SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pendedahan awal AI timbulkan persoalan besar kepada kanak-kanak

Pendedahan awal AI timbulkan persoalan besar kepada kanak-kanak

Kanak-kanak yang banyak interaksi melalui AI mungkin lebih sukar kendali konflik; sukar bezakan antara fantasi dengan hakikat
Mar 26, 2026 | 5:30 AM

Pendedahan awal AI timbulkan persoalan besar kepada kanak-kanak

Menurut penulis, kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) tidak akan mendapat pengalaman dunia sebenar yang mencukupi. Di samping itu, keupayaan kognitif untuk memahami hakikat dan mentafsir rangsangan deria mungkin turut terjejas.
Menurut penulis, kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) tidak akan mendapat pengalaman dunia sebenar yang mencukupi. Di samping itu, keupayaan kognitif untuk memahami hakikat dan mentafsir rangsangan deria mungkin turut terjejas. - Foto REUTERS

Kecerdasan buatan (AI) kini semakin mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan seharian, termasuk pengalaman kanak-kanak yang masih sangat kecil.

Ramai keluarga mula mendedahkan anak mereka kepada skrin seawal bawah usia dua tahun, manakala kandungan yang dijana AI semakin meluas di wadah seperti YouTube Kids – video sering dimainkan secara automatik.

Akibatnya, ibu bapa tidak sentiasa dapat memantau sepenuhnya apakah yang ditonton anak mereka dalam talian.

Sesetengah kandungan AI boleh menarik perhatian kanak-kanak tetapi juga boleh membawa unsur berbahaya, termasuk unsur keganasan dan seksual yang dipaparkan melalui watak haiwan dan watak yang menghiburkan.

Pusat pendidikan awal kanak-kanak juga mula menggunakan AI untuk menyokong pembelajaran, khususnya bagi kanak-kanak dengan perbezaan perkembangan.

Ia termasuk kanak-kanak yang lambat bertutur atau menghadapi masalah komunikasi berkaitan autisme atau ketidakupayaan intelektual.

Di Amerika Syarikat, ramai ibu bapa melaporkan anak mereka menggunakan AI untuk melakukan kerja sekolah.

Galakan bagi pusat pendidikan awal, sekolah, dan ibu bapa untuk menggunakan AI bersama kanak-kanak banyak berasaskan kajian jangka pendek, namun kesan jangka panjang masih belum diketahui.

Satu-satunya cara untuk memahami kesan AI terhadap kanak-kanak kecil adalah melalui kajian membujur jangka panjang yang dirancang dengan teliti.

Namun, apabila bukti kukuh diperoleh kelak, satu generasi kanak-kanak mungkin sudah membesar dengan pendedahan tersebut dan jika terdapat kesan negatif, ia mungkin tidak dapat dipulihkan.

Terdapat juga tanda awal yang membimbangkan mengenai potensi kesan AI.

Penyelidikan di New Zealand menunjukkan peningkatan penggunaan skrin di peringkat awal kanak-kanak dikaitkan dengan kelemahan dalam bahasa, kemahiran sosial, serta hubungan.

Perkembangan awal kanak-kanak

Seperti semua mamalia, bayi manusia berkembang melalui proses biologi dan secara semula jadi membesar dalam kelompok sosial dengan hubungan fizikal yang rapat dengan orang lain.

Segala yang kita tahu tentang perkembangan kanak-kanak menekankan kepentingan interaksi bersemuka.

Kanak-kanak belajar tentang diri mereka dan dunia melalui semua deria, dan belajar berkomunikasi melalui interaksi dua hala antara mereka dengan pengasuh mereka.

Ia termasuk sentuhan fizikal, emosi, dan permainan.

Secara keseluruhan, interaksi tersebut membentuk struktur asas otak.

Berdasarkan pengalaman pada tahun awal kehidupan, kanak-kanak membina model atau templat tentang bagaimana hubungan rapat berfungsi.

Templat hubungan itu kekal sepanjang hayat dan mempengaruhi hubungan intim ketika dewasa.

Kanak-kanak juga belajar mengawal emosi, mencari dan menerima sokongan, serta menyelesaikan konflik semasa usia prasekolah.

Pada masa sama, otak mereka sedang berkembang dengan struktur asas yang memerlukan pengalaman positif untuk berfungsi dengan baik sepanjang hayat.

Penyelidik masih belum mengetahui kesan pendedahan AI terhadap keupayaan kanak-kanak menjalin hubungan manusia ketika sistem fisiologi, neurologi, dan emosi mereka sedang berkembang.

Tidak jelas bagaimana pendedahan jangka panjang kepada AI akan mempengaruhi pemahaman mereka terhadap orang lain serta perkembangan empati.

Lazimnya, interaksi sosial pada zaman kanak-kanak melibatkan konflik, rundingan, penyelesaian, dan permainan bersama rakan sebaya.

Interaksi itu melibatkan komunikasi bukan lisan, penilaian risiko, dan keupayaan membuat keputusan.

Masih belum jelas bagaimana AI yang sangat responsif dan menarik akan mempengaruhi kesemua aspek tersebut.

Ada kemungkinan kanak-kanak yang banyak berinteraksi melalui AI akan lebih sukar mengendalikan hubungan dalam dunia sebenar, terutama apabila berdepan konflik.

Mereka juga mungkin lebih cenderung memilih interaksi dengan AI berbanding hubungan sebenar dengan keluarga atau rakan.

Kanak-kanak kecil juga lebih sukar membezakan antara fantasi dengan hakikat.

Ini biasanya menyeronokkan bagi dewasa dan kanak-kanak kerana ia melibatkan permainan imaginasi dan unsur lucu.

Namun, fantasi yang dijana AI boleh menjadi terlalu meyakinkan sehingga berpotensi mengelirukan kanak-kanak tentang apakah yang benar dan apakah yang bukan benar.

Potensi manfaat dan risiko

Jika bayi dan kanak-kanak tidak mendapat pengalaman dunia sebenar yang mencukupi, kemampuan mereka untuk memahami hakikat dan mentafsir deria mungkin terjejas.

Terdapat juga harapan terhadap potensi alat berasaskan AI untuk membantu kanak-kanak kurang upaya, khususnya dalam mengembangkan kemahiran komunikasi sosial.

Ini mungkin membawa manfaat seperti pengesanan awal perbezaan perkembangan saraf.

Namun, terdapat risiko jika campur tangan AI akan menggantikan interaksi sebenar dengan rakan sebaya dan orang dewasa.

Apakah bentuk pengalaman harian bagi kanak-kanak yang mempunyai keperluan pembelajaran tambahan?

Ibu bapa mungkin menerima pembelajaran berasaskan AI, tetapi kurang selesa jika ia menggantikan peranan guru sebenar.

Penggunaan AI kelihatan tidak dapat dielakkan dan sudah mempengaruhi kehidupan kanak-kanak.

Kita tahu bahawa hubungan manusia, sentuhan, interaksi dua hala, persekitaran kaya bahasa, serta permainan bebas amat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak.

Ia ibarat satu eksperimen dengan hasil yang mungkin tidak boleh dipulihkan jika kita menerapkan AI ke dalam kehidupan kanak-kanak tanpa memahami kesan sepenuhnya.

Dalam keadaan ketidakpastian itu, keluarga sekurang-kurangnya perlu diberi pilihan untuk menyediakan persekitaran yang bebas daripada AI untuk anak mereka.

Penulis Pensyarah Kanan dalam Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga di Universiti Canterbury, New Zealand. Artikel ini kali pertama disiarkan di ‘The Conversation’, sebuah laman web yang menerbitkan artikel berdasarkan penyelidikan dan pandangan pakar.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg