Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kian ramai pasangan bawa anak kecil tunai umrah

Agensi tawar khidmat mesra kanak-kanak untuk jemaah
Nov 16, 2025 | 5:30 AM
Kanak-kanak terlibat dalam kegiatan sewaktu dalam kereta api laju Haramain.
Kanak-kanak terlibat dalam kegiatan sewaktu dalam kereta api laju Haramain. - Foto NUZHAN ABDUL HALIM

Nak bawa atau tidak?

Soalan ini lazimnya berlegar dalam fikiran kebanyakan ibu bapa yang merancang untuk menunaikan umrah tetapi masih ragu-ragu sama ada mahu membawa anak-anak kecil mereka bersama.

Menyedari adanya jurang dalam pasaran perkhidmatan umrah yang menyasarkan golongan ini, beberapa agensi telah tampil menawarkan pakej mesra kanak-kanak yang direka khas untuk jemaah, terdiri daripada ibu bapa yang membawa anak kecil.

Agensi dan penyedia perkhidmatan umrah yang dihubungi Berita Minggu (BM) akui bahawa permintaan tersebut kian meningkat khususnya selepas pandemik Covid-19, dan mengaitkan ‘trend’ atau perubahan sikap ini kepada faktor seperti kesedaran lebih tinggi didorong media sosial selain kemampuan kewangan lebih kukuh.

Ustaz Nuzhan Abdul Halim, yang sudah berpengalaman selama 10 tahun membawa rombongan mengerjakan ibadah umrah berkata terdapat jurang dalam pasaran yang menyasarkan golongan ibu bapa yang ada anak kecil.

“Dalam satu rombongan itu, tentu akan ada tiga atau empat keluarga yang bawa anak kecil dan saya dapati bahawa anak-anak kadangkala tak dapat menjiwai atau menghargai sepenuhnya kegiatan dalam pengalaman umrah itu.

“Contohnya, mereka terpaksa berpenat-penat dengan ayah ibunya menerusi kegiatan umrah seperti ziarah sini sana, tawaf, yang mungkin tidak timbulkan rasa seronok,” katanya.

Justeru, Ustaz Nuzhan, yang mengendalikan kurator gaya hidup Islam, The Nun’s Production, telah bekerjasama dengan agensi Al-Qaswa Travel & Tours untuk menghasilkan program ‘Little Umrah Explorer’ yang menyasarkan golongan ibu bapa bersama anak kecil, dengan jemaah paling muda tahun ini bayi berusia empat bulan.

Program yang sudah dilancarkan sejak tiga tahun lalu itu telah menyaksikan permintaan berganda dari tahun ke tahun, menurut Ustaz Nuzhan, yang juga bapa kepada lima anak.

Agensi Fursa Travel, yang baru ditubuhkan tahun ini, juga telah memastikan mereka dapat memenuhi keperluan kanak-kanak bagi jemaah yang bawa bersama anak kecil meskipun tidak ada pakej khusus.

Pengarah Fursa Travel, Ustaz Ahmad Al Faruqi Ahmad Dahri, yang juga bapa dua anak, berkata:

“Kami secara umumnya membawa jemaah dewasa, tetapi pada musim cuti sekolah, terdapat potensi tinggi anak-anak mereka turut serta, justeru dalam waktu itu kami akan selitkan pengalaman umrah mesra keluarga.”

Anak kecil seronok sambil timba ilmu

Kit yang disediakan bagi kanak-kanak yang mengikuti program ‘Little Umrah Explorer’.
Kit yang disediakan bagi kanak-kanak yang mengikuti program ‘Little Umrah Explorer’. - Foto NUZHAN ABDUL HALIM

Menyentuh tentang program yang disediakan buat kanak-kanak, penyelaras program ‘Little Umrah Explorer’, Encik Sulaiman Abdul Latiff, berkata ia disesuaikan berdasarkan kategori umur anak-anak yang mengikuti perjalanan umrah.

Selain menyediakan kit umrah yang terdiri daripada buku panduan kanak-kanak, mereka juga menawarkan khidmat menjaga anak atau ‘childminding’ jika ibu bapa perlu berjauhan buat sementara waktu daripada anak-anak.

Ini di samping kegiatan yang dikhususkan buat kanak-kanak apabila menziarah tapak bersejarah seperti memanah apabila berada di Bukit Uhud.

“Pengalaman ini bukan hanya menjalinkan hubungan kekeluargaan sewaktu umrah, tetapi juga mengeratkan silaturrahim antara jemaah selepas mereka pulang daripada umrah,” kata bapa dua anak itu.

Ustaz Nuzhan menambah bahawa mereka lazimnya menawarkan program ini pada bulan Disember kerana musim sejuk lebih sesuai buat kanak-kanak selain bersamaan cuti sekolah, namun akan mempertimbangkan membuka lebih slot pada bulan lain pada masa akan datang.

Meskipun kanak-kanak kecil tidak diwajibkan untuk mengerjakan umrah, beliau berkata melakukan umrah sekeluarga boleh membawa kepada pengalaman baik.

“Kalau boleh, saya ingin anak-anak ini bawa pulang kenangan manis dari Tanah Suci. Dia kenang Kaabah, cinta Rasulullah, ingat detik baik dalam ingatannya bahawa dia pergi ke tempat menyeronokkan,” tambah Ustaz Nuzhan.

Kit kanak-kanak yang disediakan oleh Fursa Travel bagi perjalanan umrah.
Kit kanak-kanak yang disediakan oleh Fursa Travel bagi perjalanan umrah. - Foto FURSA TRAVEL
Buku panduan yang disediakan buat kanak-kanak kecil.
Buku panduan yang disediakan buat kanak-kanak kecil. - Foto FURSA TRAVEL

Di bawah Fursa Travel, kanak-kanak akan diberi kit umrah khas terdiri daripada buku panduan yang telah dilakar guru dan pendidik pembangunan awal kanak-kanak, selain alat mewarna, ihram bagi budak lelaki dan hijab bagi budak wanita.

Pengurus penjualan Fursa Travel, Cik Nur Sakinah Ahmad Jupri, yang juga isteri kepada Ustaz Ahmad, menjelaskan bahawa bagi kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun, buku tersebut terdiri daripada kegiatan seperti pembelajaran abjad, sambungkan titik (join the dots), dan pewarnaan, dengan kandungannya selaras dengan tempat-tempat di Mekah dan Madinah. 

Bagi kanak-kanak lebih besar berusia sehingga 10 tahun, mereka akan diberi buku yang turut menceritakan secara ringkas tentang sejarah di sebalik tempat yang bakal diziarahi contohnya Bukit Uhud dan Jabal Tsur.

Ustaz Ahmad berkata: “Sebagai ibu bapa, kita tak boleh rasa ‘lokek’ dan rasakan ibadah umrah itu untuk diri sendiri, malah, pahala juga mengalir kepada ibu bapa yang menguruskan anak mereka. Jadi usah rasa takut.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg