menghabiskan masa lebih daripada tiga jam, bersama pemandu pelancong, menelusuri setiap inci keindahan Istana Nasrid dan menghayati ketenangan taman musim panas Generalife (Jannat al-Arif).

Kedamaian di Nerja dan Costa Del Sol

Sebelum pulang, kami mengambil kesempatan menikmati keindahan alam di Nerja. Kami melangkah ke Gua Nerja (Cuevas de Nerja), sebuah gua batu kapur prasejarah yang menyimpan khazanah lukisan dinding zaman Paleolitik.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Balcón de Europa, yang terletak di wilayah Costa del Sol. Berdiri teguh di atas tebing bekas kubu abad ke-9, dengan pandangan mata yang saujana memeluk keluasan Laut Mediterranean, sungguh menjanjikan momen yang amat mendamaikan. Dalam cuaca musim bunga yang nyaman itu, sambil menikmati gelato yang dingin, terselit rasa sayu di hati; kembara indah ini kini semakin menghampiri titik penghujungnya.

Penutup di Malaga

Kami menghabiskan malam terakhir di Malaga. Kumpulan yang lebih muda dan bertenaga memilih aktiviti mencabar seperti canyoning di Marbella dan mendaki Mirador de Pocopan. Sementara itu, saya dan kumpulan yang ‘kurang aktif’ lebih menikmati suasana santai: bersiar-siar di kota, membeli-belah, dan melawat Muzium Picasso.

Meninggalkan bumi Sepanyol terasa amat berat. Negara ini jauh melangkaui sekadar destinasi percutian; ia adalah sebuah ‘dewan kuliah’ terbuka yang mengajarkan tentang keagungan tamadun Islam, serta kemajuan luar biasa dalam kepakaran, seni bina, dan kraf tangan manusia zaman dahulu.

Tip merancang perjalanan beramai-ramai

Rancang dan Selaraskan Jadual: Susun jadual perjalanan bersama-sama, mengambil kira keperluan, minat, dan keselesaan setiap ahli kumpulan. Sediakan jadual perjalanan harian yang terperinci dan kongsikan kepada semua sebelum berlepas agar setiap orang maklum dan bersedia.

Tetapkan Anggaran Bajet: Tentukan anggaran perbelanjaan individu yang merangkumi penginapan, pengangkutan, makanan, khidmat pemandu pelancong, serta kos tiket untuk aktiviti, muzium, dan lokasi tarikan khas. Perancangan awal ini penting bagi mengelakkan perbelanjaan luar jangka.

Pertimbangkan Mod Pengangkutan: Pilih mod pengangkutan yang paling sesuai. Bergantung kepada destinasi dan saiz kumpulan, menyewa kenderaan mungkin lebih praktikal dan fleksibel terutamanya jika melibatkan warga emas atau kanak-kanak. Ia juga menawarkan kebebasan untuk menikmati perhentian lain dalam perjalanan.

Nota: Tempat letak kereta amat terhad di bandar-bandar sesak. Kenal pasti lokasi tempat letak kereta sebelum sampai ke destinasi untuk memudahkan pergerakan.

Disiplin Jadual dan Keseimbangan: Disiplin terhadap jadual perjalanan amat penting bagi memastikan pergerakan kumpulan lancar dan mengelakkan kelewatan atau ahli tercicir. Seimbangkan antara waktu aktiviti dan waktu rehat supaya perjalanan kekal menyeronokkan dan tidak terlalu memenatkan.

Ketua Kumpulan dan Komunikasi: Lantik seorang ketua atau penyelaras kumpulan untuk memudahkan komunikasi dan membuat keputusan. Tetapkan titik pertemuan dan masa berkumpul yang jelas, terutama di lokasi yang sesak. Sediakan pelan alternatif (backup plan) sekiranya berlaku perubahan cuaca atau gangguan jadual. Gunakan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp untuk berhubung sepanjang perjalanan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg