Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiara Andini titip pesan cinta abadi, semangat berani dalam album ‘Edelweiss’

Penyanyi lagu ‘Kupu - Kupu’ harap dapat duet dengan Judika, Andmesh
Dec 7, 2025 | 5:30 AM
Tiara Andini, Indonesia Idol, Tiara Andini Kupu-Kupu, Edelweiss
Penyanyi Indonesia, Tiara Andini, berharap album barunya, ‘Edelweiss’ yang menampilkan lapan lagu dengan genre berbeza mendapat tempat di hati para pendengar. - Foto UNIVERSAL MUSIC

Nama penyanyi dan juara pertandingan Indonesian Idol (Musim Ke-10), Tiara Andini, mendapat perhatian sejak 2024 apabila tular di wadah media sosial, TikTok dengan lagu rancak Kupu - Kupu yang mendapat 31 juta tontonan di YouTube.

Selain ramai anak muda yang menggunakan lagu itu sebagai muzik latar bagi video mereka, terdapat juga cabaran tarian bagi lagu tersebut.

Tiara, atau nama sebenarnya, Tiara Anugrah Eka Setyo Andini, 24 tahun, dikenali dengan suaranya yang merdu apabila menyanyikan lagu balada.

Digelar antara ‘diva’ pop Indonesia generasi kini, beliau muncul seiring penyanyi wanita berbakat seperti Mahalini, Ziva Magnolya, Lyodra dan Keisya Levronka.

Tiara kini tampil dengan lagu baru, Adu Bola Mata, yang merupakan antara lapan lagu yang dimuatkan dalam album, Edelweiss.

Album yang dilancarkan pada 17 Oktober lalu (2025) secara digital merupakan album solo keduanya.

Berikut merupakan beberapa soalan rambang Berita Minggu (BM) bersama Tiara, yang ditemui di pejabat Universal Music Singapore di Odeon Towers, baru-baru ini:

Soalan (S): Bolehkah anda berkongsi inspirasi di sebalik album baru ‘Edelweiss’?

Jawapan (J): Bunga Edelweiss (bunga sendura) digelar sebagai bunga abadi kerana ia boleh bertahan dalam persekitaran yang mencabar, tidak kira cuaca lantas dilihat sebagai simbol keberanian dan cinta yang berkekalan.

Lantas, saya berharap lagu-lagu saya boleh menjadi seperti bunga itu dan para pendengar akan sentiasa mendengarnya. 

S: Apakah cerita di sebalik video muzik lagu terbaru anda, ‘Adu Bola Mata’? 

J: Saya mendapat idea untuk menonjolkan pelbagai versi diri saya dalam video muzik itu semasa bersembang dengan pihak pengurusan.

Ada versi sewaktu saya masih di sekolah dasar (SD) iaitu istilah bagi sekolah rendah di Indonesia dan sekolah menengah pertama. Terdapat juga versi saya bermain permainan catur dan memanah.

Namun, bagi setiap kenangan indah dalam video itu, saya tetap dengan individu yang sama. 

S: Genre manakah yang anda lebih suka – pop dansa atau balada? 

J: Saya suka kededuanya, tidak kira lagu galau (sedih dan keliru) atau rancak yang mengajak pendengar untuk menari bersama. 

Bagi album Edelweiss, saya mahukan konsep yang lebih berwarna-warni dengan lagu daripada pelbagai genre.

Ia seperti menaiki permainan ‘roller coaster’ kerana kadangkala kita berasa gembira, namun kita turut melalui detik yang menyedihkan. 

S: Siapakah idola muzik yang anda ingin jalin kerjasama pada masa hadapan? 

J: Saya amat mengagumi muzik yang dikeluarkan oleh bintang popular, Ariana Grande. Saya mula menyukainya ketika masih bersekolah di SD pada 2012. 

Jika di Indonesia, saya berharap dapat bekerjasama dengan Judika atau Andmesh Kamaleng. Saya mempunyai beberapa lagu ciptaan Andmesh, namun belum pernah berkesempatan berduet dengannya. 

S: Setelah berada dalam industri muzik selama lima tahun, apakah sesuatu yang anda pelajari?

J: Saya rasa bakat muda dalam industri muzik harus serba boleh dan tidak takut untuk mencuba pelbagai genre. 

Selain itu, mereka harus mempersiapkan diri agar sihat secara fizikal dan mental supaya sentiasa bersemangat positif untuk terus melakukan yang terbaik. 

S: Tiga barang yang perlu ada dalam beg anda? 

J: Telefon pintar, minyak wangi dan produk kecantikan bibir. 

S: Boleh anda ceritakan rutin pagi harian?

J: Saya tidur dengan kucing saya. Jadi setiap pagi, saya harus bermain dengannya dahulu. 

Selepas memberinya perhatian, saya akan bersenam dengan berlari di mesin trek larian sebelum ke dapur untuk menyiapkan sarapan.

Sarapan yang saya suka ialah pankek, roti ‘sourdough’ atau buah-buahan sahaja. 

S: Tempat wajib anda kunjungi setiap kali ke Kota Singa? 

J: Saya suka dengan permainan yang memberi kejutan dan rasa mendebarkan, lantas taman bertema Universal Studios Singapore (USS), menjadi antara tempat wajib dikunjungi. 

Saya boleh menaik permainan Revenge of the Mummy hingga tiga kali dan ia satu pengalaman menarik dan ‘best’!

Sebagai pencinta haiwan, saya juga sering ke Taman Haiwan Singapura atau Safari Malam. Walaupun saya sibuk, saya akan cuba mencari masa untuk ke sana.

Namun setiap kali saya ke Singapura, perkara pertama yang saya nantikan setelah mendarat di lapangan terbang adalah untuk mencari makanan India kerana ia sangat enak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg