Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sentuhan manusia tetap perlu meski AI percepat hasil poster promosi filem

Usah ambil jalan mudah hingga nilai seni, ketepatan fakta jalan cerita terabai
Dec 22, 2025 | 5:30 AM
Karya filem, ‘Cicakman’, memperlihatkan KRU Studios sebagai pelopor penggunaan kesan visual (VFX) di Malaysia.
Karya filem, ‘Cicakman’, memperlihatkan KRU Studios sebagai pelopor penggunaan kesan visual (VFX) di Malaysia. - Foto fail

Sejak kebelakangan ini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri perfileman bukan lagi sekadar alat bantuan teknikal, malah ia telah menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan peminat seni.

Menjengah ke ruang komen di laman TikTok, ramai warga siber meluahkan rasa kecewa susulan pelancaran ‘teaser’ atau cuitan pertama bagi filem, Duyung: Legenda Aurora, terbitan KRU Studios, Primeworks Studios dan 8 Bit Studio.

Sebelum ini, ada yang mengatakan busana duyung yang dikenakan pelakon mapan, Maya Karin, 46 tahun, dan pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Anna Jobling, 25 tahun, kurang meyakinkan berbanding yang dipakai oleh Maya dalam filem pertama, Duyung (2008).

Menambah lagi rentetan kekecewaan sedia ada, pihak penerbitan kini berhadapan dengan kritikan baru daripada peminat susulan pelancaran poster rasmi filem tersebut pada 16 Disember 2025.

Berbeza dengan poster asal pada 2008 yang menampilkan Maya lengkap dalam busana duyung di lokasi penggambaran sebenar, poster terbaru itu dihasilkan secara digital dan dilihat gagal memenuhi jangkaan peminat setia.

Warga siber mengkritik poster tersebut kerana kelihatan ‘tangkap muat’ dengan sesetengah pihak menunjukkan kelemahan suntingan yang ketara sehingga membuatkan kepala Anna – yang memainkan watak sebagai anak duyung iaitu, Aurora – kelihatan kabur dan tidak seimbang dengan gambar latar.  

Merujuk kepada tangan pelakon jelita itu yang kelihatan tidak seperti biasa, ada juga yang menuduh pihak penerbitan menggunakan imej janaan AI.

Persoalannya, sejauh manakah AI boleh membantu dalam proses penghasilan karya tanpa mengorbankan mutu gambar serta nilai artistik?

Secara teknikal, AI dapat membantu dalam mempercepatkan proses kreatif dan suntingan naskhah filem.

Berdasarkan reaksi penonton terhadap poster, Duyung: Legenda Aurora, ia jelas menunjukkan penggunaan AI dalam sebuah naskhah masih memerlukan campur tangan dan sentuhan manusia.

Bagaimanapun, isu itu sebenarnya mencerminkan satu trend di peringkat antarabangsa dalam industri kreatif. 

Seperti KRU Studios, syarikat penerbitan Hollywood, A24, turut berdepan kecaman apabila mempromosikan filem, Civil War, dengan menggunakan poster janaan AI.

Pada 17 April 2024, A24 mengeluarkan poster bagi mempromosikan filem terkini arahan Alex Garland itu, yang berlatarbelakangkan masa depan Amerika Syarikat dalam dunia ‘distopia’, di samping bergelut konflik dalaman yang ganas. 

Distopia ialah gambaran masyarakat atau dunia masa depan yang rosak, menindas dan tidak ideal, selalunya bertentangan dengan utopia (dunia sempurna).

Di sebalik itu, peminat filem Hollywood berpendapat penggunaan AI seakan-akan memperlekehkan kebijaksanaan penonton. 

Menyingkap kembali sejarah penghasilan filem di bawah naungan KRU Studios, karya seperti, Cicakman dan Duyung, memperlihatkan syarikat penerbitan itu sebagai pelopor penggunaan kesan visual (VFX) di Malaysia.

Imej janaan komputer (CGI) membolehkan pencipta visual mengawal setiap perincian gambar dengan teliti bagi memastikan hasilnya kelihatan asli.

Manakala, AI pula lebih cenderung menghasilkan hasil visual yang ‘raw’ atau mentah (tanpa campur tangan manusia). 

Barangkali, bagi filem, Duyung: Legenda Aurora, penonton menjangkakan mutu VFX yang setanding dengan karya-karya KRU Studios sebelum ini, dan bukan kesan visual yang merupakan hasil janaan komputer.

Bagi saya, kunci utama untuk menyampaikan jalan cerita dengan berkesan bergantung pada keaslian konsep sesebuah karya.

AI seharusnya digunakan sebagai alat sokongan untuk menjana papan cerita atau konsep awal sahaja. 

Hasil akhir visual harus melalui proses penghasilan atau penambahbaikan oleh pakar visual agar selari dengan visi kreatif dan mengekalkan keaslian karya.

Selain itu, ketekalan jalan cerita juga tidak boleh dipandang enteng. 

Visual pemasaran, termasuk poster dan bahan promosi lain, haruslah mencerminkan apa yang bakal ditonton di layar lebar. 

Apabila mutu visual promosi tidak sejajar dengan filem sebenar, penonton mudah berasa tertipu dan ini turut menjejas kepercayaan terhadap naskhah itu.

Saya juga percaya kepakaran teknikal ialah keperluan mutlak. 

Walaupun AI mampu menjana visual dengan pantas, campur tangan manusia tetap penting untuk membenarkan kesilapan visual secara logik, seperti latar yang tidak realistik atau ekspresi wajah yang kaku. 

Saya akur AI berpotensi memacu industri filem ke hadapan, tetapi ia tidak seharusnya menggantikan ketelitian dan daya kreatif manusia serta kepekaan seni pengarah mahupun tenaga kreatif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg