Topic followed successfully
Go to BHkuPermintaan ke rantau Asia, negara dekat lonjak susulan konflik TT
Permintaan ke rantau Asia, negara dekat lonjak susulan konflik TT
Harga tambang pesawat meningkat, pilihan lebih selamat antara faktor utama
Permintaan ke rantau Asia, negara dekat lonjak susulan konflik TT
Konflik yang semakin meruncing melibatkan Israel, Amerika Syarikat, dan Iran telah memberi kesan kepada industri pelancongan sejagat, sekali gus mencetuskan perubahan dalam sikap perjalanan dalam kalangan penduduk Singapura.
Bagi kebanyakan individu, peperangan tersebut telah menambah kepada ketidaktentuan yang dikaitkan dengan perjalanan jarak jauh, terutamanya bagi laluan yang merentasi ruang udara Timur Tengah.
Hal ini mendorong pertimbangan semula secara strategik terhadap destinasi percutian dan laluan penerbangan.
Agensi dan pengendali pelancongan memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa mereka menyaksikan lonjakan ketara dalam pertanyaan serta permintaan untuk melancong ke rantau Asia, yang dianggap sebagai alternatif yang ‘lebih selamat dan stabil’.
Menurut data Skyscanner, destinasi paling popular yang dicari pelancong Singapura bagi April dan Mei ialah destinasi dekat seperti Bangkok, Kuala Lumpur, Bali, Bandar Ho Chi Minh selain destinasi jauh iaitu London.
Negara jarak dekat semakin banyak permintaan
Pengarah Travelconnect.sg, Ustaz Nafis Rahman, berkata Asia muncul sebagai kawasan paling popular, dengan negara seperti China, Jepun, Korea dan Uzbekistan menjadi pilihan utama.
Malah, permintaan meningkat hampir 30 peratus jika ingin dibandingkan dengan 2025.
Susulan situasi semasa, agensi pelancongan itu perlu menyusun semula pakej yang ditawarkan, terutama apabila lawatan ke destinasi berisiko seperti Masjidil Aqsa terpaksa dibatalkan.
Selain menawarkan pilihan untuk bertukar ke destinasi lain, agensi beliau turut memulangkan bayaran kepada pelanggan yang tidak berhasrat meneruskan perjalanan.
“Memang benar kos tiket penerbangan adalah lebih tinggi kerana kami perlu mengeluarkan tiket baharu. Namun begitu, pihak kami mengambil keputusan untuk menanggung kenaikan kos tersebut demi mengurangkan beban jemaah,” kata Ustaz Nafis.
Sementara itu, pengurus produk Chan’s World Holidays, Encik Derek Chin, berkata pakej Eropah yang bergantung pada pesawat Timur Tengah turut terjejas, selain kunjungan ke Turkey dan Dubai.
Biarpun begitu, syarikat tersebut tetap memasarkan pakej ke destinasi berkenaan untuk hujung tahun dengan harapan keadaan akan kembali stabil.
Di sebalik ketidaktentuan ini, Encik Chin menyaksikan lonjakan pertanyaan bagi destinasi jarak dekat merentasi rantau Asia dan Oceania.
Destinasi di Asia Tengah pula dilaporkan beroperasi seperti biasa memandangkan ia tidak terjejas oleh pergolakan di Timur Tengah.
Mengenai penerbangan jarak jauh, beliau berkata pihaknya tetap mempromosikan rantau Eropah, namun dengan pilihan laluan penerbangan yang lebih sesuai dan selamat.
“Destinasi Oceania, termasuk Australia dan New Zealand, terus menunjukkan prestasi yang kukuh kerana ia dianggap secara meluas sebagai destinasi yang selamat, stabil, dan boleh dipercayai, lantas memberi keyakinan kepada pelancong semasa merancang perjalanan jarak jauh,” tambahnya.
Menyentuh tentang penerbangan jarak jauh, pengurus besar Scott Dunn Asia, Encik Mike Harlow, berkata pelancong mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.
“Para pelancong masih terus memilih destinasi jauh, namun kini mereka lebih mengutamakan destinasi yang menawarkan laluan terus serta jumlah persinggahan yang kurang.
“Selain itu, mereka juga memilih untuk meluangkan masa lebih lama di destinasi bagi memastikan perjalanan tersebut berbaloi.”
Encik Harlow turut berkata sejak kebelakangan ini, semakin ramai pelancong mencari destinasi atau pengalaman yang lebih terpencil serta berasaskan alam semula jadi, memandangkan ia menawarkan suasana yang memberi ketenangan dan kelapangan.
Kesan krisis tenaga
Di tengah-tengah konflik Timur Tengah, syarikat penerbangan turut menaikkan tambang memandangkan harga bahan api pesawat telah meningkat lebih dua kali ganda, dengan Singapore Airlines (SIA) dan anak syarikat tambang rendahnya, Scoot, antara yang turut terjejas.
Kenaikan itu sebahagiannya berpunca daripada penutupan Selat Hormuz, sebuah laluan maritim yang sempit namun amat penting bagi pengangkutan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak dunia.
Terdapat juga syarikat penerbangan seperti Air India, Air New Zealand dan Delta Airlines yang merancang untuk mengurangkan bilangan penerbangan serta menaikkan tambang penumpang disebabkan lonjakan harga bahan api.
Banyak syarikat penerbangan di serata dunia perlu mengambil langkah bagi menangani kos bahan api meningkat, yang biasanya merangkumi 20 hingga 40 peratus kos operasi mereka, menurut agensi berita.
Dalam pada itu, beberapa negara di Asia juga melaksanakan langkah untuk mengehadkan penggunaan bahan api di negara mereka.
Dengan perkembangan sejagat ini, pengasas bersama Dreamcation, Encik Sujimy Mohamad, berkata pelancong perlu tahu tentang cabaran tenaga sedia ada yang menjejas beberapa negara yang boleh menyumbang kepada perbelanjaan pengangkutan tempatan yang lebih tinggi.
“Disebabkan itulah penting untuk merancang awal, merancang perbelanjaan dengan fleksibel, dan terus mendapatkan maklumat terkini mengenai perubahan yang boleh menjejas aturan perjalanan sehari-hari,” ujarnya.
Pakar destinasi dan trend perjalanan Skyscanner, Encik James Tang, menyarankan agar pelancong mendapatkan insurans perjalanan yang memainkan peranan penting khususnya untuk menampung kos makanan atau penginapan tambahan sekiranya mereka terkandas.
Bagi membantu pelancong merancang perjalanan, Skyscanner juga melancarkan ciri baharu ‘Layovers’ yang membantu pelancong menapis destinasi persinggahan yang lebih sesuai buat mereka, lantas mengelakkan lapangan terbang yang terjejas dengan konflik Timur Tengah.
“Paling utama, sentiasalah peka dengan maklumat terkini dan peruntukkan masa tambahan bagi perjalanan anda.
“Walaupun gangguan amat mengecewakan, keselamatan tetap menjadi keutamaan, dan syarikat penerbangan kini sedang menyesuaikan jadual mengikut keadaan semasa yang sentiasa berubah,” katanya.
“
“Memang benar kos tiket penerbangan adalah lebih tinggi kerana kami perlu mengeluarkan tiket baharu. Namun begitu, pihak kami mengambil keputusan untuk menanggung kenaikan kos tersebut demi mengurangkan beban jemaah.”“
“Walaupun gangguan amat mengecewakan, keselamatan tetap menjadi keutamaan, dan syarikat penerbangan kini sedang menyesuaikan jadual mengikut keadaan semasa yang sentiasa berubah.”
