Topic followed successfully
Go to BHkuFeri dari S’pura ke Batam kenakan bayaran tambahan $6
Feri dari S’pura ke Batam kenakan bayaran tambahan $6
Feri dari S’pura ke Batam kenakan bayaran tambahan $6
BATAM: Ketegangan geopolitik di Asia Barat, ekoran serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, telah melonjakkan harga minyak mentah dunia.
Kenaikan ini kini membebankan sektor pengangkutan laut serantau.
Akibatnya, tambang feri bagi laluan antarabangsa antara Batam di Kepulauan Riau, dengan Singapura dan Malaysia terpaksa dinaikkan.
Ia langkah mengimbangi kos bahan api yang kian mahal.
Empat pengendali feri Batam-Singapura-BatamFast, Horizon, Majestic, dan Sindo Ferry – telah mengumumkan bayaran tambahan bahan api baru-baru ini.
Bagi penumpang yang berlepas dari Singapura, bayaran tambahan sehala ditetapkan $6.
Manakala, bagi mereka yang berangkat dari bandar Indonesia seperti Batam, Tanjung Pinang, dan Tanjung Balai, bayaran tambahan ialah 65,000 rupiah ($4.90).
Setiap pengendali feri menetapkan tambang sendiri, namun, kos perjalanan pergi balik dianggarkan antara 700,000 hingga 900,000 rupiah, tidak termasuk bayaran tambahan yang baharu dikenakan.
Batam, dengan lima pelabuhan antarabangsa, menawarkan laluan ke Singapura dan Malaysia.
Selain Batam Centre, pelabuhan lain termasuk Nongsa Point Marina, Sekupang, Harbour Bay, dan Coast Gold Bengkong.
Data Statistik Indonesia menunjukkan bahawa Batam menarik 1.61 juta pengunjung asing pada 2025.
Majoriti pelawat tiba melalui pelabuhan feri antarabangsa.
Kunjungan tertinggi dicatatkan pada Disember 2025, mencecah 195,525 – lonjakan ketara 53.15 peratus daripada 127,667 kunjungan pada November 2025.
Pelancong dari Singapura mendominasi lawatan Disember, menyumbang 55.13 peratus daripada keseluruhan pelancong asing.
Dari Januari hingga November 2025, Batam menerima 1.41 juta pelawat, meningkat 20.97 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Dalam tempoh ini, Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar, dengan 49.74 peratus, atau 78,280 pelawat, pada November.
Pentadbiran bandar Batam mensasarkan 1.75 juta lawatan pada 2026.
Ketua Agensi Pelancongan Batam, Encik Ardiwinata, kekal optimis bahawa kenaikan harga minyak mentah tidak akan menjejaskan kehadiran pengunjung ke Batam.
“Saya yakin sasaran 1.75 juta pelancong asing ke Batam tahun ini tetap dapat dicapai, walaupun terdapat kenaikan tambang berikutan kos bahan api yang tinggi,” jelas beliau. – Agensi berita.

