Sejak ditubuhkan pada 2007, kumpulan ‘punk rok’ tempatan, Iman’s League, membuktikan ketekunan dan kecintaan terhadap muzik menjadi kunci utama mereka terus bertahan dalam industri, tanpa perlu mengejar populariti semata-mata.

Kumpulan Iman’s League, yang pernah merangkul Anugerah Band Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) 2015, itu dianggotai vokalis utama dan pemain gitar, Nuriman Mohd Nor (Iman), 44 tahun; vokalis dan pemain gitar bes, Ishyam Lal Abdul Jalal (Lal); 43 tahun; serta pemain dram, Muhammad Fadhlee Abdul Gaffor (Bat), 38 tahun.

Usai melancarkan album kelapan berbahasa Inggeris, Where Do We Go From Here?, Iman’s League kembali mendekati pendengar serantau menerusi lagu bahasa Melayu terbaharu berjudul, Satu Suara.

Lagu itu turut menggabungkan vokalis kumpulan Hujan (Malaysia), Noh Salleh, 41 tahun; dan vokalis yang juga pemain gitar bagi kumpulan Rocket Rockers (Indonesia), Aska Pratama, 44 tahun.

Menurut Iman, demo lagu berkenaan terlebih dahulu dikemukakan kepada syarikat rakaman terkenal Malaysia, Luncai Emas Sdn Bhd (milik Datuk M. Nasir), yang juga pengedar muzik mereka, bagi mendapatkan pandangan mengenai potensi karya itu di pasaran negara berkenaan.

Selepas menerima ‘lampu hijau’, barulah demo itu dikirimkan kepada Noh dan Aska untuk pertimbangan mereka.

Iman turut menjelaskan, gabungan anak seni dari tiga negara itu mencerminkan semangat perpaduan, berlandaskan kepercayaan muzik mampu menyatukan individu daripada pelbagai latar belakang.

“Idea lagu ini adalah untuk menghimpunkan tiga penyanyi dari tiga negara, iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Kami bukan sahaja datang daripada industri yang berbeza, malah masing-masing mempunyai identiti dan genre muzik tersendiri.

“Kumpulan Hujan lebih kepada rok ‘indie’ dan alternatif. Manakala, Rocket Rockers menampilkan muzik ‘pop punk’.

“Melalui lagu ini, kami mahu menyatukan tiga suara dalam satu karya, sekali gus membawa pesanan perpaduan serumpun.

“Walaupun ketiga-tiga negara mempunyai perbezaan dari pelbagai aspek, kami ingin menunjukkan muzik mampu menjadi wadah yang menyatukan, tanpa mengira latar belakang atau perbezaan yang wujud,” kata Iman, kepada Berita Harian (BH) melalui Zoom, baru-baru ini.

Bagi memastikan rentak penghasilan karya kekal tekal, Iman akur Iman’s League, yang masih menerbitkan album dalam bentuk fizikal seperti cakera padat (CD) dan kaset, merancang untuk tampil dengan lagu baharu dan album setiap tahun.

“Setiap tahun kami akan tampil dengan lagu dan album baharu.

“Sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini pula, kami lebih banyak menghasilkan lagu bahasa Melayu kerana sebelum ini, fokus kami lebih terarah kepada pasaran Inggeris.

“Cuma, menerusi Satu Suara, kami mencuba sesuatu yang lebih berani dengan kerjasama bersama Noh dan Aska,” ujar Iman.

Berbanding lagu bahasa Inggeris, Iman mengakui menghasilkan karya dalam bahasa Melayu memberikan cabaran yang berlainan, terutama dari segi penerimaan pendengar.

Menurutnya, penggemar muzik Melayu lebih teliti dalam menilai sesebuah karya, lantas meletakkan cabaran lebih besar untuk meraih perhatian masyarakat itu.

“Sejujurnya, saya rasa menghasilkan lagu Melayu lebih susah, terutama apabila melibatkan penerimaan pendengar.

“Saya rasa pendengar muzik Melayu lebih ‘cerewet’ dalam bab muzik.

“Kami pula memang dikenali dengan genre ‘pop punk’ yang berentak pantas dan bertenaga.

“Jadi, cabarannya adalah bagaimana hendak mengekalkan identiti itu sambil memastikan lirik dan penyampaian dalam bahasa Melayu kedengaran semula jadi,” singkapnya, yang juga guru muzik di peringkat sekolah menengah.

Selepas sekitar 20 tahun bersama, perbezaan pandangan telah menjadi asam garam dalam perjalanan setiap anggota kumpulan itu.

Namun, bagi Iman dan Lal, rahsia mengekalkan keharmonian adalah dengan membahagikan tugas mengikut kepakaran setiap anggota serta saling mempercayai peranan masing-masing.

“Sudah tentu kami mempunyai pandangan yang berbeza. Itu perkara biasa dalam sesebuah kumpulan.

“Tetapi sepanjang lebih 20 tahun bersama, kami berjaya mengatasinya kerana setiap orang memahami peranan dan tanggungjawab sendiri.

“Saya fokus menulis lirik dan cipta melodi. Selepas itu, tugas saya selesai.

“Dari segi susunan muzik, termasuk vokal dan gitar, serta rakaman di studio akan diuruskan oleh Fadhlee dan Lal mengikut kepakaran mereka,” kongsi Iman dan Lal.

Tidak semua kumpulan muzik tempatan berpeluang menjayakan siri jelajah di luar negara, apatah lagi apabila ia dibiayai sepenuhnya menggunakan wang sendiri.

Bagaimanapun, bagi Iman’s League, pengorbanan itu, termasuk peluang meluangkan masa bersama keluarga, berbaloi apabila mereka berkesempatan memperkenalkan muzik mereka kepada pencinta muzik antarabangsa.

Antara pelbagai negara yang pernah dikunjungi seperti Malaysia, Korea Selatan, Jepun, Australia, Belanda, Perancis, Belgium, persembahan di Wermerskirchen, Jerman, kekal terpahat sebagai pengalaman paling bermakna.

“Antara semua persembahan yang pernah kami jayakan, yang paling meninggalkan kesan buat saya ialah di Wermelskirchen, Jerman, pada 2025.

“Pada awalnya, kami tertanya-tanya juga sama ada orang mahu menonton persembahan kami, apatah lagi apabila kami merupakan kumpulan Asia dan berkulit sawo matang.

“Namun begitu, kami mempunyai satu pegangan, iaitu sentiasa memberikan 100 peratus komitmen tanpa meletakkan harapan terhadap apa jua hasilnya.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan persembahan itu menjadi antara pengalaman paling bermakna buat kami.

“Tempat itu juga amat bersejarah. Ramai kumpulan rok terkenal yang membuat persembahan di sana, termasuk band asal Amerika Syarikat, Green Day.

“Kami menjadi kumpulan rok Asia pertama yang berhasil tampil di situ,” kata Fadhlee pula, atau lebih mesra disapa Bat.

Seiring peredaran masa, keutamaan kumpulan Iman’s League juga berubah.

Jika dahulu mereka pernah memasang impian untuk mencipta nama lebih besar, kini kepuasan menghasilkan muzik yang dekat dengan jiwa menjadi keutamaan berbanding mengejar populariti.

“Kami sedar kami tidak tahu sampai bila lagi dapat melakukan semua ini.

“Jadi, selagi masih berpeluang, kami hanya mahu terus berkarya dan menikmati setiap prosesnya.

“Bagi kami, soal menjadi terkenal atau mencipta nama besar bukan lagi keutamaan.

“Apa yang lebih penting adalah terus menghasilkan karya yang bermutu,” kata Iman, yang turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan album penuh dalam bahasa Melayu seterusnya.

Lagu Satu Suara, boleh didengar di seluruh penstriman digital, kecuali Spotify.

Sudah tentu kami mempunyai pandangan yang berbeza. Itu perkara biasa dalam sesebuah kumpulan. Tetapi sepanjang lebih 20 tahun bersama, kami berjaya mengatasinya kerana setiap orang memahami peranan dan tanggungjawab sendiri. Saya fokus menulis lirik dan cipta melodi. Selepas itu, tugas saya selesai. Dari segi susunan muzik, termasuk vokal dan gitar, serta rakaman di studio akan diuruskan oleh Fadhlee dan Lal mengikut kepakaran mereka.”
Nuriman Mohd Nor dan Ishyam Lal Abdul Jalal, anggota kumpulan ‘punk rok’ tempatan, Iman’s League.