Topik diikuti
Pergi ke BHkuSebar nilai positif, kasih sayang dalam lagu ‘Asal Ada Kamu’
Sebar nilai positif, kasih sayang dalam lagu ‘Asal Ada Kamu’
Kejujuran, rasa tanggungjawab corak prinsip hidup pencipta kandungan M’sia, Ceddy Ang
Sebar nilai positif, kasih sayang dalam lagu ‘Asal Ada Kamu’
Biarlah apa orang nak kata atau tidak mengapa jika dilontar dengan kecaman pedas oleh mereka yang sukar menghargai.
Semangat positif yang tersemat dalam hati pencipta kandungan Malaysia yang petah dan lucu, Ceddy Ang, 38 tahun, sudah tersemat di jiwa sejak di bangku sekolah lagi.
Sebagaimana cerita Ang yang lebih dikenali sebagai pengulas makanan dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian (BH), baru-baru ini:
“Sejak kecil, saya mahu jadi seorang penghibur, bukan setakat penyanyi atau pelakon. Saya mahu buat segalanya dalam cabang seni sebab saya suka menghiburkan orang ramai.
“Di sekolah, saya akan naik pentas dan menyanyi meskipun tanpa latihan.
“Tapi kemudian akan ada pelajar lain yang membuli saya dengan menyatakan suara saya tak cukup lunak!
“Kerana itu, saya terfikir apabila dewasa, kerja sahaja di pejabat atau masuk dunia korporat.
“Namun lama-kelamaan, saya dah tak kisah lagi apa orang nak kata. Saya mula aktif membuat penstriman ‘live’ (secara langsung) di platform penstriman langsung, Twitch, sebab saya sukakan permainan dalam talian.
“Ia memberi saya pengalaman mengendalikan penonton dan bersembang dengan mereka. Selepas itu, saya aktif menjana kandungan di YouTube pula semasa pandemik Covid-19, tetapi masanya tidak tepat.
“Saya disarankan cuba TikTok oleh seorang teman. Mulanya, saya teragak-agak cuba sebab ingat TikTok hanya untuk budak-budak!
“Tapi, teman saya menasihati saya, tak rugi pun kalau saya cuba. Saya mula memuatnaikkan ulasan makanan dalam bentuk ‘vlog’ (blog video) dan ia tular serata Malaysia. Dari situlah, saya mula dapat ramai pengikut.”
Ang yang mempunyai seramai 212,000 pengikut Instagram dan 623,700 pengikut TikTok diwawancara BH sempena pelancaran lagu baharunya, Asal Ada Kamu.
Sejak dilancarkan pada 21 April, klip video lagu ciptaan dan hasil tulisan lirik MimiFly ini, sudah ditonton lebih 924,000 kali di YouTube.
Sebelum ini, Ang pernah mendendangkan lagu berjudul Selangkah, hasil ciptaan Amir Jahari.
“Sejujurnya, inspirasi lagu baharu saya, Asal Ada Kamu, ialah ‘bos’ saya tu! Kucing bernama Oyen yang berusia 13 tahun!” jelasnya sambil menunjukkan kucing comel di belakangnya.
Ang memang pencinta kucing dan menemui Oyen di tepi jalan sejak ia masih bayi lagi dan mencari-cari ibunya yang hilang.
“Suatu hari, saya sedang memandu dengan alat hawa dingin kereta yang rosak. Justeru, saya biarkan jendela kereta terbuka. Tahu-tahu, dengar bunyi kucing mengiau.
“Keluar kereta nampak Oyen. Saya pun membawanya pulang kerana kasihan,” kongsi Ang, yang juga memelihara seekor lagi kucing yang mengekorinya dari bawah apartmen ke rumahnya dan seekor anjing.
Melihat hubungan kucing-kucing dan anjingnya yang saling menyayangi, Ang langsung meraih cetusan idea bagi menghasilkan lagu, Asal Ada Kamu, tentang kepentingan lebih menghargai orang yang disayangi.
“Banyak yang kita boleh pelajari daripada kasih sayang haiwan. Lagu saya berlegar di sekitar kepentingan memperkukuh hubungan dengan yang tersayang, tak kira kucing, ibu bapa, pasangan anda atau sahabat karib anda.
“Ia adalah lagu dengan irama ‘retro’ ala 1980-an yang menarik perhatian dan boleh dinyanyikan beramai-ramai.
“Selangkah pula mempunyai pesanan tentang membangun semangat dan harapan.
“Setiap daripada kita mengharungi cabaran tetapi kita harus terus bergerak ke hadapan,” jelas bekas konsultan jualan dan pengurus pemasaran itu.
Sebagai seorang pengacara, Ang gigih mengasah warna dan intonasi suaranya dengan menghadiri kelas vokal kendalian guru vokal terkenal Malaysia, Cikgu Shafi, atau nama sebenarnya, Shafizawati Shariff, selama tiga tahun.
Awalnya, tidak terfikir ingin merakam lagu sendiri tetapi atas dorongan Cikgu Shafi, Ang meneruskannya dengan harapan dapat menyebar nilai positif buat pengikutnya daripada pelbagai latar belakang dan usia.
Mengenai kandungan ulasan makanan halal yang disajikan dan begitu digemari pengikutnya yang berbangsa Melayu, Ang menjelaskan ia dihasilkan atas dorongan peminat juga.
Sambutan paling menggalakkan adalah apabila beliau menemu ramah penjual kuih cang halal dan ramai pengikut Muslim teruja ingin merasakan sajian kaum Cina yang tidak pernah mereka rasa.
“Saya mengambil peluang mengenali konsep halal dan menjelaskannya kepada pengikut bukan Melayu/Islam agar mereka tahu takrifan halal yang sebenar dan prosedur untuk dapatkan status halal (melebihi tanggapan tiada daging babi dan lemak babi).
“Makanan halal adalah konsep mudah yang senang dicari di Malaysia. Saya juga belajar tentang puasa dan Ramadan.
“Saya bahkan pernah berpuasa enam pada Syawal beberapa tahun lalu. Ia adalah proses pembelajaran. Peminat amat menyokong dan menjelaskan betapa berpuasa bukan sahaja soal lapar dahaga.
“Ia mengajar disiplin. Saya belajar bangun awal pada 5 pagi untuk bersahur dan makan kurma, bijirin oat dan biji chia, yang mampu buat saya bertahan sampailah tempoh berbuka,” ujar Ang, yang akur berpuasa banyak kelebihannya dari segi kesihatan dan proses membuang toksin dalam badan.
Beliau juga menekankan tanggungjawab terhadap pengikutnya setiap kali membuat ulasan makanan.
“Saya bersikap jujur tentang mutu makanan yang saya rasa sebab tak nak membohongi netizen.
“Kalau tak menepati cita rasa saya, saya beri komen membina. Jangan sampai saya ‘hentam’ habis-habis dan menjejas perniagaan penjual makanan,” katanya.
Sewaktu klip video, Asal Ada Kamu, dirakam pada Ramadan, Ang benar-benar rasa teruji dari segi stamina.
“Saya ingat saya boleh tahan kerana lumrahnya saya aktif dan tak ada masalah menyanyi sepanjang hari.
“Rasanya lebih sukar daripada hanya duduk sepanjang hari di pejabat.
“Pada 11 pagi, saya dah terlalu penat memandangkan kami mula merakam video muzik itu seawal 8 pagi.
“Saya terasa sangat haus! Tapi tak nak batalkan puasa. Sayang pula!” katanya lagi.
Kini, Ang menanti filem, Kata Hati, penerokaan sulungnya dalam dunia filem ditayangkan sekitar Jun. Wataknya adalah sebagai pengacara mulut ‘laser’.
Filem itu turut dijayakan Nia Atasha, Fazziq Muqris dan Beto Kusyairy.
Satu lagi lagu dengan irama ‘retro’ nostalgia juga akan diterbitkan sekitar Ogos.
Ditanya mengenai pesanannya kepada anak muda yang ingin menjadi pencipta kandungan, beliau berkata:
“Tak ada masalah tetapi harus ada strategi, Tidak semua orang boleh jadi penjana kandungan sepenuh masa.
“Saya buat semua ini secara sepenuh masa tetapi saya masih mengambil tugasan mengacara dan berlakon.
“Paling mustahak, jangan kejar populariti. Fikir tentang nilai dan pesanan dalam kandungan yang anda hasilkan.
“Takut-takut pula kalau anda memburu misi nak jadi terkenal, akhirnya kandungan yang dihasilkan tidak bermakna,” tambahnya yang terbuka bekerjasama dengan selebriti Singapura.
“
“Sejujurnya, inspirasi lagu baharu saya, ‘Asal Ada Kamu’, ialah ‘bos’ saya tu! Kucing bernama Oyen yang berusia 13 tahun! Suatu hari, saya sedang memandu dengan alat hawa dingin kereta yang rosak. Justeru, saya biarkan jendela kereta terbuka. Tahu-tahu, dengar bunyi kucing mengiau. Keluar kereta nampak Oyen. Saya pun membawanya pulang kerana kasihan.”