Dikenali ramai, dipuji dan dipuja kerana bergelar bintang mega yang mampu membuai ramai dengan irama muzik tanpa sempadan bukanlah sesuatu yang dibayangkan legenda muzik Asia, Datuk Sheila Majid.
Pada usia 18 tahun lebih empat dekad lalu, Sheila hanya mahu mengubah hobi dan nyala rasanya pada bidang nyanyian sebagai sumber pencarian yang bermakna untuk kehidupan.
Selepas 40 tahun berkorban masa dan tenaga sebagai penghibur yang lagunya kini distrim lebih 75.5 juta kali di wadah penstriman Spotify, terasa segalanya bagai cepat berlalu dan ibarat satu mimpi manis yang membuat kesyukurannya melimpah-ruah.
Sheila, 60 tahun, yang dihubungi Berita Minggu (BM) sekitar enam bulan sebelum Konsert Sheila Majid 40 Years In Music, anjuran Biz Trends Media, berlangsung di Dewan Konsert Esplanade mulai 7.30 malam, pada 6 Jun 2026, akur tidak mudah bergelar artis.
Namun, ibu empat anak antara usia 18 dengan 34 tahun itu, tidak menyesali langkah yang diambil meskipun pada awalnya, bapanya, Allahyarham Haji Abdul Majid Haji Mohd Shahid, keberatan mengizinkan anak bongsunya itu bergelar penghibur.
Sebagaimana kata pelantun lagu Sinaran, Dia, Lagenda, dan Antara Anyer dan Jakarta itu:
“Dari sekolah, saya memang suka menyanyi. Saya tahu bapa saya tak begitu gembira dengan pilihan yang saya buat untuk menyanyi sebagai kerjaya. Maklumlah saya anak bongsu lapan beradik.
“Bagaimanapun, sebelum beliau meninggal dunia (pada 1996), beliau dapat melihat betapa saya memasuki industri hiburan ini bukan atas sebab yang salah, suka-suka atau nak mengejar populariti.
“Saya memang suka menyanyi dan gemarkan muzik. Nyala rasa saya menjana karya seni adalah atas dasar ingin jadi penghibur dan insan yang lebih baik hari demi hari.
“Sebab kita suka dan minat, kita akan bersungguh-sungguh mempelajari dengan lebih mendalam. Kita terus mengkaji dan menggali untuk mendalami ilmu seni.
“Orang tak payah paksa. Memang kalau tak minat, orang akan cakaplah berulang kali tetapi kita takkan buat.”
Menurutnya, muzik memainkan peranan besar dan ini lebih disedari sewaktu seisi dunia dilanda wabak Covid-19 dan terkurung di rumah.
“Muzik membantu dalam menjaga kesihatan minda kita. Apabila orang bersedih atau bingit, muzik menjadi penawar dan membangkitkan semangat. Anda jadi lebih terubat meskipun ramai yang tak nampak tentang peranan muzik dalam mewujudkan kesejahteraan dalam hidup manusia.
“Mungkin muzik dikaitkan dengan benda-benda yang ‘gelap’...suasana kelab malam, bertunggu tangga dan jadi kutu embun sampai lewat malam, merokok, minum arak dan segalanya.
“Tapi anda tak perlu kaitkan diri dengan perkara sebegini. Jauhkanlah. Buat pilihan bijak. Jadikan muzik platform yang menyatukan tanpa mengira kaum, bangsa atau agama, dan tak perlu bertekak dan bergaduh.
“Dunia ini sudah cukup toksik. Kita tak perlu tambahkan racun atau sentimen negatif bagi memporak-perandakan keadaan. Kalau ada artis tempatan lain mengusahakan sesuatu yang baik, kita wajar sokong. Bukannya menjatuhkan satu sama lain.
“Dunia politik di sana sini memecahbelahkan tapi muzik sewajarnya menyatukan hati dan jiwa,” katanya lagi.
Sheila juga menganggap angka 40 itu sebagai satu mercu tanda penting dalam perjalanan seninya.
Beliau bahkan bersyukur masih lagi dapat membuat sesuatu yang disukai dan masih ada orang yang ingin mendengar dirinya menyanyi secara ‘live’.
Menurutnya, sebagai artis, terlalu banyak mata yang akan memandang. Kebanyakan masa, artis tidak bebas berjalan ke sana sini seperti orang lain. Tambahan pula, semua orang kini memiliki kamera dalam telefon pintarnya dan bebas merakam apa yang dilihat termasuk gelagat artis.
Bagaimanapun, sejak dari dahulu, beliau jenis yang tak ambil pusing dengan komen orang sebab akur tidak boleh memuaskan hati dan membahagiakan semua orang.
Rambut pendeknya yang ‘tajam’ pada awal kemunculan dalam industri hiburan persis satu trend yang menjadi ikutan anak muda ketika itu meskipun ada yang mungkin menganggapnya terlalu moden.
Bintang kecil molek itu berkata: “Ada macam-macam orang dalam dunia. Saya senang sahaja. Saya lebih banyak memerhatikan dan boleh membaca dengan tepat apa yang bermain di minda mereka.
“Kalau mereka tak membawa sebarang manfaat dalam hidup saya, bersikap kurang ajar atau sombong dan memiliki perangai tak elok, saya takkan melayan mereka dan singkir sahaja mereka daripada kehidupan saya.
“Macam dalam media sosial kini. Saya takkan cuba meyakinkan netizen untuk menerima saya. Awak nak cakap apa sahaja tentang saya sedangkan awak tidak mengenali saya?
“Kalau awak menilai saya tanpa berusaha mengenali saya, saya takkan ambil kisah pun. Semudah itu cara saya. Tak perlulah ramai orang bawa unsur negatif dan aura yang tak menyenangkan sehingga menjejas kita.
“Yang penting, orang yang rapat dengan kita faham dan beri kita galakan. Tak perlu nak dapatkan pengesahan daripada mereka yang kita tak kenali dan hanya nampak kritikannya dalam talian. Tak payah balas pun. Takkan ada kesudahan,” jelas Sheila lagi.
Kerana itu, beliau berpesan kepada artis muda agar kuat secara mental dan fizikal di samping membuat persiapan bagi menangani cabaran dunia hiburan yang bukan sedikit tetapi kadangkala sulit jika membebani fikiran.
“Kena disiplin, pandai jaga diri dan berhati-hati. Fikir masak-masak sebelum bergelar penyanyi. Mampukah anda menerima semua ini? Apa yang dilalui boleh mematahkan semangat.
“Saya tengok ada artis baru yang belum apa-apa dah nak tarik diri sebab kemurungan. Ini gara-gara sibuk sangat memikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang dirinya.
“Pemikiran mesti matang. Anda harus terus berkarya dengan menghasilkan muzik yang bermanfaat dan buat orang merenung dalam diri dan belajar. Ini amanah kita sebagai karyawan muzik.
“Saya beri contoh lagu saya, Ku Mohon, yang buat ramai jadikan sebagai doa dan renungan diri.
“Kalau dah berjaya pula, jangan berperangai seperti ‘diva’. Teruskan sikap merendah hati dan baik dengan orang. Ini kerjaya. Kita nak fikir jangka panjang. Tak ada sebab nak menyombong sebab kita semua sedang mencari rezeki,” ujarnya lagi.
Mengenai konsertnya di Singapura dengan susunan muzik oleh pengarah muzik, Mac Chew, Sheila akur sukar membuat pilihan lagu untuk dipersembahkan kerana memiiki lapan album dengan 80 lagu.
“Tapi lagu-lagu wajib mesti nak dipersembahkan. Jangan sampai peminat mogok. Saya pun tak nak tukar susunan lagu secara mendadak sampai orang tak kenal. Kita perlu ikut tema dan peredaran segmen dalam konsert itu. Cuma kali ini, saya nak ketengahkan irama disko pula sebab ketika saya baru masuk dalam industri, itulah genre yang paling digemari,” jelasnya, yang kagum apabila anak muda menggelar irama muziknya ‘city pop’ (persis trend muzik pop retro Jepun era 1970-an dan 1980-an).
Tiket Konsert Sheila Majid 40 Years In Music, berharga antara $88 dengan $248, boleh ditempah menerusi laman Book My Show di https://bookmyshow.sg. atau Esplanade di https://www.esplanade.com


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg