Spa rambut (atau spa kepala) kini semakin popular, dengan pengalaman seperti air terjun yang memukau dan suasana yang menjadikannya kelihatan seperti rawatan yang sempurna.

Walaupun spa rambut digemari ramai, ia mungkin bukan penyelesaian yang tepat untuk masalah kulit kepala yang lebih spesifik.

Ramai yang tidak menyedari dalam iklim Singapura yang panas dan lembap, masalah kulit kepala sebenarnya adalah masalah kulit dan perlu dirawat dengan cara yang sama, lapor majalah Her World.

Menurut pakar dermatologi dan pakar bedah pemulihan rambut, Dr Angeline Yong, khusus dalam masalah rambut dan kulit kepala, ramai pesakit boleh meraih manfaat daripada pendekatan lebih menyeluruh.

Pelbagai rawatan kesihatan kulit kepala boleh digabung bagi memulihkan keseimbangan sebum dan kelembapan kulit kepala, serta meningkatkan mikrobiom kulit kepala.

Rawatan kulit kepala, pada dasarnya satu rawatan yang dicipta berdasarkan prinsip rawatan klinikal.

Ini merangkumi pembersihan, pengelupasan, bahan aktif yang disasarkan dan terapi sokongan untuk kulit kepala dan bukan muka. 

“Istilah ini membantu orang ramai memahami bahawa kulit kepala turut mendapat manfaat daripada penjagaan berstruktur, langkah berurutan dan penggunaan bahan tertentu yang disesuaikan dengan keadaannya,” kata Dr Yong.

Masalah kulit kepala rakyat S’pura

Dr Yong berkata: “Saya telah memperhatikan selama bertahun-tahun, terdapat corak yang konsisten dalam kalangan pesakit saya.

“Ramai yang sangat menitikberatkan rawatan muka, tetapi masalah kulit kepala mereka seperti keguguran rambut, penipisan, sensitiviti, kelemumur dan keradangan kadangkala dibiarkan tidak ditangani, sehingga menjadi lebih teruk, atau hanya dirawat separuh jalan, tanpa asas saintifik yang kukuh mahupun diagnosis yang betul.”

Atas sebab itulah Dr Yong menubuhkan SSKINS, spa perubatan yang menawarkan diagnostik, teknologi berasaskan bukti dan bahan aktif yang disasarkan bagi memulihkan ekosistem kulit kepala, menguatkan folikel dan meningkatkan ketumpatan rambut jangka panjang. 

“Saya ingin merawat kesihatan kulit kepala dengan ketelitian perubatan yang sama seperti penjagaan kulit klinikal,” jelasnya.

Di SSKINS, rawatan rambut berasaskan perubatan dan diagnostik, bermula dengan analisis kulit kepala, diikuti rawatan menggunakan produk bermutu perubatan.

Bagi Dr Yong, adalah penting spa perubatannya menawarkan rawatan yang benar-benar memberikan hasil, bukan sekadar untuk istirahat. 

“Dalam iklim lembap Singapura, kulit kepala mudah tersumbat, meradang atau tidak seimbang, dan ini menyumbang kepada kesihatan kulit kepala yang kurang baik dan keguguran rambut pramatang. 

Pada masa yang sama, peningkatan penggunaan alat menata rambut di rumah, perkhidmatan kimia dan produk tahan lama, bermakna kulit kepala kini berada di bawah tekanan yang lebih besar daripada sebelumnya.

Pesakit datang dengan masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh spa kepala yang biasa atau cucian dan urutan yang menenangkan,” ujar beliau.

Proses rawatan sokong biologi asas kulit kepala

Dalam rawatan kulit kepala, setiap langkah direka untuk menyokong biologi asas kulit kepala.

Dr Yong berkata komponen utama ialah pembersihan keratolitik lembut, yang membantu dalam membuang sel kulit mati yang terkumpul, lebihan sebum dan sisa produk.

“Ini amat bermanfaat bagi individu yang mengalami penyumbatan, kelemumur atau ketidakseimbangan minyak,” jelas Dr Yong. 

“Ia juga membolehkan bahan-bahan aktif seterusnya berfungsi dengan lebih berkesan.”

Ini boleh melibatkan teknologi seperti rawatan oksigen, semburan jet atau pembersihan mendalam dengan Aquapeel yang mungkin menggunakan larutan Asid Alfa Hidroksi (AHA) atau Asid Beta Hidroksi (BHA), iaitu asid yang membantu mengangkat sel kulit mati, bergantung kepada jenis dan keadaan kulit kepala seseorang. 

Dr Yong turut menekankan kepentingan menjaga lapisan pelindung dan keseimbangan semula jadi kulit kepala, sama seperti menjaga kulit muka.

Dalam rawatan kulit kepala, ini dicapai melalui produk yang boleh melembapkan, bahan menenangkan dan teknologi perubatan seperti elektroporasi (proses kemasukan DNA tulen ke dalam sel dengan menggunakan kejutan elektrik), teknologi plasma dan ultrabunyi. 

Kesemua itu membantu dalam mengurangkan sensitiviti dan keradangan, punca utama kelemumur, rasa tidak selesa dan kulit kepala yang mudah meradang. 

Manfaat rawatan kulit kepala

Walaupun tertumpu pada rawatan bermutu perubatan dan hasilnya, Dr Yong berkata adalah penting untuk memasukkan unsur holistik dalam rawatan tersebut. 

terapi, Scalp Bojin oleh itu memainkan peranan yang agak besar dalam rawatan mereka kerana ia membantu meningkatkan peredaran mikro, melegakan ketegangan dan meningkatkan aliran limfa. 

“Peredaran yang lebih baik mewujudkan persekitaran lebih kondusif di sekitar folikel, yang amat bermanfaat bagi individu yang mengalami penipisan awal, ketegangan atau mobiliti kulit kepala yang berkurangan,” kata Dr Yong.