Topik diikuti
Pergi ke BHkuZainalabidin masih berbisa selepas 50 tahun berkarya
Zainalabidin masih berbisa selepas 50 tahun berkarya
Konsert pukau peminat pelbagai usia dengan persembahan tenaga, gurauan spontan
Zainalabidin masih berbisa selepas 50 tahun berkarya
Dengan penampilannya yang bergaya dan vokal yang masih menyengat, penyanyi legenda, Datuk Zainalabidin, membuktikan beliau masih mampu memberikan persembahan penuh bertenaga, meskipun usianya sudah mencecah 66 tahun.
Konsert sempena ulang tahun ke-50 penyanyi legenda itu, Dato’ Zainalabidin ‘50th Anniversary Concert, yang berlangsung sebagai sebahagian sambutan Pesta Raya di Esplanade – Teater Di Persisiran dibanjiri peminat daripada pelbagai peringkat usia.
Beliau yang nama sebenarnya, Zainal Abidin Mohamed, telah menjenamakan semula nama beliau kini untuk era baharu.
Seorang peminat setia, Cik Rashidah Abdul Kadir, 53 tahun, tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan Zainal, malah membeli tiket sejurus sahaja mengetahui penyanyi itu akan mengadakan konsert di Singapura.
“Saya memang minat Zainal dan saya akan pergi ke semua konsertnya.
“Antara lagu yang saya minati ialah Inaya, Pantun, Tua dan Bongkar. Lirik lagunya juga sangat mendalam dan bermakna.
“Konsert hari ini tidak menghampakan, daripada persembahan, susunan muzik hingga nyanyian yang masih mantap!” kata Cik Rashidah.
Peminat bukan sahaja dihiburkan dengan alunan suara Zainal yang masih padu, malah tidak kering gusi dengan selingan gurauan spontannya sehingga ada yang menyifatkan persembahan itu seperti menonton komedi berdiri atau ‘stand-up’ comedy.
“Beliau pandai berinteraksi dengan penonton sehingga membuat persembahannya sangat menghiburkan. Dan tentulah, suaranya masih lunak,” kata seorang lagi peminat yang ingin dikenali sebagai Cik Lenny Sharina.
“Bukan saja persembahan terbaik, tetapi kelakar!” ujar penonton, Cik Farida Hamid, yang meninggalkan pesan di Instagram penyanyi itu.
Diiringi 20 pemuzik ‘big band’ yang dipimpin maestro jaz terkenal Malaysia, Michael Veerapen, Zainalabidin mempersembahkan lagu malar segarnya daripada album Hijau dalam susunan baharu.
Beliau turut menyanyikan karya artis yang menjadi inspirasinya, daripada penyanyi Britain, Sting, hingga legenda rege, Bob Marley.
Anak kelahiran Johor itu juga merupakan antara segelintir artis Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, dengan antara detik paling ikonik adalah persembahan bersama tenor Italy, Andrea Bocelli, pada 2018 dalam Concert of Mercy di Vatican City.
“Saya asal orang Johor, dan semasa muda, saya pernah ikuti band ‘Cina mati’ di Singapura, sebab dapat upah,” kongsinya di pentas tentang asal usulnya, semasa memburu cita-cita sebagai penyanyi.
Zainalabidin mula mencipta nama sebagai vokalis utama kumpulan rok Malaysia, Headwind, pada penghujung 1970-an hingga 1980-an sebelum berjaya mengubah haluan sebagai artis solo dengan identiti muzik yang menggabungkan unsur muzik rakyat Melayu, rentak Afro-pop dan pengaruh muzik dunia.
Dalam kalangan generasi muda pula, beliau masih dikenang menerusi runut bunyi filem animasi, Tarzan, Kau Di Hatiku.
Versi Inggerisnya, You’ll Be In My Heart, oleh Phil Collins, memenangi Anugerah Academy 1999 dan Anugerah Golden Globe 2000 bagi kategori Lagu Ciptaan Asli Terbaik.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) sebelum ini, Zainal berkata konsert itu merupakan konsert ‘besar’ terakhir untuknya, kerana sudah bersedia untuk bersara.
“Saya memang berniat untuk bersara, tetapi bukan bersara sepenuhnya.
“Jika terdapat undangan persembahan daripada pihak kerajaan atau rakan-rakan, saya akan menerimanya, namun ia bukanlah konsert berskala besar,” jelasnya.
