SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Pahit manis berpuasa di rantauan

Pahit manis berpuasa di rantauan

Di sebalik perbezaan zon waktu, makanan yang berlainan dan perlu sesuaikan diri di tempat orang...ada keistimewaan jadi kenangan
Mar 1, 2026 | 5:30 AM

Pahit manis berpuasa di rantauan

Cik Wan Maryam (tudung hitam) bersama kumpulan peserta ski di Saariselkä, Finland.
Cik Wan Maryam (tudung hitam) bersama kumpulan peserta ski di Saariselkä, Finland. - Foto WAN MARYAM

Lazimnya apabila Ramadan tiba, kebanyakan umat Islam lebih cenderung untuk berada di tanah air sendiri.

Tambahan pula, ramai yang sudah terbiasa berbuka puasa bersama insan tersayang dan menunaikan solat tarawih di masjid kejiranan atau di bawah blok kariah.

Namun, semangat mengembara tetap menyala dalam sanubari segelintir individu, sama ada atas urusan kerja mahupun untuk beriadah.

Berpuasa di perantauan pasti mempunyai cabaran tersendiri, termasuk perbezaan zon waktu, pilihan makanan yang asing, dan keperluan menyesuaikan diri dengan budaya setempat.

Walaupun demikian, pengalaman itu juga menjanjikan keindahan tersendiri, sebagaimana yang dikongsikan oleh beberapa pengembara kepada Berita Minggu (BM).

PUASA SAMBIL SKI DALAM CUACA -15 DARJAH CELSIUS

Masjid Ali Kuscu Camii di Istanbul, Turkey.
Masjid Ali Kuscu Camii di Istanbul, Turkey. - Foto WAN MARYAM

Bagi Cik Wan Maryam, seorang pegawai teknologi berusia 30 tahun, Ramadan kali ini adalah pengalaman pertama menyambutnya di perantauan, malah ia sesuatu yang disengajakan.

“Untuk memanfaatkan cuti Tahun Baru Cina, saya menempah kunjungan ke Lapland (di Finland) dari 13 hingga 20 Februari. Saya kemudian sedar tarikh itu jatuh pada hari pertama Ramadan. Lalu saya pun memanjangkan percutian saya kerana ingin mengalami Ramadan dalam negara berbeza, untuk melihat bagaimana mereka laksanakan iftar dan tarawih,” ujarnya.

Oleh itu, pada 21 Februari, beliau menyambut Ramadan di Helsinki, Finland. Keesokan harinya, beliau meneruskan perjalanan ke Estonia, Eropah dan pada 23 Februari, beliau berpuasa pula di Istanbul, Turkey.

Menurutnya, berpuasa tidak begitu mencabar kerana waktunya lebih singkat berbanding Singapura, dalam 12 jam.

Bagaimanapun, pengalaman iftar dan tarawih di negara asing tetap membangkitkan kerinduan pada suasana di tanah air.

“Saya membayangkan suasana seperti Singapura di mana masjid menyediakan makanan kemudian semua berbuka dan solat bersama. Tetapi ketika saya pergi ke masjid, tidak ramai orang.

“Bagaimanapun, ia tetapi pengalaman manis merasai solat jemaah di luar negara,” ujarnya.

Kenangan yang paling tidak boleh dilupakan, kata Cik Maryam tentunya adalah pengalaman berski sambil berpuasa.

Cik Wan Maryam berski di Saariselkä, Finland.
Cik Wan Maryam berski di Saariselkä, Finland. - Foto-foto ihsan WAN MARYAM

Selama dua jam, Cik Maryam meluncur atas salji dalam cuaca serendah -15 darjah Celsius.

“Saya rasa saya memerah banyak sangat tenaga sehinggakan pada satu masa itu saya mabuk, seolah-olah nak pitam.

“Mujur setelah beberapa minit menarik nafas panjang, daya penglihatan saya kembali jelas dan saya dapat bertahan lagi dua jam hingga waktu berbuka puasa... saya bangga dengan diri saya!” ujarnya.

Bagaimanapun, Cik Maryam menasihati pengunjung lain agar usah paksa diri dan kenali batasan kemampuan tubuh.

TERTARIK RAMADAN DISAMBUT CARA BERLAINAN

Cef Muhd Haikal Ismail (kiri) bersama rakannya, Ustaz Adam lbnulutfi dan Cik Sofea Nadhirah Aidil, dalam surau di IOI City Mall di Putrajaya, Malaysia.
Cef Muhd Haikal Ismail (kiri) bersama rakannya, Ustaz Adam lbnulutfi dan Cik Sofea Nadhirah Aidil, dalam surau di IOI City Mall di Putrajaya, Malaysia. - Foto ihsan MUHD HAIKAL ISMAIL

Mengembara sewaktu Ramadan sudah menjadi kebiasaan buat Cef Muhd Haikal Ismail, 32 tahun, yang sering ke luar negara atas undangan mengulas makanan.

Sejak tujuh tahun lalu, beliau meneroka negara sedekat Malaysia, Indonesia, Brunei dan sejauh Korea pada bulan Ramadan.

Menurut Cef Haikal, perbezaan menyambut Ramadan di negara lain benar-benar pengalaman yang membuka mata.

Contohnya, sewaktu di Brunei, walaupun suasana riuh kerana bazar ada di sini-sana, sekitaran berubah menjadi sunyi setelah waktu berbuka puasa kerana penduduk di sana akan menumpukan masa di masjid.

Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah di Bandar Seri Begawan, Brunei.
Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah di Bandar Seri Begawan, Brunei. - Foto MUHD HAIKAL ISMAIL

Cef Haikal berkongsi bahawa apabila ke negara yang majoriti Islam, tarikan utama ialah bazar kerana tawaran makanannya yang jauh lebih pelbagai dan murah berbanding Singapura.

Bagaimanapun, apabila perlu ke negara bukan Islam seperti Korea Selatan, mencari makanan halal tidak mudah.

“Saya agak merindui Singapura, kerana suasana Ramadan tak terasa di Korea. Untuk berbuka puasa, saya pun perlu mencari restoran halal dan berjumpa dengan saudara se-Islam lain di sana,” ujarnya.

Mujur, di Korea Selatan jugalah destinasi di mana Cef Haikal berpuasa bagi tempoh paling singkat dalam hidupnya - 9 hingga 10 jam.

PRAMUGARI PUASA PALING LAMA 16 JAM

Cik Efa Fatimah Azman (kiri) bersama rakan kerjanya di Helsinki, Finland.
Cik Efa Fatimah Azman (kiri) bersama rakan kerjanya di Helsinki, Finland. - Foto-foto ihsan EFA FATIMAH AZMAN

Bagi Cik Efa Fatimah Azman, pramugari berpengalaman lapan tahun, tempoh puasa terpanjangnya ialah sekitar 16 jam, yang dialami ketika musim panas di Sydney dan Helsinki, Finland.

“Tentu ia mencabar, tetapi alhamdulillah cuaca di sana tidak terlalu panas, jadi saya tidak terlalu rasa haus. Rasa lesu itu memang ada, namun yang paling penting ialah kekuatan minda,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia 38 tahun itu yang sering merantau kerana tugas berkata, waktu paling mencabar bagi kru kabin sepertinya ialah ketika bersahur di dalam pesawat.

Beliau dan rakan sekerja beragama Islam kadangkala risau “terbabas” waktu disebabkan perubahan zon masa yang berbeza-beza sepanjang penerbangan.

“Kadangkala jika ia penerbangan malam dan tingkap penumpang tutup, kami akan kelam kabut jika tiba-tiba terlihat cahaya matahari.

“Kami juga akan bertanya kapten, bila matahari dijangka terbit,” ujarnya.

Cik Efa Fatimah Azman (kanan) bersama rakan kerjanya di Sydney, Australia.
Cik Efa Fatimah Azman (kanan) bersama rakan kerjanya di Sydney, Australia. - Foto EFA FATIMAH AZMAN

Bagi beliau, makanan Asia yang paling dirindukan ketika di perantauan.

Justeru, Cik Efa membawa bekalan hidangan siap dimakan.

Menyambut Ramadan di luar negara tetap menyuntik keunikan dan kelainan.

“Bila kita bermusafir, indah melihat budaya lain, bagaimana mereka meraikan Ramadan.

“Ia juga mencabar diri dan cuba berpuasa buat tempoh yang lama. Semua ini menjadi pengalaman berharga yang boleh dikongsi apabila kita pulang,” tambahnya.

NASIHAT DOKTOR

Memandangkan golongan musafir diberi kelonggaran, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, seorang doktor keluarga, menasihati agar mereka tidak berpuasa jika perjalanan yang ditempuh dirasakan sukar.

Sebaliknya, jika perjalanan itu mudah, terpulang kepada musafir tersebut sama ada mahu meneruskan puasa atau tidak.

“Saya rasa anda perlu bersikap praktikal - jika anda tidak terdedah kepada elemen seperti panas yang melampau hingga boleh menyebabkan dehidrasi, anda boleh terus berpuasa,” ujarnya.

Dari segi pengambilan cecair, ia perlu disesuaikan dengan tahap aktiviti dan keadaan kesihatan.

Contohnya, jika banyak berjalan atau ‘hiking’, golongan musafir disarankan berbuka puasa jika alami tanda-tanda seperti mabuk atau perasaan ingin pitam

“Negara tertentu akan mempunyai siang yang panjang dan negara tertentu akan mempunyai malam yang panjang. Jadi anda perlu memahami waktu di negara tersebut,” tambah beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg