Lebih 800 rakyat Singapura dari Hat Yai di selatan Thailand tiba di Singapura dengan selamat selepas mereka mendaftarkan diri secara elektronik atau menghubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA) ketika banjir besar melanda negara itu.
Dalam satu hantaran Facebook pada 1 Disember, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkongsi tentang kepulangan 822 rakyat Singapura dan menyatakan penghargaan terhadap “dedikasi pasukan respons konsular MFA yang bekerja tanpa henti di lapangan untuk menghubungi rakyat Singapura dan membantu membawa mereka pulang”.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand, Angkatan Tentera Diraja Thailand, Badan Bukan Pemerintah (NGO) dan sukarelawan “yang memberikan sokongan pantas dan membolehkan pemerintah membantu rakyat Singapura dengan berkesan”.
Dr Balakrishnan juga menyatakan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, yang membantu menerima rakyat Singapura dan memberikan sokongan sepanjang usaha pemindahan, lapor The Straits Times (ST).
“Ketika Thailand memasuki fasa pemulihan, saya berharap keluarga dan masyarakat yang terjejas oleh banjir akan dapat membina semula kehidupan dan memperoleh kestabilan,” tambah beliau.
MFA berkata pada 28 November bahawa lebih 600 rakyat Singapura telah memulakan perjalanan pulang dari Hat Yai ke Singapura.
Daripada 893 rakyat Singapura yang menghubungi MFA untuk mendapatkan bantuan akibat banjir, 608 daripada mereka telah menaiki penerbangan ke Singapura atau sedang menunggu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai.
Hujan lebat dan paras air mula surut di selatan Thailand, lapor media tempatan.
Ini membolehkan usaha pemindahan dipercepatkan kerana kenderaan darat seperti van dan lori tentera dapat sampai ke lokasi mangsa yang terkandas, serta membawa pelancong asing ke pusat bantuan atau lapangan terbang.
MFA berkata pada 27 November ia sedang mengatur van untuk memindahkan rakyat Singapura dari kawasan pusat Hat Yai ke lapangan terbang.
Banjir tersebut menjejas lebih 980,000 rumah dan lebih 2.7 juta penduduk di Thailand, menurut kenyataan terdahulu Kementerian Dalam Negeri negara itu.
Sekurang-kurangnya 176 orang di selatan Thailand terkorban, menurut pihak berkuasa pada 1 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg