SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

‘Pengasuh maya’ kanak-kanak jadikan masa skrin pengalaman pembelajaran bermakna

‘Pengasuh maya’ kanak-kanak jadikan masa skrin pengalaman pembelajaran bermakna

Turut kendali kelas drama bahasa Melayu dalam talian, guna pendekatan santai bina keyakinan bertutur
Mar 26, 2026 | 5:30 AM

‘Pengasuh maya’ kanak-kanak jadikan masa skrin pengalaman pembelajaran bermakna

DNA, TheVirtualBabysitter, kanak-kanak, ibu bapa, children, parents, gadget, gajet, masa skrin
Pengasas khidmat pengasuhan kanak-kanak secara dalam talian, TheVirtualBabysitter, Sharifah Selma Jafar Alkaff, percaya bahawa pendedahan kanak-kanak kepada skrin boleh membawa manfaat selagi ia menggalak kanak-kanak untuk bergerak, berfikir dan berimaginasi. - Foto ihsan SHARIFAH SELMA JAFAR ALKAFF

Sedang ramai ibu bapa melihat masa skrin sebagai sesuatu yang perlu dihadkan, Sharifah Selma Jafar Alkaff, berpandangan sebaliknya.

Beliau percaya ia boleh dimanfaatkan sebagai ruang pembelajaran yang bermakna untuk kanak-kanak.

Menggunakan wadah Zoom, pengasuh kanak-kanak itu mengendalikan pengalaman interaktif dalam talian yang menggalakkan kanak-kanak bergerak, berfikir dan berimaginasi.

“Dunia ini kian berubah dan pada zaman ini, saya rasa kita tidak boleh mengelakkan pendedahan kepada skrin.

“Kita tidak boleh melawan masa skrin, sebaliknya kita perlu belajar memanfaatkannya dengan bijak.

“Dan bagi saya, jenis masa skrin yang terbaik adalah masa skrin yang memberi makna,” jelas Sharifah Selma, 29 tahun, pengasas khidmat pengasuhan kanak-kanak dalam talian, TheVirtualBabysitter.

Idea tersebut bermula sekitar 2020 secara tidak sengaja semasa kemuncak pandemik Covid-19 apabila seorang klien memintanya menghiburkan anak mereka secara dalam talian ketika langkah pengurusan keselamatan mengehadkan orang ramai bersemuka.

Sejak itu, beliau mengembangkan khidmatnya seiring dengan perubahan gaya hidup keluarga moden, khususnya dengan lebih ramai ibu bapa bekerja dari rumah dan memerlukan sokongan segera untuk mengisi masa anak secara bermakna.

Ini termasuk mengendalikan kelas drama bahasa Melayu untuk memupuk minat terhadap bahasa ibunda; sesi penceritaan yang melibatkan imaginasi; dan sesi bimbingan untuk mengasah kemahiran bagi meningkatkan keyakinan dan komunikasi melibatkan kanak-kanak.

Tidak seperti kandungan digital biasa, Sharifah Selma berkata sesinya melibatkan interaksi fizikal dan emosi yang direka untuk menggalakkan penggunaan objek, pemikiran kreatif, serta pembelajaran sosial dan emosi.

Kanak-kanak yang menyertai sesinya diminta mencari objek di rumah, melakonkan watak haiwan, atau membina cerita spontan, lantas menjadikan skrin sebagai alat interaksi dan bukan sekadar hiburan.

“Kalau mereka bergerak, ketawa dan pada akhir sesi tanya ‘dah habis?’, bagi saya itu tanda saya sudah laksanakan tugas dengan baik,” ujarnya.

Pendekatan Sharifah Selma mengendali sesi tersebut turut dipengaruhi oleh latar belakang beliau sebagai pelakon terlatih, dengan mengekalkan perhatian kanak-kanak menerusi lakonan suara dan permainan peranan.

Sebelum ini, beliau menjalankan Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) di Sekolah Seni Singapura (Sota) dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Lakonan dari Royal Central School of Speech and Drama di London.

Sharifah Selma pernah bekerja sebagai pelakon bebas dan pendidik kanak-kanak, serta berkhidmat sebagai perunding penceritaan bebas di Mandai X (cabang pertumbuhan dan pembinaan perusahaan Mandai Wildlife Group) dan BCG X (unit pembangunan teknologi dan reka bentuk Boston Consulting Group).

Selain itu, beliau pernah mengendalikan sesi penceritaan bersemuka seperti di Super Kids Expo 2025, acara keluarga yang menampilkan pameran pendidikan, bengkel keibubapaan, serta permainan interaktif bagi kanak-kanak.

Mengulas lanjut tentang kelas drama bahasa Melayu beliau, Sharifah Selma berkata pengalaman peribadinya yang pernah tidak menyukai bahasa Melayu ketika di sekolah rendah mendorongnya untuk memperkenalkan pendekatan yang lebih santai dan menyeronokkan.

“Bahasa Melayu adalah bahasa yang sangat indah, tetapi sayangnya ramai kanak-kanak tidak bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

“Sebab itu kelas drama saya tidak fokus pada imbuhan atau peribahasa, tetapi saya mahu kanak-kanak rasa seronok bertutur walaupun hanya satu perkataan,” terangnya.

Dalam kelas dramanya, kanak-kanak digalakkan mencampur bahasa Inggeris dan Melayu sambil membina keyakinan secara berperingkat.

Menurut Sharifah Selma, pendekatan itu dilihat berkesan apabila sesetengah ibu bapa melaporkan anak mereka yang sebelum ini enggan bertutur dalam bahasa Melayu mula menunjukkan minat terhadap bahasa tersebut.

Beliau menambah, cabaran utama bagi kanak-kanak menggunakan bahasa Melayu bukan kekurangan minat, tetapi tekanan dan ketakutan untuk melakukan kesilapan.

“Saya percaya pembelajaran bahasa harus bermula dengan keselesaan dan keyakinan, bukan melalui paksaan atau penilaian,” katanya.

Menyentuh tentang melayan pelbagai personaliti kanak-kanak, Sharifah Selma berkata beliau kerap membuat jenaka supaya kelas itu lebih santai dan meriah.

Malah, beliau berkata jenaka merupakan salah satu cara paling berkesan untuk menjalin hubungan dengan kanak-kanak, terutama apabila interaksi berlaku melalui skrin yang boleh menyukarkan hubungan secara semula jadi.

Selain itu, beliau turut mengelak daripada menyifatkan kanak-kanak sebagai ‘pemalu’ dan sebaliknya menyesuaikan pendekatan mengikut keselesaan setiap individu.

“Jika saya memanggil seorang kanak-kanak ‘pemalu’, ia akan secara automatik meletakkan label pada mereka dan mereka akan mengaitkannya dengan identiti mereka,” kongsi Sharifah Selma.

Sejak TheVirtualBabysitter ditubuhkan, Sharifah Selma telah membimbing dan mendidik lebih 100 kanak-kanak berusia antara tiga dengan 12 tahun, dengan sebahagian mengikuti kelasnya selama beberapa tahun.

“Melihat perkembangan kanak-kanak yang sama dari usia prasekolah hingga sekolah rendah merupakan satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya.

“Pendedahan kepada skrin tidak akan hilang, jadi kita perlu cari cara terbaik untuk menggunakannya.

“Selagi ia memberi kesan positif kepada kanak-kanak, itu yang paling penting,” ujarnya.

“Melihat perkembangan kanak-kanak yang sama dari usia prasekolah hingga sekolah rendah merupakan satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya. Pendedahan kepada skrin tidak akan hilang, jadi kita perlu cari cara terbaik untuk menggunakannya. Selagi ia memberi kesan positif kepada kanak-kanak, itu yang paling penting.”
Sharifah Selma Jafar Alkaff, pengasas khidmat pengasuhan kanak-kanak dalam talian, TheVirtualBabysitter.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg