Pada usia 57 tahun, vokalis kumpulan legenda Wings, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan biarpun dilihat ‘membelasah’ puluhan lagu sewaktu konsert sekitar tiga jam di Malaysia, pada 28 November lalu.
Ditanya wartawan Berita Minggu (BM) mengenai persiapan di ambang konsert ulang tahun Wings ke-40, anjuran syarikat pengurusan, Biz Trends, di Stadium Tertutup Singapura pada 24 Disember ini, Awie berkongsi rutin dilakukan setiap kali sebelum konsert.
“Persiapan yang saya lakukan bagi konsert termasuk ke gimnasium untuk membina stamina, dan menghadiri kelas vokal.
“Begitulah rutin setiap hari. Biasanya, latihan bagi persiapan konsert dijalankan kira-kira dua bulan sebelum tarikh konsert berlangsung.
“Ini untuk tahu tahap mana saya boleh ‘pergi’. Tapi Alhamdulillah, di usia ‘remaja’ ini, saya masih lagi mampu melakukan konsert, lebih-lebih lagi di Malaysia yang baru sahaja selesai.
“Saya mengharapkan kelancaran dan sambutan yang sama di Singapura nanti,” kata Awie ketika dihubungi BM melalui Zoom.
Walaupun Wings sudah beberapa kali membuat persembahan di Singapura, termasuk di The Star Theatre pada 2023, konsert kali ini menandakan kali pertama mereka mengadakan persembahan solo di Stadium Tertutup Singapura.
Sebelum ini, pada 2012, Wings pernah berkongsi pentas yang sama di stadium berkenaan bersama kumpulan rok legenda Malaysia, Search.
Pada 2022 pula, Wings mencatat sejarah sebagai kumpulan pertama dari Asia Tenggara yang beraksi di pentas utama Grand Prix Singapura Formula Satu Singapore Airlines di Padang.
Walaupun Awie enggan mendedahkan mengenai kejutan yang menanti peminat pada konsert di Singapura, lagu Sejati tetap menjadi antara lagu yang ‘wajib dinyanyikan’, malah dianggap sebagai lagu kebangsaan bagi peminat setia.
“Lagu Sejati sudah dianggap sebagai ‘lagu kebangsaan’ bagi peminat setia.
“Itu tidak boleh kalau tidak dinyanyikan. Kadang-kadang, saya cuba untuk tidak membawakan lagu itu dalam persembahan.
“Tetapi, mereka tetap mahukan lagu Sejati.
“Jadi, kalau lagu itu tidak dinyanyikan, ia ibarat persembahan tidak cukup syarat.
“Pastinya, kami akan cuba sedaya upaya untuk perbanyak menyanyikan lagu-lagu yang orang suka,” ujar Awie.
Sebelum ini, khabar berita mengenai pengunduran dua anggota Wings, iaitu pemain bes, Samsaidi Long Idris, atau lebih mesra disapa sebagai Eddie, dan pemain dram Azmi Hashim (Black), telah dilaporkan beberapa minggu sebelum konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi, yang diadakan pada 28 November di Malaysia.
Pengumuman pengunduran dua anggota tersebut dibuat pada 8 Oktober.
Selepas pengunduran Black dan Eddie, Wings kini dibarisi Awie selaku vokalis, Sham dan Edrie Hashim, sebagai pemain gitar utama.
Ini termasuk dua lagi anggota baru Wings, iaitu Pae sebagai pemain dram, dan Ilham Ishak selaku pemain bes.
Bagaimanapun, pelantun lagu Mabuk Tujuh Lautan itu, menganggap ia perkara biasa dalam kehidupan sebuah kumpulan muzik dalam industri seni, di dalam mahupun di luar negara.
“Pertukaran anggota ini perkara biasa.
“Tidak ada satu band pun yang tersusun orangnya sampai mati.
“Jadi, ia bukan isu yang perlu digusarkan.
“Adakalanya, perubahan ini membuka ruang untuk kita terus mengembangkan bakat dan perjalanan muzik,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Berbicara mengenai anggota terbaru Wings, Awie menerima situasi ini sebagai peluang untuk menumpukan perhatian dalam melatih ahli baru kumpulan itu.
Dalam perkembangan lain, peminat kini berpeluang merasai semula nostalgia dan kehangatan trio legenda filem drama romantik, Sembilu dari era 1990-an, yang terdiri daripada Awie, Erra Fazira, dan Ziana Zain, apabila Awie berkongsi tentang penganjuran konsert bertajuk sama bersama mereka pada 2026.
Konsert Sembilu, anjuran Ideatelier, milik pereka fesyen, Ezuwan Ismail, dijadualkan berlangsung pada 7 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
“Kalau dulu yang menonton filem Sembilu berumur 20-an, kini mereka dah berusia 50-an tahun. Tak sangka sudah 30 tahun sejak filem itu ditayangkan.
“Apabila kami mengumumkan bakal adakan konsert ini, Alhamdulillah, respons yang kami terima amat positif.
“Bagi mereka yang menerima kami sebagai anak seni yang masih kekal relevan, saya amat bersyukur,” kata Awie yang sudah lama mengimpikan peluang sepentas bersama dua primadona filem dan penyanyi itu.
Bagaimanapun, set persembahan lagu bagi konsert tersebut belum dapat didedahkan lagi dek masih lagi dalam perancangan.
Berikutan perkahwinan Erra bersama Ezwan Zain, yang juga pemilik rangkaian kedai makan, Kueh Cafe, Awie tidak mampu membendung rasa bahagia yang meluap-luap terhadap sahabatnya itu.
“Saya adalah antara orang yang paling gembira apabila mendengar khabar Erra ingin berumah tangga.
“Pada usia sebegini, beliau kini ada yang menjaga. Alhamdulillah, Mr E, menjadi pilihan hati Erra.
“Saya pasti semua peminatnya, baik di Malaysia mahupun Singapura, mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang dibina.
“Saya turut mendoakan agar perkahwinan beliau bersama Mr E dilindungi dan dirahmati-Nya,” ungkap Awie.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg