Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 ‘Putri’ Awie lulusan cemerlang, raih Anugerah Presiden, Anugerah Dekan

Dec 14, 2025 | 5:30 AM
Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie (kiri) bersama isterinya, Datin Sharifah Ladyana (kanan), bangga dengan pencapaian kededua anak perempuan, Putri Aleefa Antasha (dua dari kiri) dan Putri Aleeya Antasha, setelah tamat pengajian di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) dengan keputusan cemerlang.
Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie (kiri) bersama isterinya, Datin Sharifah Ladyana (kanan), bangga dengan pencapaian kededua anak perempuan, Putri Aleefa Antasha (dua dari kiri) dan Putri Aleeya Antasha, setelah tamat pengajian di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) dengan keputusan cemerlang. - Foto HARIAN METRO

Apabila TikTok menjadi bahasa komunikasi generasi muda, ibu bapa dalam era media sosial ini juga perlu belajar ‘bertutur’ dalam lenggok yang sama. 

Vokalis kumpulan rok legenda Malaysia, Wings, iaitu Datuk Awie, atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 57 tahun, membuktikan dirinya tidak ketinggalan apabila sesekali tampil dalam video ringkas yang mencuit hati bersama anak-anak dan dimuat naik dalam laman TikTok.

“Ini semua idea mereka! Saya hanya layankan sahaja.

“Saya dengan anak-anak sudah dianggap seperti kawan.

“Dengan saya, mereka memang suka bergurau. Apa-apa yang ingin dilakukan, saya dipaksa turut serta.

“Tiba-tiba sahaja disuruh menari,” seloroh bapa tujuh anak itu dalam sesi wawancara bersama Berita Minggu (BM) melalui Zoom, baru-baru ini.

Wawancara itu dibuat bagi mempromosikan konsert ulang tahun Wings yang ke-40, yang bakal diadakan di Stadium Tertutup Singapura, pada 24 Disember ini.

Menerusi perkahwinan pertama Awie dengan penyanyi Arni Nazira, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putri Aleeya Antasha, 25 tahun, dan Putri Aleefa Antasha, 23 tahun, sebelum bercerai pada 2006.

Dalam perkahwinan keduanya bersama Rozana Misbun, Awie memiliki tiga anak termasuk Putra Ahmad Merrah, 18 tahun; Putra Ahmad Rezzki, 17 tahun, dan Putri Qasseh Antasha, 15 tahun.

Bagaimanapun, Awie dan Rozana bercerai pada 2014.

Menerusi perkahwinan ketiganya pula bersama Datin Sharifah Ladyana, 35 tahun, Awie dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu, Putra Ahmad Andeeka, empat tahun, dan Putra Ahmad Arjunna, setahun.

Pada masa sama, kededua puteri kesayangan Awie iaitu, Aleeya dan Aleefa, turut cemerlang dalam bidang pendidikan.

Baru-baru ini, kededuanya dikatakan telah pun menamatkan pengajian di menara gading secara serentak.

Bukan sekadar tamat pengajian, malah Aleefa yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Fotografi dan Video Kreatif dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), turut dipilih menerima Anugerah Industri dan Anugerah Dekan selepas memperoleh markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sebanyak 3.78.

Anak sulung, Aleeya yang kini menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara dari universiti yang sama, pula menerima pengiktirafan Senarai Presiden hasil pencapaiannya yang cemerlang.

“Alhamdulillah, syukur. Satu kebanggaan besar untuk saya dan isteri. 

“Walau apa pun yang terjadi dalam kehidupan atau kerjaya saya, pendidikan anak-anak tetap saya utamakan,” kata Awie dalam wawancara berasingan yang diterbitkan laman web Sinar Harian.

Sementara itu, ramai netizen turut mengagumi bakat nyanyian anak lelaki Awie, Merrah, yang disifatkan seakan-akan menyerupai suara bapanya ketika zaman muda.

Berkongsi lanjut, Awie menjelaskan beliau sebenarnya tidak menyedari langsung minat anaknya itu terhadap dunia seni suara.

“Dia tidak pernah tunjukkan langsung minatnya sebagai seorang penyanyi sebelum ini.

“Setahu saya, Merrah minat main dram seawal umur lapan tahun. Jadi, saya pun menghantarnya ke kelas muzik.

“Namun, apabila dia berada di Sekolah Seni Malaysia di Kuala Lumpur, di situlah saya mula lihat perubahan.

“Tiba-tiba sahaja, dia bernyanyi dan mula berjinak-jinak dalam lakonan. Saya sendiri pun tidak pernah mendengar Merrah bernyanyi di depan saya sebelum dia masuk ke sekolah itu.

“Dan mulalah saya dapat undangan untuk melihat dia membuat persembahan teater dan nyanyian di sekolah.

“Saya pun bertanya, ‘Apa sudah jadi dengan kelas dram?’. Dari situ, dia memberitahu saya yang dia ingin fokus pada nyanyian,” kata Awie.

Bagaimanapun, beliau tidak menggalakkan anak lelakinya, yang juga pernah membintangi filem arahan Awie, Rebel: Berontak Untuk Berotak, itu untuk menceburi bidang seni dek sudah lebih dahulu ‘makan garam’ dan sebati dengan kepayahan membina nama dalam industri hiburan.

“Saya sudah berada dalam industri seni selama 40 tahun. 

“Maka itu, saya tahu betul kepayahan dan keperitan yang harus dilalui untuk kekal bertahan dalam arena hiburan.

“Tambahan lagi, saya masih aktif bergiat dalam bidang muzik. Saya tidak mahu orang membuat perbandingan antara saya dengan Merrah.

“Kerana itu, saya berpesan pada Merrah untuk tumpukan perhatian pada pendidikan dulu,” ujar pelantun lagu, Taman Rashidah Utama, itu.

Hakikatnya, kalau sudah tumpahnya kuah ke nasi, Awie tidak menghalang minat itu jika itulah yang Merrah benar-benar mahu ceburi, walaupun kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur, Malaysia, dalam jurusan Pengajian Perniagaan.

Apabila ditanya BM mengenai genre muzik yang diminati Merrah, Awie berkata rok barangkali bukan nyanyian jiwanya.

“Jika dia berminat untuk membuat lagu atau album, saya ada studio rakaman sendiri. Terpulang kepada dia untuk menentukan muzik atau genre yang ingin dibawa.

“Merrah boleh sahaja hasilkan konsep atau genre sendiri. Selagi saya masih ada, saya boleh beri bimbingan padanya.

“Dalam berkarya, saya tidak mahu dia terjun atau ‘main terjah’ begitu sahaja tanpa ilmu di dada.

“Saya juga rasa rok bukanlah genre dia. Kalau yang saya dengar, saya rasa dia lebih ke ‘pop’ dan balada.

“Kalau rok, saya belum tahu lagi,” jelas Awie.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg