Saya rasa ramai orang lelaki tidak suka saya.

Sebabnya, saya tidak suka merengek, saya sukar bermanja dan saya jarang meminta pertolongan mereka dalam banyak perkara.

Pendek kata, kalau boleh, semuanya saya mahu usahakan sendiri dengan tulang empat kerat yang saya miliki ini.

Memang saya akui semangat heroisme saya agak kuat dan saya mampu memberi ‘tamparan wanita’!

Pernah satu kali saya terperangkap di kamar mandi yang terletak dalam bilik tidur utama rumah saya.

Berjam-jam juga saya berada di dalamnya dan berusaha membuka pintu berlipat yang tersendat itu tetapi sedikit pun saya tidak menjerit meminta tolong.

Apatah lagi menghempas-hempas pintu!

Sebaliknya, di dalamnya, saya berhempas-pulas berusaha membebaskan diri dalam sepi.

Dalam keadaan yang berpeluh-peluh meskipun selepas mandi, terbayang seketika wajah watak kontraktor dalam sitkom Phua Chu Kang (lelaki juga tu!) di hadapan mata. Alangkah bahagia jika dia ada di sisi!

Tetapi layangan perasaan itu hanya sedetik cuma sebelum saya meneruskan usaha membebaskan diri tanpa bantuan lelaki!

Akhirnya, saya berjaya mengangkut pintu yang berat itu dan mengeluarkan ia dari bingkainya!

“Berat-berat macam tu Has (nama gelaran saya di rumah) boleh angkat?” tanya mak saya.

Jawapan saya mudah: “Berat ke? Masa tu rasa macam ringan...”

Mak saya begitu kagum dengan kekuatan fizikal dan semangat dalaman yang ada dalam diri saya. Bukan main ligat beliau bercerita kepada ibu-ibu saudara saya mengenai anaknya yang konon bak si Wonder Woman ni! Awww...

Entahlah, sejujurnya saya pun tidak tahu dari mana datang kekuatan itu!

Memanglah wanita kerap disifatkan sebagai kaum yang lemah dan oleh itu memerlukan bantuan lelaki.

Orang lelaki pula dikatakan memang sukakan wanita lembik sedemikian atau dalam istilah bahasa Inggeris disebut sebagai damsel in distress.

Terlalu banyak kisah dongeng seperti Rapunzel yang meletakkan kaum wanita sebagai golongan yang tidak berdaya dan sekadar menantikan satria gagah berani menyelamatkan si gadis perawan pada detik-detik terakhir.

Apa tidaknya, itulah peluang kaum lelaki menjadi penyelamat atau hero!

Dah namanya lelaki, maka mereka juga ingin jadi pelindung kaum wanita. Apabila seorang lelaki membantu wanita, mereka akan berasa lebih ‘jantan’ dan berkuasa. Ia sekali gus meningkatkan rasa ego mereka.

Alahai bang... adakah awak memerlukan wanita untuk meningkatkan darjat awak di mata kita orang perempuan? Kita tahulah sikap kaum wanita yang tidak berdaya sebegini mudah meruntun hati kaum lelaki. Kasihan...

Sebaliknya, bagi ramai orang perempuan pula, rata-rata ramai yang tidak suka pada ‘wanita rengek’ yang seolah-olah tidak ada tulang belakang ni. Alah... jenis yang sikit-sikit asyik nak minta bantuan Cik Abang!

Sikit-sikit abang tolong ini... abang angkut itu...

Kalau nak ke mana-mana dan abang tidak ada, maka tidak bergeraklah jawabnya! Menyampahlah kita!

Nanti awak masuk kubur pun sendiri ‘kan? Bila kena jawab soalan di sana, boleh ke Cik Abang tolong jawabkan?

Saya juga percaya ramai wanita yang kini tidak terlalu bergantung pada kaum lelaki. Mereka bukan lagi wanita manja yang sekadar inginkan perhatian.

Golongan ini akan menggunakan sekuat tenaga dan kemampuan, berikhtiar, menggunakan akal fikiran untuk mencari huraian.

Mereka memiliki daya fikir – keupayaan menggunakan akal fikiran; daya juang – kemampuan memperjuangkan sesuatu dengan gigih; daya tahan – kemampuan mempertahankan diri atau bertahan daripada ancaman bahaya; dan sedaya upaya – seberapa boleh diusahakan dengan segenap akal atau sepenuh ikhtiar.

Tidak perlulah merayu mendayu- dayu dengan suara yang sayu-sayu mengusap gegendang telinga Cik Abang, ya?

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti