Topik diikuti
Pergi ke BHkuRatu Rok M’sia janji persembahan terbaik di S’pura
Ratu Rok M’sia janji persembahan terbaik di S’pura
Peminat ‘Nombor 1’ buat Ella dalam saji karya
Ratu Rok M’sia janji persembahan terbaik di S’pura
Dengan personaliti yang lembut dan manja, serta vokal serak-serak basah yang unik dan mudah melekat di ingatan, penyanyi rok yang juga usahawan, Ella, atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, terus kekal sebagai antara tokoh muzik ikonik sehingga digelar ramai ‘Ratu Rok Malaysia’.
Sepanjang empat dekad mengharungi dunia seni, Ella, 59 tahun, mengakui perjalanan itu lebih sarat dengan kenangan manis berbanding pengalaman pahit.
“Bagi saya, perjalanan dalam dunia seni lebih dipenuhi detik-detik indah berbanding yang sukar.
“Antara detik paling bermakna ialah peluang untuk mengenali individu baharu serta berkongsi dan bertukar pandangan.
“Sepanjang kerjaya ini, alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik.
“Dalam setiap karya yang dihasilkan, saya sentiasa menjadikan peminat sebagai keutamaan yang didahulukan.
“Yang paling membekas dalam ingatan saya adalah ketika saya membuat persembahan, dan peminat begitu mengenali dan mengingati setiap lagu daripada album yang saya hasilkan.
“Perasaan itu memang sangat luar biasa,” kata Ella, kepada Berita Harian (BH), dengan sifat manjanya yang dikenal sejak dahulu masih lagi ketara.
Beliau ditemui BH baru-baru ini, semasa acara Hari Raya bersama peminat yang berlangsung di Restoran The Malayan Council, sekitar The Fullerton Waterboat House.
Wawancara ini dibuat sempena konsert dua jam setengah, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026, pada 9 Mei ini, yang diadakan di Teater The Star, anjuran Hitman Solutions Live, dengan sokongan SAH Entertainment.
Persembahan terakhir beliau di sini pada 2023 dan 2024, turut diadakan di tempat sama.
Sebelum ini, konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 dipersembahkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sekitar Kuala Lumpur, Malaysia, pada 14 Februari lalu, dan dihadiri seramai 55,000 peminat.
Walau bagaimanapun, konsert tersebut menerima pelbagai respons daripada peminat, khususnya berhubung isu sistem bunyi di tingkat tiga stadium itu, yang didakwa menjejas pengalaman pemegang tiket kategori Gangsa.
Bagi konsert di Singapura pula, Ella yang terkenal dengan lagu, Pengemis Cinta dan Sepi Sekuntum Mawar Merah, menjanjikan pengalaman persembahan yang lebih baik dengan kerjasama pasukan yang berkemahiran tinggi serta berpengalaman.
“Setiap konsert sememangnya membawa pengalaman yang berbeza, bergantung kepada tempat dan suasananya.
“Dari situ, kita dapat menyesuaikan konsep dan suasana yang ingin dipersembahkan kepada penonton dan peminat.
“Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman lalu, saya pastikan dibantu oleh pasukan yang pakar mengurus aspek teknikal seperti sistem bunyi dan pencahayaan.
“Insya-Allah, semuanya akan berjalan dengan lancar,” katanya lagi, yang kekal dengan rutin harian seperti sesi kecergasan dan senaman bagi persiapan di ambang konsert.
Apabila ditanya mengenai perbezaan perjalanan kerjaya antara artis dahulu dan kini, Ella berpendapat tidak banyak yang berubah, kecuali kemajuan teknologi yang semakin ketara.
“Pada saya, tidak banyak yang berubah. Cuma, perkembangan teknologi kini jauh lebih pesat.
“Ketika saya berada di Amerika Syarikat dahulu, mereka sudah lebih maju, dan ia banyak membantu dalam proses penghasilan album saya pada waktu itu.
“Sekarang, dengan kecanggihan teknologi, proses menghasilkan muzik bermutu tinggi menjadi lebih mudah,” jelasnya, yang bersuamikan juruterbang, Azhar Ghazali, 45 tahun.
Diterbitkan pada 1994, album kelima Ella iaitu, Ella USA, dirakam sepenuhnya di Amerika dan berjaya meraih status enam kali platinum dengan jualan melebihi 300,000 unit.
Pencapaian ini sekali gus menjadikan beliau artis Malaysia pertama yang menghasilkan album studio penuh di luar negara.
Sebelum ini, Ella turut berhasrat menunaikan ibadah umrah bersama pasukannya sewaktu Syawal.
Bagaimanapun, perancangan itu terpaksa ditunda dek konflik tegang yang melanda Timur Tengah kini.
“Penerbangan kami sepatutnya melalui Qatar memandangkan Ella mempunyai urusan kerja di sana terlebih dahulu.
“Namun, disebabkan ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah pada ketika ini, acara dan majlis berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil,” jelas Ella.
Tiket bagi konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026, berharga antara $69 dengan $249, boleh ditempah melalui laman Sistic di https://www.sistic.com.sg/events/ella0526
