Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panduan bergaya serta peka dengan alam sekitar

Industri fesyen terkenal dengan amalan tidak mampan, beri kesan negatif terhadap persekitaran
Jan 5, 2026 | 2:54 PM
kitar tinggi, gaya, fesyen, alam sekitar
Seluar jean lama boleh dikitar tinggi dengan menjahitnya menjadi beg yang lebih bergaya dan menarik menjadikan ia kraf tangan denim yang artistik. - Foto ISTOCKPHOTO

Dengan isu kemampanan yang semakin hangat dibincangkan, pastinya timbul keinginan untuk memainkan peranan serta membawa perubahan kepada alam sekitar. 

Salah satu cara terbaik adalah melalui fesyen.

Tidak boleh dinafikan industri fesyen terkenal dengan amalan tidak mampan yang memberi kesan besar terhadap alam sekitar.

Menurut Institut World Resources (WRI), sebanyak lima trilion liter air bersih digunakan setiap tahun dalam pengeluaran pakaian. 

Sementara itu, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa industri fesyen menghasilkan “lebih banyak gas rumah hijau berbanding gabungan kesemua penerbangan antarabangsa dan pengangkutan laut di dunia”.

Mengejutkan, bukan?

Jika anda ingin melihat perubahan sebenar dalam industri fesyen serta membantu mewujudkan masa depan lebih mampan dan mesra alam untuk generasi ini dan akan datang, anda perlu bertindak.

Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan fesyen terhadap alam sekitar:

3R – Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula

Sejak kecil, kita diajar mengenai ‘tiga R’ dan berikut beberapa cara menjadikan prinsip itu sebahagian daripada gaya hidup harian anda.

Pertama, kurangkan pembelian atau reduce.

Tidak semua pakaian di dalam almari kita dipakai, malah ada yang langsung tidak pernah disentuh.

Oleh itu, jika anda ternampak sesuatu pakaian yang memikat hati, fikir dua kali sebelum membuat pembelian. 

Tanyakan pada diri anda: Adakah saya benar-benar akan memakainya? Berapa kerap saya akan memakainya? 

Jika anda rasa anda tidak akan memakainya sekurang-kurangnya sekali seminggu, letakkannya kembali dan beredar dari kedai berkenaan.

Kedua, guna semula atau reuse.

Pakaian yang anda anggap tidak lagi berguna, mungkin menjadi pakaian kegemaran orang lain.

Jika anda tidak menjumpai sesiapa untuk memberi pakaian lama anda, anda boleh menderma kepada badan kebajikan tempatan seperti Salvation Army dan Persatuan Kebajikan Metta.

Selain itu, terdapat daya usaha yang dikenali sebagai, Pass It On, yang akan menyalurkannya kepada golongan memerlukan melalui badan kebajikan sukarela (VWO).

Ketiga, kitar semula atau recycle.

Beberapa jenama fesyen mempunyai program kitar semula pakaian. 

Contohnya, jenama Sweden H&M, membolehkan anda membawa pakaian yang tidak diingini ke mana-mana cawangannya di seluruh negara. 

Sebagai ganjaran, anda akan menerima baucar potongan 15 peratus untuk pembelian seterusnya.

Kitar Tinggi

‘Upcycle’ atau kitar tinggi bertujuan memberi nafas baru kepada barangan lama. 

Contohnya, kemeja yang tidak lagi dipakai boleh dijadikan beg, selimut atau diubah suai menjadi rekaan unik.

Buat Penyelidikan

Mengetahui apa yang baik atau buruk untuk alam sekitar boleh membantu anda membuat pilihan lebih bijak sebagai pembeli. 

Mulakan dengan meneliti jenis fabrik yang digunakan untuk menghasilkan pakaian anda.

Kapas contohnya, memberi kesan yang sangat buruk kepada alam sekitar.

Penanaman kapas melibatkan penggunaan racun perosak dalam jumlah yang banyak, yang boleh meresap ke dalam air bawah tanah dan sumber air permukaan. 

Selain itu, menurut World Wildlife, satu kilogram kapas memerlukan sehingga 20,000 liter air untuk dihasilkan.

Kapas organik adalah pilihan lebih mesra alam.

Walaupun penggunaan jumlah airnya hampir sama, kesannya terhadap alam sekitar jauh lebih rendah kerana ia tidak menggunakan benih diubah suai secara genetik atau racun perosak sintetik.

Langkah kedua adalah menyelidik rantaian bekalan dan tindakan alam sekitar yang diambil oleh sesebuah jenama. 

Anda boleh meneliti nilai teras sesebuah jenama, laporan tahunan mereka dan maklumat berkaitan untuk mengetahui langkah yang diambil sesebuah jenama dalam melindungi alam sekitar, sebelum anda membuat keputusan menyokong serta membeli produk mereka.

Pertimbang Tempah Baju

Mungkin anda pernah membeli pakaian cantik, tetapi memerlukan sedikit penyesuaian. 

Anda berhasrat untuk menghantarnya ke kedai jahit, namun terlupa atau tidak berkesempatan dan akhirnya ia tersimpan berhabuk di dalam almari.

Jika keadaan itu tidak asing bagi anda, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan menempah pakaian anda. 

Khidmat tempahan boleh digunakan untuk menghasilkan pakaian yang kerap dipakai, seperti kemeja, gaun, seluar dan blazer, manakala pakaian lain boleh dibeli terus di kedai.

Sekiranya anda lebih gemar membeli pakaian sedia ada, anda tetap boleh melakukannya dengan bijak: Pilih pakaian yang memerlukan sedikit atau tiada ubah suai atau beli di kedai yang menyediakan khidmat menjahit.

Beli Produk Vintaj atau Terpakai

Satu lagi cara untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar adalah membeli pakaian di kedai vintaj atau barangan terpakai. 

Ini kerana walaupun fesyen sentiasa berubah, trend lama biasanya akan kembali popular dari masa ke masa.

Laman web seperti Vestiaire Collective dan aplikasi seperti Carousell memberi anda pilihan pakaian dan produk fesyen terpakai yang kelihatan baru, daripada jenama terkenal atau rekaan klasik yang tidak lagi dihasilkan.

Selain itu, terdapat juga kedai fizikal seperti Salvation Army yang menjual barangan terpakai daripada sumbangan orang ramai, dengan hasil jualan disalurkan untuk menyokong badan kebajikan tempatan dan masyarakat yang memerlukan.

Justeru itu, setiap tindakan, walaupun kecil, memberi kesan besar apabila kita sama-sama mengamalkannya dan yang paling penting, anda tetap boleh tampil bergaya tanpa mengorbankan alam sekitar.

Artikel ini kali pertama diterbitkan di majalah, Cleo Singapore.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg