Sudah dua kali saya menjejakkan kaki ke Sarawak, kunjungan kali ini terasa amat berbeza, membawa saya lebih dekat kepada alam semula jadi.
Sepanjang empat hari perjalanan, saya berpeluang mendalami warisan dan sejarah bandar Miri, Sarawak.
Pada hari pertama, sebaik sahaja tiba di Miri, saya meluangkan masa bersiar-siar di sekitar bandar, dan singgah di ‘Grand Old Lady’, gelaran untuk telaga minyak tanjung pertama di Malaysia.
Kami menikmati makan malam di Me Bao Bakery & Restaurant sebelum kembali ke tempat penginapan.
Hari kedua menguji ketahanan fizikal saya.
Pada usia 61 tahun, jujur saya katakan kekuatan fizikal saya seolah-olah dicabar kali ini.
Mana tidaknya.
Seharian suntuk saya menghabiskan masa meneroka pelbagai gua di dalam Taman Nasional Niah, sebuah Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Miri, Sarawak.
Gua Niah, yang merupakan gua batu kapur terbesar dan tertua di Malaysia, dikelilingi oleh taman negara yang menjadi tapak bersejarah di bawah penyeliaan Muzium Sarawak.
Ia terletak kira-kira 90 kilometer, atau satu setengah jam perjalanan menaiki kereta dari bandar Miri.
Dari pintu masuk, kami berjalan selama satu setengah jam untuk sampai ke gua pertama, iaitu Gua Dagang (Trader’s Cave), sebuah tempat perlindungan batu yang penting dalam kompleks Gua Niah yang terkenal di Sarawak.
Peranannya dalam sejarah adalah dalam kegiatan perdagangan sarang burung dan najis kelawar (guano).
Ternyata, Gua Dagang bukan sekadar gua biasa kerana ia merupakan tapak arkaeologi di mana penemuan peninggalan manusia zaman purba, membolehkan pengungkapan sejarah dan warisan budaya awal masyarakat Sarawak.
Seterusnya kami ke Gua Besar (Great Cave) yang terkenal dengan industri sarang burung.
Ia juga merupakan destinasi pelancongan yang popular di Sarawak.
Setiap bahagian siling di dalam gua mengandungi banyak burung walit yang menghasilkan sarang burung.
Pengumpulan dilakukan dua kali setahun pada Januari dan Jun.
Pengumpul akan memanjat ratusan kaki pada satu tiang untuk sampai ke siling gua sebelum mengikis sarang menggunakan cahaya lilin.
Di sana juga terdapat Gua Lukisan (Painted Cave), gua yang lebih kecil di mana ahli arkeologi menemui tanah perkuburan dan lukisan berwarna merah di dinding gua.
Seterusnya, kami beransur ke Gua Bulan (Moon Cave/Gan Kira), yang merupakan bahagian gua yang sangat gelap dan memerlukan lampu suluh untuk dilalui.
Kami mengambil masa kira-kira dua jam untuk meneroka keseluruhan kawasan di dalam Gua Niah.
Memang meletihkan dan membuat saya tercungap-cungap tetapi ia tetap satu pengalaman yang menyeronokkan, memberi saya pengalaman baru dan menimba ilmu pengetahuan tentang sejarah gua di Sarawak ini.
Kegiatan tersebut sesuai untuk dijadikan kegiatan sekeluarga, tetapi warga emas yang ke sini perlu memiliki tahap kecergasan yang mencukupi sepanjang sesi berjalan yang memakan masa berjam lamanya dan turun naik tangga.
Setelah puas meneroka gua-gua tersebut, saya pun sempat singgah ke rumah panjang kaum Iban untuk makan tengah hari.
Saya dapat berinteraksi dan bertemu dengan ketua kampung, dan kami dihidangkan makanan kampung yang lazat.
Untuk makan malam, kami menjamu selera di restoran Kebaya Story.
Pada hari ketiga, saya membeli oleh-oleh kek lapis dari kedai Kek Lapis Siti Payung yang terletak di kawasan Miri Waterfront.
Saya sempat makan tengah hari di restoran Mumbu di Marina Parkcity Miri, sebelum singgah di patung Miri Seahorse Statue di Miri Waterfront yang kelihatan cantik pada waktu malam.
Percutian saya juga digulung dengan indah apabila saya menyaksikan matahari terbenam dari bumbung bangunan Miri City Council.
Perut kemudian diisi di restoran 3 Beradik Gemok Kitchen di Miri Handicraft Centre.
Kalau ada umur dan rezeki, ingin saya kembali lagi bersama isteri, anak-anak dan cucu-cicit.
Perjalanan penulis ditaja Lembaga Pelancongan Sarawak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg