SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Penampilan berseri dengan pilihan warna sesuai

Penampilan berseri dengan pilihan warna sesuai

Apr 6, 2026 | 2:48 PM

Penampilan berseri dengan pilihan warna sesuai

fesyen, fashion, warna, colour
Pilihan warna yang sesuai dengan kulit mampu menonjolkan seri wajah supaya kelihatan lebih segar, bercahaya dan sihat. - Foto hiasan ADOBE STOCK

Penampilan seseorang bukan sahaja bergantung pada bentuk tubuh atau gaya pakaian, malah ia turut dipengaruhi secara ketara oleh pilihan warna pakaian.

Warna mempunyai kuasa psikologi tersendiri. 

Ia mampu menyerlahkan seri kulit, membangkitkan aura positif, serta menaikkan keyakinan diri seseorang.

Oleh itu, memahami warna yang sesuai mengikut rona kulit adalah ilmu yang amat bernilai dalam dunia fesyen dan kecantikan.

Secara umum, setiap individu mempunyai rona kulit berbeza.

Warna yang sesuai dengan kulit mampu menonjolkan seri wajah supaya kelihatan lebih segar, bercahaya dan sihat.

Sebaliknya, warna yang tidak sesuai boleh menyebabkan kulit kelihatan suram atau kurang bercahaya.

Cara paling mudah mengenal pasti rona kulit adalah dengan memeriksa warna urat pada pergelangan tangan.

Jika urat kelihatan kehijauan, anda memiliki rona hangat (warm undertone). 

Urat berwarna ungu kebiruan pula, menandakan anda mempunyai rona sejuk (cool undertone).

Manakala, urat berwarna campuran biru dan sedikit hijau, menandakan anda mempunyai rona semula jadi (neutral undertone).

Individu dengan rona panas biasanya mempunyai rona kekuningan atau keemasan pada kulit mereka. 

Mereka akan kelihatan lebih menyerlah apabila mengenakan warna seperti coklat, jingga, kuning keemasan, hijau zaitun dan merah bata.

Warna itu mampu menonjolkan kehangatan semula jadi kulit, sekali gus menjadikan wajah kelihatan lebih berseri. 

Sebaliknya, rona sejuk pula mempunyai rona kemerahan atau kebiruan.

Warna seperti biru, ungu, merah jambu lembut, kelabu dan hijau zamrud amat sesuai kerana mampu menonjolkan kesegaran dan kelembutan wajah.

Bagi individu yang mempunyai rona semula jadi, mereka sesuai mengenakan kebanyakan warna.

Namun, pemilihan warna yang terlalu pucat atau terlalu gelap perlu dielakkan kerana boleh menyebabkan wajah kelihatan kusam.

Oleh itu, keseimbangan dalam pemilihan warna amat penting agar penampilan kelihatan semula jadi dan tidak berlebihan.

Selain rona kulit, tahap kecerahan warna juga perlu diambil kira. 

Warna yang terlalu terang mungkin sesuai untuk individu dengan personaliti ceria dan berani, manakala warna lembut atau pastel lebih sesuai untuk mereka yang berpenampilan sopan dan tenang. 

Dalam konteks pakaian harian, pemilihan warna yang tepat mampu menyerlahkan kulit agar tampak lebih cerah dan sihat.

Contohnya, warna yang mempunyai kontras atau perbezaan secara sederhana dengan warna kulit akan menyerlahkan penampilan, manakala pemakaian warna yang hampir sama dengan rona kulit boleh menyebabkan penampilan kelihatan suram.

Kesimpulannya, analisis warna adalah rahsia penting dalam menyerlahkan seri kulit dan meningkatkan keyakinan diri.

Dengan mengenal pasti rona kulit dan memilih warna yang sesuai, seseorang dapat tampil lebih segar, menarik dan profesional.

Warna bukan sekadar hiasan luaran, malah, memiliki ciri yang mampu mempengaruhi keseluruhan penampilan dan persepsi seseorang terhadap diri sendiri. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg