SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Nak lawat Raudhah? Usah masuk guna permit ‘pasaran gelap’, ikut peraturan

Nak lawat Raudhah? Usah masuk guna permit ‘pasaran gelap’, ikut peraturan

Dua agensi beri nasihat tentang khabar angin ‘pintu belakang’ di Madinah: Kemasukan ke Raudhah adalah rezeki, bukan hak mutlak
Apr 12, 2026 | 5:30 AM

Nak lawat Raudhah? Usah masuk guna permit ‘pasaran gelap’, ikut peraturan

Permit Raudhah, aplikasi Nusuk, tips umrah Madinah, pasaran gelap permit Raudhah, Halijah Travels, Amtas Singapura, ziarah makam Rasulullah, pasaran gelap, peraturan
Kawasan dalam Raudhah. Beberapa pengendali pelancongan menggesa agar orang ramai tidak terlibat dalam cara yang dianggap sebagai ‘penipuan’ dan untuk membuat perancangan awal. - Foto JUYDA NOOR MOHAMAD

Raudhah sememangnya tempat istimewa yang menjadi dambaan setiap jemaah di bumi Madinah.

Kunjungan ke kota suci itu seakan-akan tidak sempurna tanpa menziarahi kawasan yang indah bergelar ‘taman syurga’ ini.

Sebelum pandemik Covid-19, orang ramai lebih bebas memasuki Raudhah mengikut slot masa yang ada, namun kini, prosedur kemasukannya lebih ketat.

Jemaah kini wajib menggunakan aplikasi Nusuk bagi mendapatkan permit sah sebelum dibenarkan masuk.

Namun, realiti sering berbeza.

Ramai jemaah berdepan kesukaran, malah ada yang pulang dengan kekecewaan kerana gagal menempah slot yang sentiasa penuh.

Elak ‘pintu belakang’ atau ‘pasaran gelap’

Kesukaran ini mencetuskan desas-desus tentang pasaran gelap bagi permit kemasukan ke Raudhah.

Pengendali pelancongan yang dihubungi Berita Harian (BH) tidak menafikan khabar angin ini, namun mengakui kurang pasti tentang mekanisme sebenar yang digunakan sindiket berkenaan.

Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, mendedahkan spekulasi tentang jemaah yang kehilangan kod QR selepas membuat tempahan, dipercayai akibat dimanipulasi pihak tertentu.

Namun, beliau menggesa agar orang ramai tidak terlibat dalam cara ini yang dianggap sebagai ‘penipuan’ semata-mata ingin menjejakkan kaki ke Raudhah.

“Perlu ingat, Raudhah bukan sebahagian daripada ibadah umrah,” tegasnya.

Sependapat, Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata pasaran gelap tidak akan wujud tanpa permintaan.

Beliau akui, peraturan kini semakin ketat dan jemaah kian sukar mendapatkan slot Raudhah menerusi aplikasi Nusuk.

Namun, betapa mencabar sekalipun, Ustazah Juyda, yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), menekankan pentingnya jemaah sentiasa mengikut saluran yang betul dan menempah kod QR mengikut panduan yang ditetapkan bagi mendapat permit yang sah.

Buat perancangan awal

Menurut Ustazah Juyda, jemaah perlu merancang dan mengetahui waktu sibuk dan sepi.

Contohnya, disarankan untuk melawat Madinah dari Ahad hingga Rabu.

“Elakkan Khamis hingga Sabtu. Ini waktu hujung minggu yang sibuk, dengan kunjungan warga tempatan dan pelawat dari Timur Tengah ke Madinah,” jelas beliau.

Encik Haffidz menyarankan jemaah, terutamanya yang mengerjakan umrah secara kendiri (DIY), agar “rajin memantau” aplikasi Nusuk.

Jemaah usah berputus asa dan jangan menempah pada saat akhir.

Kemasukan bukan hak mutlak tetapi rezeki

Ustazah Juyda menegaskan, perubahan cara berfikir adalah penting.

“Memasuki Raudhah bukan hak mutlak. Sering berlaku, ada yang mengikut saluran betul, mendapat kod QR, namun gagal masuk.

“Puncanya, kemasukan ke Raudhah adalah rezeki dan jemputan dari Allah,” ujar beliau.

Katanya, rasa syukur atas peluang menjejakkan kaki di bumi Rasulullah adalah yang paling utama, dan kegagalan memasuki Raudhah tidak bermakna Allah swt tidak menyayangi.

Malah, rezeki jemaah mungkin di tempat lain.

“Ingatlah, apabila anda menggunakan sistem kebangsaan Nusuk, bukan anda seorang sahaja, tetapi jutaan manusia lain juga mendambakan masuk ke Raudhah.

“Jemaah harus memupuk kesabaran dan menerima seandainya rezeki itu belum kesampaian,” nasihatnya.

“Memasuki Raudhah bukan hak mutlak. Sering berlaku, ada yang mengikut saluran betul, mendapat kod QR, namun gagal masuk.  Puncanya, kemasukan ke Raudhah adalah rezeki dan jemputan dari Allah. Ingatlah, apabila anda menggunakan sistem kebangsaan Nusuk, bukan anda seorang sahaja, tetapi jutaan manusia lain juga mendambakan masuk ke Raudhah. Jemaah harus memupuk kesabaran dan menerima seandainya rezeki itu belum kesampaian” 
Ustazah Juyda Noor Mohamad, Pengarah Noor Mohamad Services & Travel.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg