Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiapa berhak atas tubuh wanita? Filem pendek pengarah S’pura kupas isu gugur kandungan
Siapa berhak atas tubuh wanita? Filem pendek pengarah S’pura kupas isu gugur kandungan
Buahkan hasil dan terima anugerah berprestij peringkat dunia, kini intai Anugerah Academy
Siapa berhak atas tubuh wanita? Filem pendek pengarah S’pura kupas isu gugur kandungan
Walaupun hanya sebuah filem ringkas, Buah, berjaya membuahkan hasil.
Ia mengharumkan nama Singapura di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Best of Fest, di Festival Filem Ringkas Antarabangsa Palm Springs ke-32.
Pesta seni yang diadakan di Palm Springs, California, Amerika Syarikat, antara 23 dengan 29 Jun itu, merupakan antara festival filem ringkas paling berprestij di dunia.
Lebih menarik lagi, kemenangan itu melayakkan karya arahan pengarah tempatan, Jen Nee Lim, 40-an tahun, itu dipertimbangkan dalam kategori Filem Ringkas Aksi Langsung Terbaik di Anugerah Academy (Oscar), menjadikannya filem Singapura pertama yang meraih pencapaian itu sejak 2018.
Buah mula mencuri perhatian dunia selepas tayangan perdananya di Pesta Filem Antarabangsa Busan ke-30, pada 2025.
Sejak itu, karya berkenaan telah mengembara ke 18 pesta filem antarabangsa merentasi Asia, Eropah, Amerika Utara dan Afrika, termasuk Pesta Filem Sundance yang berpengaruh, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem ringkas Singapura yang paling mendapat perhatian di pentas dunia.
Buah mengangkat tema kebebasan dan hak wanita menentukan pilihan terhadap tubuh mereka sendiri.
Filem yang ditayangkan selama 15 minit itu, mengisahkan seorang wanita hamil, Siti (lakonan Tysha Khan), yang hidup dalam masyarakat yang ‘mengharamkan’ pengguguran kandungan sebelum hidupnya berubah selepas bertemu seorang pemandu bas misteri.
Ikuti wawancara ringkas Berita Harian (BH) bersama pengarah sekali gus penulis naskhah filem Buah, Lim, mengenai pembikinan karya itu serta kejayaannya di pentas antarabangsa.
Soalan (S): Apakah perasaan anda melihat filem ini menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, dan pada pandangan anda, apakah yang paling menyentuh hati penonton?
Lim: Saya berasa amat berbesar hati dan gembira apabila Buah menerima pengiktirafan sebesar ini.
Saya percaya apa yang paling menyentuh hati penonton ialah unsur budaya yang dipaparkan, sesuatu yang mungkin belum pernah mereka lihat sebelum ini.
Pada masa yang sama, filem ini turut mengangkat kisah yang bersifat sejagat tentang seorang wanita yang mendambakan kebebasan.
S: Apa yang mencetuskan ilham untuk menghasilkan filem ringkas ini, dan cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang proses penggambaran?
Lim: Buah diinspirasikan daripada legenda (hantu) puntianak.
Namun, saya membayangkan semula puntianak sebagai pembebas kepada wanita lain yang menginginkan kehidupan berbeza, jauh daripada peranan sebagai seorang ibu.
Cabaran terbesar ialah mencari tempat penggambaran.
Saya membayangkan cerita ini berlaku pada zaman dahulu, ketika masih wujud kampung dengan rumah Melayu bertiang.
Malangnya, rumah seperti itu sudah tidak lagi wujud di Singapura.
Oleh itu, kami terpaksa menjalankan penggambaran di Malaysia, sekali gus meningkatkan kos penerbitan.
Justeru, satu lagi cabaran besar ialah mendapatkan dana yang mencukupi untuk merealisasikan penggambaran di sana.
S: Filem ini menyentuh isu yang sering dianggap sensitif atau tabu. Apakah perbincangan atau renungan yang anda harapkan akan dibawa pulang oleh penonton selepas menonton Buah?
Lim: Saya berharap filem ini dapat membuka ruang kepada perbincangan yang lebih terbuka dan penuh empati mengenai hak wanita untuk membuat pilihan terhadap tubuh mereka sendiri.
Persoalannya, adakah wanita perlu melalui jalan yang begitu ekstrem hanya untuk memiliki kehidupan yang diinginkan?
