Pernah dianggap sekadar fenomena yang mewarnai satu era, kumpulan wanita atau ‘girl group’ kini kembali mencuri perhatian generasi baharu.

Dipacu pengaruh media sosial, khususnya TikTok, selain gerak tari yang mudah menjadi ikutan anak muda dan budaya peminat yang semakin berkembang, fenomena kebangkitan kumpulan wanita kini turut melanda Indonesia menerusi kemunculan, Marbles.

Marbles, yang berada di bawah naungan syarikat pengurusan artis, A-List Entertainment, dianggotai lima jelitawan berbakat iaitu, Kyka Amara (Kyka), 18 tahun; Tiffany Idanawang (Tiffany), 19 tahun; Beverly Suryadinata (Beverly), 19 tahun; Quilla Maleeka (Quilla), 19 tahun; dan Daniella Jahzara Tumiwa (Dani), 20 tahun.

Menurut Dani, yang juga pelakon filem, Cinta Bete (2021) dan Rangga & Cinta (2025), nama Marbles diinspirasikan daripada guli yang memiliki pelbagai warna dan bentuk.

Ini bagi membentuk jati diri kumpulan terbaharu itu, yang hadir daripada latar belakang dan keperibadian berbeza.

Kepelbagaian itu turut terserlah menerusi asal usul anggotanya.

Dani dan Kyka berasal dari Jakarta, sementara Tiffany serta Beverly dari Surabaya.

Quilla pula merupakan anak kelahiran Yogyakarta.

Menceritakan awal pembentukan kumpulan itu kepada Berita Minggu (BM), Kyka berkata:

“Sebenarnya, kami tidak saling kenal sebelum ini.

“Cuma pernah bertemu ketika menyertai pertandingan dan persembahan tarian di peringkat sekolah, tetapi kami bukanlah kawan rapat.

“Suatu hari, wakil agensi pencarian bakat menghubungi kami untuk menghadiri uji bakat.

“Kami semua mencuba nasib dan melalui beberapa pusingan pemilihan.

“Selepas itu, kami menjalani latihan secara intensif serta proses pembangunan bakat selama hampir tiga tahun.

“Ketika itu, kami masih belum dibentuk sebagai sebuah kumpulan.

“Akhirnya, pada penghujung 2025, kami disatukan sebagai lima anggota Marbles.

“Sejak itu, kami menjalani latihan dan proses kreatif hampir setiap hari, sebagai persediaan sebelum membuat penampilan sulung.”

Anggota Marbles, Kyka, yang berasal dari Jakarta, Indonesia, akur sempat menjalani latihan intensif serta proses kreatif hampir setiap hari sebagai persediaan sebelum membuat penampilan sulung secara berkumpulan.
Anggota Marbles, Kyka, yang berasal dari Jakarta, Indonesia, akur sempat menjalani latihan intensif serta proses kreatif hampir setiap hari sebagai persediaan sebelum membuat penampilan sulung secara berkumpulan. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

BM menemui anggota Marbles di pejabat Universal Music Singapore di Odeon Towers pada 13 Julai, sehari selepas kumpulan itu membuat persembahan di acara MASA Sound Singapore.

Persembahan muzik yang berlangsung di Glass Dome, Far East Square pada 12 Julai lalu itu, dianjurkan sempena pesta seni MASA Singapore 2026, yang menghimpunkan barisan artis muzik kontemporari Indonesia bersama bakat serantau.

Detik persembahan pertama mereka di Singapura itu, turut membuka ruang bagi memperkenalkan lagu sulung Marbles berjudul, Hompimpa.

Hompimpa merupakan singkatan daripada nyanyian pendek kanak-kanak Indonesia yang berbunyi: ‘Hompimpa alaium gambreng’.

Ungkapan itu sebenarnya tidak mempunyai makna yang jelas.

Namun begitu, ia merupakan ungkapan tradisional yang diwarisi turun-temurun dan digunakan sebagai sebahagian daripada budaya permainan kanak-kanak di Indonesia.

Selain mengangkat unsur budaya, lagu ini turut menyampaikan pesanan mengenai individu yang yakin dengan nilai dirinya serta tidak mudah terpikat atau memberikan hati kepada mana-mana jejaka.

“Apabila kami membawakan lagu ini, kami mahu pendengar mengimbau semula perasaan gembira, bebas dan tanpa beban seperti ketika masih kecil.

“Kini, kebanyakan lagu pop banyak berkisar tentang kisah cinta kerana itulah tema yang sering mendapat perhatian generasi muda.

“Namun, kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza, sambil mengangkat unsur budaya Indonesia agar ia terus dekat dengan masyarakat masa kini,” ujar Beverly.

Beverly, yang berasal dari Surabaya, Indonesia, berkata Marbles mahu mengetengahkan unsur budaya Indonesia sebagai identiti tersendiri bagi membezakan kumpulan itu daripada yang lain.
Beverly, yang berasal dari Surabaya, Indonesia, berkata Marbles mahu mengetengahkan unsur budaya Indonesia sebagai identiti tersendiri bagi membezakan kumpulan itu daripada yang lain. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Dahulu, Indonesia pernah melahirkan beberapa kumpulan wanita popular seperti Cherrybelle, JKT48, Winxs dan Blink.

Bagaimanapun, tidak semuanya mampu mengekalkan kegemilangan apabila ada yang mengalami perubahan barisan anggota atau memilih untuk tidak lagi aktif.

Menyedari cabaran untuk kekal relevan, Kyka percaya kemampuan mengekalkan hubungan yang tekal dengan peminat adalah kunci untuk terus bertahan dalam industri.

“Bagi kami, kunci untuk kekal lama dalam industri adalah dengan sentiasa membina hubungan yang tekal dengan peminat.

“Selain itu, kami juga perlu menjaga diri dan membentuk identiti kami sendiri, bukannya sekadar mengikut trend semasa.

“Sekarang ini, terdapat ramai artis dan kumpulan yang berbakat.

“Jadi, apa yang akan membezakan kami ialah identiti yang kami bina dan bagaimana kami mahu dikenali oleh peminat.

“Kami masih di peringkat awal dan masih banyak yang perlu dipelajari.

“Harapan kami adalah untuk terus berkembang dari semasa ke semasa, serta terus menghasilkan karya yang bermutu,” kata Kyka.

Lagu Hompimpa boleh didengarkan di seluruh penstriman digital.