Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Exists galak band baru ceburi pasaran arus perdana, fahami cita rasa pendengar

Kumpulan dengan lagu malar segar era 90-an bakal beraksi bersama rakan seperjuangan, Slam di S’pura
Nov 23, 2025 | 5:30 AM
Ezad Exists, Exists, Ezad Lazim, Along Exists
Anggota kumpulan rok Malaysia, Exists iaitu Ezad Lazim (kiri) dan Azhrul Nasir, atau lebih dikenali sebagai Along, berharap peminat dapat menerima lagu ‘Alasanmu 2025’, yang dikeluarkan dengan versi baru pada Jun lalu (2025). - Foto BM oleh NATASHA MUSTAFA

Dikenali dengan lagu malar segar seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Percayakan Siti dan Jesnita, kumpulan rok 1990-an Malaysia, Exists berpendapat tiada rahsia istimewa yang membuat mereka masih kekal aktif hingga kini.

Namun, memahami cita rasa pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mempunyai lagu dengan identiti yang tidak lapuk dek zaman merupakan antara faktor yang membuat mereka berjaya menembusi pasaran serantau dan kekal relevan. 

“Sejujurnya kami tidak tahu apakah resipi rahsia yang membuat kami masih bertahan hingga kini.

“Mungkin disebabkan kami muncul dengan lagu-lagu yang dapat diterima masyarakat umum, lantas dapat menembusi pasaran arus perdana,” kongsi kededua anggota kumpulan, pemain gitar, Along Exists dan vokalis, Ezad Lazim yang ditemui Berita Minggu (BM) di pejabat Berita Harian (BH) pada 10 November. 

Mereka berdua hadir di Kota Singa untuk bertemu pihak media menjelang konsert mereka yang diberi nama Exists X Slam Live In Singapore dan bakal berlangsung pada 29 November, 8 malam di The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre. 

Selain Along dan Ezad, Exists kini turut dianggotai Musa Radhi (Musrad) sebagai pemain bes dan Saharudin Saniman (Ujang) selaku pemain dram.

Konsert anjuran Shiraz Projects itu turut menampilkan rakan seperjuangan mereka, kumpulan Slam yang turut dianggotai vokalis dan penyanyi mapan, Zamani. 

Antara lagu popular kumpulan Slam termasuk Gerimis Mengundang, Tak Mungkin Berpaling, Kembali Merindu dan Rindiani.

Berkongsi mengenai industri muzik di Malaysia kini, Along atau nama sebenarnya, Azhrul Nasir, 47 tahun, berkata terdapat banyak band di negara itu yang lebih memilih untuk berkarya dalam pasaran ‘indie’ sahaja.

Pasaran ‘indie’ merujuk kepada genre muzik ‘independent’ (bebas), yang mana artis itu tidak berkait dengan mana-mana syarikat rakaman dan bergerak secara bebas mengikut cita rasa muzik mereka. 

Langkah itu mengongkong mereka daripada dikenali lebih ramai pendengar yang mengikuti industri muzik arus perdana. 

Pada zaman 1990-an, terdapat kemunculan beberapa band popular di Malaysia, selain Exists dan Slam. Ini termasuk kumpulan rok Spoon, Spring dan Iklim.

“Sebenarnya terdapat banyak band yang berbakat, namun muzik mereka kurang diketahui. 

“Mereka memilih untuk hanya berkarya bagi sesetengah pasaran lantas tidak dapat menembusi pasaran komersial,” ujar Along yang sering membantu pemuzik baru dalam bidang penerbitan lagu. 

Beliau turut mengakui adanya artis yang berkarya dengan niat hanya untuk memasuki pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL), yang dianggap satu pertandingan berprestij bagi pemuzik Malaysia. 

“Tidak salah bercita-cita untuk memasuki AJL, namun ada juga artis yang tidak mampu bertahan setelah memenangi pertandingan itu. 

“Mereka harus memahami cita rasa pendengar dan memahami evolusi muzik supaya tidak hanya menghasilkan lagu mengikut trend semasa,” tambahnya.

Bersetuju dengan pendapat itu, Ezad, atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 46 tahun, turut bersyukur lagu Exists dapat diterima semua lapisan masyarakat. 

“Alhamdulillah, kami mempunyai pendengar daripada semua lapisan masyarakat.

“Ada peminat yang hadir ke konsert dahulu membawa anak-anak kecil mereka.

“Mereka membesar dengan lagu-lagu kami dan kini apabila mereka dewasa, mereka turut membawa anggota keluarga lain ke konsert kami,” kongsi Ezad. 

Beliau yang pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Gegar Vaganza 2 (GV2) pada 2015 dan turut bertanding dalam Gegar Vaganza All Stars pada 2023 mengakui terdapat cabaran bagi penyanyi veteran mengekalkan stamina apabila kembali menyanyi secara aktif.

“Saya memahami apabila ada kumpulan seperti 4U2C dan Elite yang kembali aktif baru-baru ini dan harus kekal bertenaga di atas pentas disebabkan lagu rancak dan ada koreografi tarian.

“Saya turut mengakui apabila memasuki pertandingan, selain stamina, penyanyi itu harus membuat persiapan dari segi mental kerana ia mencabar. 

“Namun saya bersyukur ada wadah seperti GV yang membantu menaikkan nama penyanyi mapan semula dan membuat mereka dikenali oleh pendengar muda,” cerita Ezad yang turut hadir di Singapura bagi acara dagangan Salam Fest, yang berlangsung dari 21 hingga 23 November di Dewan 6B Singapore Expo.

Selain memenuhi undangan untuk mengadakan persembahan, Exists telah melancarkan semula lagu popular mereka, Alasanmu 2025 dan Mencari Alasan 2025 dengan versi baru.

“Setakat ini, kami mendapat maklum balas positif daripada para pendengar yang menyukai susunan lagu yang mempunyai irama lebih menyegarkan, namun tidak mengubah inti pati muzik asalnya,” cerita Ezad.

Mengulas mengenai persiapan konsert pada 29 November, Along berkata mereka akan cuba memberi kelainan dari segi persembahan kerana konsert tersebut merupakan susulan daripada konsert yang diadakan di Malaysia.

Konsert Slam X Exists : Our Journey yang diadakan pada 26 Julai di Megastar Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur mendapat sambutan luar jangkaan dengan ramai peminat dari Singapura turut hadir.

“Dari segi perbezaan, lagu Exists lebih rancak manakala Slam mempunyai banyak lagu irama balada.

“Kami harap penonton akan terhibur dengan gandingan kededua kumpulan,” tambah Along.

Tiket berharga $88 hingga $258 bagi konsert ‘Exists X Slam Live In Singapore’ boleh didapati melalui laman https://www.sistic.com.sg/events/exs1125

“Tidak salah bercita-cita untuk memasuki AJL, namun ada juga artis yang tidak mampu bertahan setelah memenangi pertandingan itu. “Mereka (pemuzik muda) harus memahami cita rasa pendengar dan memahami evolusi muzik supaya tidak hanya menghasilkan lagu mengikut trend semasa,”
Along Exists.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg