Melihat susutnya badan ibu, ayah, pasangan atau anggota keluarga yang kian dimamah usia adalah satu ujian yang meruntun jiwa.

Lebih memilukan apabila hari demi hari, hidangan yang suatu ketika dahulu menjadi kegemaran mereka, kini hanya dipandang sepi.

Pelbagai alasan kerap diberikan – makanan terasa terlalu pedas, keras, atau panas.

Hakikatnya, kehilangan selera makan atau anoreksia penuaan dalam kalangan warga emas bukan sekadar isu ‘cerewet makan’, melainkan isyarat biologi.

Ia menuntut tahap kesabaran yang tinggi untuk menyantuni warga emas sedemikian seiring pentingnya mengatur strategi bagi orang sekeliling.

Baru-baru ini, saya berhadapan dengan dua keadaan secara serentak.

Ibu di rumah hanya mampu menelan sesudu dua makanan sebelum mendakwa “sudah kenyang” menyebabkan berat badannya menyusut sebanyak lapan kilogram.

Sementara itu, bapa saudara saya yang baru menjalani rawatan kemoterapi akibat barah lidah mengalami penyusutan yang jauh lebih drastik – daripada 70 kilogram kepada hanya 38 kilogram.

Keadaan sebegitu sering mencetuskan jalan buntu bagi penjaga yang kebingungan mencari huraian untuk mengemudi keadaan.

Persekitaran Rangsang Selera

Seiring dengan kemerosotan tahap kesihatan, perbezaan persekitaran memainkan peranan besar dalam merangsang keinginan untuk makan.

Di rumah bapa saudara yang berusia 78 tahun, suasananya agak sepi.

Beliau hanya tinggal bersama isterinya selaku penjaga utama, yang juga merupakan seorang pemandiri barah (cancer survivor) yang juga sedang meniti usia senja dengan segala keterbatasan fizikal.

Anak-anak juga tidak tinggal bersama kerana masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.

Sebaliknya di rumah saya, suasana meja makan adakalanya lebih ‘kecoh’.

Anak-anak dan pembantu bertindak sebagai ‘tukang sorak’ yang mendorong embah (nenek) yang berusia 82 tahun untuk menambah suapan.

Kadangkala strategi ini berjaya, kadangkala tidak.

Adakala anak-anak merungut, adakala mereka bertepuk tangan.

Dinamik ini – antara rintihan dengan tepukan semangat – mungkin menjadi lumrah baharu di kebanyakan rumah warga Singapura tidak lama lagi.

Krisis pemakanan tidak seimbang negara menua

Menjelang 2030, hampir seorang daripada empat rakyat Singapura (kira-kira 24 peratus penduduk) akan berumur 65 tahun dan ke atas, membabitkan sekitar 900,000 individu.

Perubahan demografi yang pesat ini menandakan fasa peralihan Singapura ke status ‘masyarakat sangat menua’ (super-aged society).

Persoalannya, sejauh manakah kita bersedia?

Adakah perkara itu pernah terlintas dalam fikiran kita?

Kita sering menekankan kepentingan mencegah penyakit di peringkat hiliran.

Bagaimanapun, laporan 2025 oleh Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS), mendedahkan fakta membimbangkan.

Sehingga 66 peratus pesakit warga emas yang dinilai oleh pakar diet ketika dibenarkan keluar dari hospital disahkan mengalami kekurangan zat makanan atau berisiko tinggi menghadapinya.

Jika gangguan makan seperti anoreksia dan bulimia sering dikaitkan dengan isu imej badan dalam kalangan remaja, bagi warga emas pula, ia adalah kesan langsung daripada penurunan fungsi fizikal.

Walaupun kurang mendapat perhatian berbanding penyakit darah tinggi atau kencing manis, ancaman kekurangan zat makanan khususnya dalam kalangan warga emas tidak boleh dipandang sepi.

Ia boleh menimbulkan ancaman yang sama seriusnya dengan penyakit lain.

Perubahan dalaman

Menurut Persatuan Alzheimer, terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi pencetus kehilangan selera makan.

Antaranya termasuk kesan sampingan ubat-ubatan yang mengubah deria rasa atau mencetuskan loya.

Keadaan menjadi lebih rumit sekiranya tubuh dijangkiti penyakit, mengalami masalah pencernaan seperti sembelit, gigi palsu yang tidak lagi mendakap gusi dengan selesa, atau akibat kemurungan.

Sebagai penjaga, kita boleh membayangkan tubuh warga emas umpama sebuah kereta antik.

Enjinnya tidak lagi memerlukan bahan api yang banyak kerana pergerakan yang terhad.

Sistem pencernaan pula ibarat saluran paip lama yang mengalir secara perlahan, kurangnya asid perut dan perut lambat mengosongkan ruang.

Pakar diet mengusulkan agar ibu saya diberi makan lima atau enam kali sehari dan bukan tiga kali.

Seperti yang dijangka, usaha itu tetap tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Atas saranan doktor geriatrik, kami beralih ke minuman dalam tin sarat nutrisi yang saya simpan dalam peti sejuk dan dicampur pula dengan susu coklat kegemarannya.

Malah doktor kata minuman itu boleh dibekukan umpama aiskrim!

Tunas rasa warga emas mungkin kian pudar dan makanan yang dahulunya enak kini mungkin terasa hambar.

Namun, usaha masih perlu diteruskan bagi memastikan zat tetap dapat disalur ke dalam badan.

Ia mungkin perkara sekecil contohnya, dengan menggunakan gelas kegemaran atau ‘straw’ yang disukai.

Tamatkan ‘perang’ di meja makan

Setiap suapan boleh bertukar menjadi medan konflik yang mencetuskan tekanan hebat kepada warga emas dan juga penjaga.

Sebagai masyarakat, kita perlu beralih daripada sekadar ‘memaksa makan’ kepada memahami anatomi penuaan itu sendiri.

Dalam masa yang sama, warga emas itu sendiri harus terbuka menerima saranan untuk memperbaiki keadaan dan usah berputus asa dengan kehidupan.

Sokongan masyarakat, panduan diet khusus yang mudah diakses oleh penjaga, serta pemahaman emosi merupakan ramuan utama.

Usah biarkan meja makan menjadi medan pertempuran, sebaliknya jadikan ia ruang kasih sayang bagi meraikan sisa-sisa usia mereka dengan penuh keprihatinan.