Peristiwa cuaca ekstrem, seperti musim monsun 2025, telah mencetuskan beberapa bencana alam buruk melanda beberapa bahagian Asia.
Bagi pengembara, insiden sebegini ini bukan lagi sekadar tajuk berita, tetapi boleh menimpa mereka tanpa diduga.
Banjir, gempa bumi, ribut, kebakaran hutan, dan bencana alam lain boleh merosakkan rancangan perjalanan, lantas menyebabkan mereka yang kurang bersedia terkandas atau berada dalam keadaan kelam-kabut di negara asing.
Dihubungi Berita Minggu (BM), Ketua Penyelidik Program Perubahan Iklim di Asia Tenggara, Iseas-Institut Yusof Ishak, Cik Melinda Martinus, berkata terdapat kesedaran meningkat bahawa di Asia Tenggara, perubahan iklim dan peristiwa cuaca semakin ekstrem telah menjadi keprihatinan keselamatan utama yang menjejas rantau ini.
Kesan bencana iklim boleh dirasakan oleh penduduk, seperti yang dilihat dalam beberapa kejadian banjir besar yang melanda rantau ini, katanya.
Menurut Cik Melinda, musim hujan di Asia Tenggara berbeza berdasarkan kawasan tertentu dan sebahagian besarnya dipengaruhi sistem monsun.
Asia Tenggara Daratan termasuk Thailand, Vietnam, Kemboja, Laos, dan Myanmar, lazimnya mengalami kemuncak musim hujan antara Mei dengan Oktober, yang didorong oleh Monsun Barat Daya.
Kesan seperti banjir, tanah runtuh, dan gangguan pengangkutan adalah perkara biasa sepanjang tempoh ini, jelasnya.
Begitu juga Asia Tenggara Maritim, seperti Malaysia, Singapura, dan Indonesia, biasanya mengalami kemuncak musim hujan antara November dengan Mac, disebabkan oleh Monsun Timur Laut.
Bagaimanapun, bahagian selatan Thailand, terutamanya kawasan berhampiran Teluk Thailand, seperti Hat Yai, mempunyai ciri bermusim yang serupa dengan negara maritim, kata Cik Melinda.
Pada hujung November, Ribut Tropika Senyar melanda beberapa bahagian Indonesia, Thailand, dan Malaysia, membawa hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang mengorbankan banyak nyawa.
Di serata rantau ini, lebih 1,300 orang terkorban, manakala ribuan lagi terpaksa dipindahkan.
Lebih 800 rakyat Singapura dari Hat Yai di selatan Thailand tiba di Singapura dengan selamat selepas mereka mendaftarkan diri secara elektronik atau menghubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA) ketika banjir besar melanda negara itu.
Antara yang terjejas oleh banjir di bandar Hat Yai ialah pasangan Cik Ritzsya Remona Putri Samsudin Ali, 27 tahun, dan suaminya Encik Daniel Cheng, 28 tahun, yang mengembara menaiki motosikal dari Singapura ke Thailand.
Meskipun cuaca mendung dan hujan gerimis melanda sepanjang perjalanan mereka yang bermula pada 21 November, Cik Ritzsya tidak menjangka cuaca akan berubah dan menjadi lebih teruk secara mendadak.
“Kami tahu tentang musim monsun, tetapi kami membuat kesilapan besar kerana kami hanya membuat kajian tentang keadaan cuaca Thailand secara umum, dan bukan khususnya untuk Hat Yai,” katanya.
Justeru, setibanya di Hat Yai, pasangan itu terpaksa meredah banjir bersama motosikal mereka dengan bantuan beberapa penduduk tempatan disebabkan arus amat deras.
Akibat keletihan, mereka memutuskan menginap di apartmen yang ditempah untuk malam itu.
Namun, mereka tidak menyangka, sekitar jam 8 pagi pada 22 November, paras air meningkat sehingga membanjiri tingkat bawah rumah penginapan mereka dan menenggelami motosikal. Mujurlah, mereka dapat berpindah ke apartmen lain yang kurang terjejas oleh banjir dan berjaya pulang ke Singapura menaiki pesawat pada 28 November 2025.
Cik Ritzsya meluahkan rasa kesal kerana mereka terlepas pandang untuk membeli insurans perjalanan, yang menyebabkan mereka mengalami kerugian kewangan.
Contohnya, kos menarik balik motosikal dari Hat Yai ke Singapura mencecah $1,000, dan penerbangan pulang pula berharga $240. Kos membaiki motosikal mereka masih belum termasuk, tambah Cik Ritzsya.
“Pastikan anda dapatkan insurans perjalanan tidak kira negara itu dekat atau jauh atau anda hanya berkunjung selama beberapa hari sahaja.
“Usah ulangi kesilapan kami,” katanya.
Pakar insurans yang dihubungi BM menyarankan agar para pelancong membuat persediaan awal supaya dapat mengawal risiko perjalanan.
Ketua perniagaan langsung, Etiqa Insurance Singapore, Cik Jazzreal Wong, menasihati pelancong agar membeli polisi insurans perjalanan sebaik sahaja mereka menempah penerbangan bagi memastikan terdapat perlindungan bagi kejadian yang mungkin berlaku sebelum perjalanan bermula, seperti pembatalan perjalanan akibat penyakit, kecederaan, bencana alam atau tindakan keganasan di destinasi.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat anggapan bahawa sebarang gangguan akibat bencana alam seperti penerbangan dibatalkan, atau jadual perjalanan tertangguh, secara automatik boleh dituntut sepenuhnya di bawah insurans perjalanan.
“Hakikatnya, perlindungan bergantung kepada terma khusus polisi serta waktu polisi tersebut dibeli. Dalam konteks bencana alam, perlindungan perubatan, pemindahan dan penghantaran pulang ke negara asal merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian semasa membeli polisi, terutamanya jika destinasi perjalanan lebih terdedah kepada kejadian cuaca ekstrem,” kata Cik Wong.
Etiqa Insurance Singapore telah mencatatkan peningkatan antara 10 dengan 15 peratus dalam jumlah pertanyaan berkaitan pembatalan atau penangguhan perjalanan sewaktu tempoh hujung tahun, berbanding purata bulanan pada tahun 2025.
Ini, kata Cik Wong, mencerminkan kesedaran meningkat dalam kalangan warga Singapura mengenai keperluan insurans perjalanan dalam menangani risiko perjalanan bermusim.
Pelancong boleh mendapatkan maklumat terkini dan menerima amaran tepat pada masanya mengenai risiko berkaitan cuaca dan iklim dengan menggunakan gabungan sumber meteorologi rasmi, aplikasi amaran perjalanan, serta alat daripada syarikat penerbangan atau insurans.
Cik Melinda menyarankan pelancong merujuk kepada agensi meteorologi kebangsaan seperti NEA Weather (Singapura), BMKG Info (Indonesia), dan PAGASA (Filipina) yang kerap mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat, banjir, dan taufan.
Wadah amaran keselamatan dan perjalanan seperti Google Maps, AccuWeather, atau aplikasi syarikat penerbangan boleh memberikan maklumat tambahan mengenai penutupan jalan, ramalan cuaca harian, gangguan pengangkutan, dan kelewatan penerbangan, tambahnya.
Selain itu, pelancong juga boleh menggunakan aplikasi Assistance App di bawah syarikat perkhidmatan risiko keselamatan dan kesihatan, International SOS, untuk mendapatkan maklumat terkini tepat pada waktunya mengenai risiko, maklumat tentang destinasi serta akses 24 jam kepada pakar keselamatan dan perubatan.
International SOS telah menyaksikan peningkatan ketara dalam amaran dan permintaan bantuan berkaitan cuaca ekstrem dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara 2020 dengan 2024, permintaan ini lebih dua kali ganda, daripada 353 pada 2020 hingga 832 pada 2024, mencerminkan kesan risiko berkaitan iklim yang semakin meningkat ke atas pelancong.
Pengurus keselamatan serantau International SOS, Encik Bala Selvam, menasihati pelancong agar mendaftar mengenai perjalanan ke luar negara bersama Kementerian Ehwal Luar (MFA) di dalam talian.
Mendaftar bersama MFA membolehkan kementerian untuk berhubung dengan pelancong yang boleh menerima maklumat terkini atau bantuan konsular dalam keadaan kecemasan.
Dari segi tempat tinggal, Encik Bala mengesyorkan supaya pelancong memilih penginapan yang terletak jauh daripada zon risiko tinggi seperti kawasan yang mudah dilanda banjir serta kawasan yang mempunyai sejarah gangguan cuaca teruk.
“Jika mengunjungi kawasan tersebut memang tidak dapat dielakkan, pelancong sebaiknya menjalankan penilaian risiko sebelum perjalanan sekiranya boleh, termasuk menilai sama ada penginapan mereka mampu menampung dengan sendiri (self-sendiri) dari segi bekalan elektrik sandaran dan keperluan penting seperti air minuman bersih dan makanan,” ujarnya yang menjawab pertanyaan BM.
Encik Bala berkata jika pelancong menghadapi banjir teruk, mereka harus mengutamakan keselamatan diri dengan mengelakkan air yang mengalir deras, tidak cuba memandu melalui jalan yang dinaiki air, segera mencari kawasan yang lebih tinggi, dan mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan.
Sekiranya mereka memerlukan sokongan tambahan atau tidak pasti mengenai situasi semasa, mereka harus menghubungi perkhidmatan kecemasan atau International SOS untuk mendapatkan panduan.
Beliau juga berkata pelancong perlu memastikan mereka mempunyai akses kepada pelbagai saluran komunikasi, seperti masa bercakap (talk time) di bawah pelan SIM perjalanan mereka, selain daripada data.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg