Kerja keras dahulu, lalui susah senang dan jerih payah mencari rezeki sebagai seorang penyanyi.
Perbetulkan niat apabila ingin bergelar anak seni. Fokus dengan apa yang ingin dilakukan agar segala impian menjadi kenyataan.
Yang paling penting, jangan sewenang-wenangnya tumpang populariti dan ambil jalan pintas ingin berkongsi pentas gah dengan ibu yang bersusah payah membina kerjaya sebagai penghibur berdekad-dekad lamanya.
Begitulah yang berulang kali diucapkan legenda muzik Malaysia, Datuk Sheila Majid, 60 tahun, kepada anak sulungnya, Wan Nur Khaleeda Roslan, 34 tahun, yang lebih mesra dengan nama pentas, Kayda Aziz.
Kayda sudah hampir 15 tahun membangun kerjaya sebagai artis hip hop dan dikenali dengan lagu Macam-Macam, Keliru 2.0 dan Sugar.
Beliau juga usahawan daging dendeng jenama Jasamas sejak 2015, yang menggunakan resipi turun temurun keluarganya, dan turut mengusahakan pasar lambak dengan misi kemasyarakatan, Pasor.
Walaupun sudah sekian lama berada dalam industri muzik Malaysia, hanya pada 8 November lalu (2025), Kayda diundang ibunya, Sheila, bagi sama-sama memeriahkan Konsert Sheila Majid 40 Years in Music di Axiata Arena Bukit Jalil.
Sebagaimana kongsi Sheila dengan Berita Minggu (BM):
“Saya selalu pesan dengan Kayda dan anak-anak lain, perkara paling penting kalau nak buat sesuatu, buat dengan baik. Fokus dan berikan jiwa raga.
“Sekurang-kurangnya kalau perkara itu tidak menjadi, mereka tahu mereka sudah buat sebaik mungkin.
“Kalau nak setakat dikenali untuk kecapi populariti, tak payah sudah. Jangan masuk dunia seni. Sebab anda tak akan ke mana.
“Lantaran itu, selepas lama menceburi bidang seni dan sudah mencipta nama sendiri, barulah saya libatkan Kayda dalam konsert ulang tahun kerjaya nyanyian saya yang ke-40.
“Saya tak nak orang kenali Kayda sebagai anak Sheila Majid. Dia ada jenamanya sendiri.
“Apabila saya lihat dia dah layak untuk kongsi pentas dengan saya sebab bawakan kerja seni yang bermutu dan dah puas kerja keras dan bina namanya sendiri, iaitu Kayda, barulah saya izinkan. Alhamdulillah, Kayda memberikan yang terbaik pada malam itu.
“Dia dah tak lagi dibayangi dengan gelaran ‘Anak Sheila Majid’. Saya tak suka kalau dia tumpang populariti saya walaupun dia anak saya dan orang pula ingat Kayda mudah dikenali sebab ‘ada pasang kabel’ dan peluang terbentang luas untuknya.
“Nanti dia takkan tahu betapa susahnya cari rezeki sebagai anak seni. Kerjaya ini bukan main-main tetapi penuh jerih payah. Biarlah dia bersusah-susah dahulu sebelum mengecapi kejayaan atas usahanya sendiri.”
Sheila bangga anaknya yang dijadualkan menamatkan zaman solo pada 2026 mempunyai pengikut sendiri dan berdiri sebagai Kayda yang lebih yakin di pentas.
Ditanya mengenai tiga anaknya yang lain, Sheila menjelaskan mereka menyukai muzik tetapi tidak berminat melangkah setapak lagi untuk menjadikannya kerjaya profesional.
“Anak ketiga saya, Khadeja Zaireen, gemarkan animasi dan kini mengambil kursus animasi digital di maktab.
“Adiknya, Khalefa Laila, baru tamat sekolah menengah dan kini di maktab juga, mengambil psikologi. Jangan pula besok-besok, saya pula kena ‘psycho’ dengannya nanti! Saya bergurau sahaja,” selorohnya.
Kededua puteri ini merupakan hasil perkongsian hidupnya dengan pengarah muzik, Datuk Hashridz Murshim Hassim, 55 tahun, atau lebih dikenali sebagai Acis, yang pernah menganggotai band terkenal era 1980-an, Gersang.
Anak keduanya, Megat Abdul Majid Aziz Roslan, 31 tahun, yang baru bernikah dengan pasangannya, Rashiqah Qahirah Ruslan, pada 30 November lalu dalam majlis sederhana di sebuah masjid pula seorang usahawan dan melakukan kerja kejuruteraan bunyian di studio.
Megat dan Kayda merupakan cahaya mata daripada perkahwinan Sheila yang pertama dengan penerbit dan juri Malaysian Idol, yang pernah menjelajah sejauh Jepun, Amerika Selatan dan Eropah, Roslan Aziz.
Mengenang kembali majlis pernikahan Megat yang dibuat sekitar tiga minggu selepas konsertnya di Kuala Lumpur dilabuhkan, Sheila berkata: “Saya ni dah panik macam pepatah Inggeris, jadi ‘headless chicken’. Sebab kesuntukan masa nak buat persiapan untuk hari bahagia Megat.
“Kami menghormati permintaan besan saya, iaitu ibu anak menantu saya yang bakal jalani pembedahan. Kerana naluri seorang ibu, beliau nak segalanya berjalan lancar biarpun majlis itu sederhana sahaja.
“Besan saya ingin disegerakan majlis pernikahan dua anak kami itu sebelum beliau lalui proses pembedahan. Jadi kita usahakan yang afdal dan sederhana di masjid. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kami semua pun senang hati,” ujar Sheila.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg